Topik diikuti
Pergi ke BHkuDahulu penerima bantuan, kini agihkan makanan kepada penduduk Yishun lain
Dahulu penerima bantuan, kini agihkan makanan kepada penduduk Yishun lain
Dahulu penerima bantuan, kini agihkan makanan kepada penduduk Yishun lain
Seawal 7 pagi setiap hari, kelibat Encik Mohamed Mansoor Khalid sudahpun kelihatan di kolong Blok 107 Yishun Ring Road.
Di situ, pesara berusia 59 tahun itu mengagihkan lebih 200 bungkus makanan kepada penduduk yang memerlukan.
Inisiatif itu lahir daripada pengalaman hidupnya sendiri tatkala keluarganya pernah bergantung pada makanan sumbangan ketika pandemik Covid-19, kongsi Encik Mansoor.
Sebagai penjaga kepada enam lagi anggota keluarga, termasuk ibunya yang terlantar dan tidak lagi mampu bergerak, beliau memahami sendiri beban menyara sebuah keluarga besar dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Perkara ini cukup berbeza daripada kehidupannya satu ketika dahulu, apabila Encik Mansoor pernah berkhidmat selama 22 tahun dalam bidang penerbangan sebelum menceburi perniagaan pengangkutan.
Namun, perniagaannya terhenti serta-merta tatkala pandemik Covid-19, sekali gus menyebabkan beliau kehilangan sumber pendapatan utama.
Dalam tempoh yang mencabar itu, beliau sendiri menjadi penerima bantuan makanan sebelum diperkenalkan kepada pertubuhan tidak mengaut untung, Willing Hearts, yang membuka matanya kepada dunia kesukarelawanan.
“Kalau kita pernah susah, kita tahu macam mana rasanya. Sebab itu bila ada peluang untuk membantu, kita bantu sahaja,” katanya.
Beliau menambah bahawa kehidupannya pernah melalui pelbagai fasa.
“Nak kata hidup mewah, dah rasa. Hidup susah pun dah rasa. Jadi saya rasa hidup ini sudah seimbang,” kata beliau.
Di Yishun, terdapat dua lokasi pengagihan makanan, iaitu di Blok 107 dan Blok 108 Yishun Ring Road. Encik Mansoor menyelaras pengagihan di Blok 107.
Pengagihan di blok itu diwujudkan ketika pandemik Covid-19 selepas jumlah penerima bantuan di Blok 108 meningkat dengan ketara, kata Encik Mansoor.
Selain mengurangkan kesesakan dan memudahkan pengagihan, beliau mahu memastikan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan dapat menerimanya tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Masa Covid-19, terlalu ramai orang berkumpul di satu tempat. Saya rasa lebih baik kita pecahkan kumpulan supaya lebih teratur. Pada masa yang sama, saya mahu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan boleh datang, tanpa mengira siapa mereka,” katanya.
Usaha itu tidak digerakkan bersendirian.
Setiap hari, makanan dimasak dan dibekalkan oleh Willing Hearts.
Menyedari masih ramai penduduk memerlukan bantuan yang mudah diakses, Encik Mansoor berganding bahu dengan Yishun Family Service @ Children’s Society untuk mewujudkan sebuah peti sejuk komuniti yang menyediakan barangan dapur dan bahan makanan segar kepada mereka yang memerlukan.
Atas dedikasinya berkhidmat kepada masyarakat, beliau baru-baru ini menerima Anugerah Pengharagaan Perkhidmatan daripada Persatuan Kanak-kanak Singapura.
Beliau berkata kelancaran usaha itu tidak mungkin dicapai tanpa sokongan isterinya, Cik Farida Abdul Rahman, serta keempat-empat anak mereka yang sentiasa menghulurkan bantuan apabila mempunyai kelapangan.
“Ketika saya menjadi sukarelawan di sini, isteri saya keluar bekerja untuk mencari rezeki dan menyara keluarga kami. Walaupun ada masanya kami tidak sependapat, beliau sentiasa menyokong usaha saya membantu penduduk di kawasan kejiranan ini.
“Keempat-empat anak saya pula, walaupun masing-masing sibuk dengan urusan sendiri, tetap akan meluangkan masa untuk turun membantu saya.
“Bagi saya, kalau tiada sokongan keluarga, memang saya tak mampu lakukan semua ini,” katanya.
Bagi Encik Mansoor, apa yang diagihkan bukan sekadar makanan.
Malah, ia membuka peluang untuk mendengar luahan hati penduduk yang datang mendapatkan bantuan.
Encik Mansoor masih ingat luahan hati seorang warga emas yang tinggal bersendirian selepas kehilangan isterinya.
“Saya masih ingat seorang pak cik yang tinggal seorang diri selepas isterinya meninggal dunia. Setiap kali jumpa saya, dia akan cakap, ‘Kenapa Tuhan masih belum ambil saya? Kenapa saya masih perlu menderita?’
“Dahulu, dia enggan datang ambil makanan. Kini, hampir setiap hari dia datang ke sini. Kadang-kadang dia tak ambil makanan pun. Beliau hanya ingin duduk berbual dengan saya.
“Masa itulah saya sedar, ada orang yang lebih perlukan teman daripada makanan,” luah beliau.
Penduduk Yishun, Cik Habsah Judy, 62 tahun, berkata pengagihan barangan dapur dan keperluan asas dari semasa ke semasa turut membantu mengurangkan perbelanjaan hariannya.
“Alhamdulillah, bantuan ini banyak membantu saya. Bila dah dapat makanan ini, memang kami makan apa yang diberi. Saya tinggal berdua dengan anak saya, jadi selalunya kami tak perlu memasak di rumah,” katanya.
Memandang ke hadapan, Encik Mansoor berharap lebih banyak pertubuhan masyarakat dan penderma dapat berganding bahu di bawah satu rangkaian supaya bantuan dapat diselaraskan dengan lebih sistematik, diagihkan secara lebih saksama dan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Bagi saya, kalau kita buat apa yang kita mampu, Allah akan cukupkan. Membantu orang lain itulah yang memberi saya ketenangan,” katanya.
SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026.
