Teknologi sepasang cermin mata pintar mungkin mampu mendekatkan umat Islam kepada ilmu agama, namun cara ia dimanfaatkan tetap menjadi penentu utama.

Demikian pandangan Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, ketika menghadiri pelancaran cermin mata pintar menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), EmaanGlass, di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura, pada 17 November lalu.

Menurut beliau, walaupun peranti berasaskan AI itu menawarkan pelbagai kemudahan, berpotensi memudahkan pembacaan Al-Quran dan pembelajaran agama, namun, peranan asatizah dalam membimbing masyarakat tetap penting.

Menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR), EmaanGlass membolehkan pengguna melihat ayat Al-Quran, doa dan terjemahan secara langsung dalam ruang penglihatan mereka tanpa perlu sentiasa merujuk kepada telefon bimbit.

Cermin mata itu – dipercayai yang pertama seumpamanya di dunia – turut dilengkapi fungsi terjemahan bahasa Arab secara langsung, panduan ibadah haji dan umrah serta alat bantuan pembacaan teks yang boleh dimanfaatkan asatizah ketika menyampaikan ceramah atau khutbah.

Menurut Ustaz Tarmizi, penggunaan AI dalam pembelajaran agama perlu mengambil kira pelbagai pertimbangan etika, khususnya bagi memastikan teknologi itu tidak menggantikan bimbingan manusia.

Beliau menjelaskan bahawa EmaanGlass boleh membantu mereka yang baru mempelajari Al-Quran mengikuti bacaan dengan lebih mudah, termasuk menerusi fungsi paparan teks yang dirancang untuk bergerak mengikut kelajuan bacaan pengguna.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa seseorang masih memerlukan bimbingan asatizah untuk mempelajari cara membaca Al-Quran dengan betul.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi EmaanGlass, Encik Lou Shebqiang, 44 tahun, dan Pegawai Pembangunan Perniagaan, Encik Muhammed Abdul Mateen, 33 tahun, berkata produk itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan umat Islam yang ingin menerapkan amalan agama dalam kesibukan kehidupan harian.

“Visi kami adalah untuk membolehkan umat Islam memanfaatkan teknologi AI dengan lebih mudah tanpa perlu menggunakan tangan, dengan memaparkan maklumat secara langsung dalam ruang penglihatan mereka,” kata Encik Lou.

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan kandungan Al-Quran diperoleh daripada sumber yang sahih dan bukannya dijana secara bebas menggunakan AI bagi mengelakkan kesilapan.

Bagi jurutera, Cik Aisyah Mazlan, 29 tahun, yang menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai rutin ketika berulang-alik ke tempat kerja, teknologi itu menawarkan pengalaman lebih selesa.

Beliau, yang pernah menghadapi kesukaran membaca dalam bahasa Arab ketika kecil, berkata ciri transliterasi EmaanGlass berpotensi membantu golongan yang baru mempelajari Al-Quran.

“Saya pernah menghadapi banyak kesukaran membaca dalam bahasa Arab dan mengambil masa yang lama untuk membacanya dengan lancar,” katanya.

Menurutnya, cermin mata itu juga membolehkannya membaca Al-Quran tanpa perlu sentiasa menundukkan kepala untuk melihat telefon bimbit.

Beliau berharap teknologi sedemikian dapat membantu kanak-kanak serta warga emas yang menghadapi kesukaran mempelajari bahasa Arab.

Orang ramai yang berminat mendapatkan cermin mata pintar EmaanGlass boleh melayari laman web rasminya di pautan, www.emaanglass.com.

Cermin mata tersebut berharga $799 namun, kini ditawarkan pada harga promosi $599 bagi 200 pembeli pertama.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti