Setiap malam, Encik Muhammad Hafiz Sapeh tidur di ruang tamu, sementara isterinya, Cik Nur Adilah Zuraime, bersama empat anak kecil mereka yang berusia antara satu setengah bulan dengan tujuh tahun, berkongsi katil ratu atau ‘Queen Size Bed’ di bilik tidur.
Ini memandangkan ruang yang sempit di flat sewa dua bilik di Punggol itu tidak mengizinkan seisi keluarga tidur bersama.
Namun, keadaan itu bakal berubah tidak lama lagi apabila mereka dijangka menerima sebuah katil dua tingkat daripada badan amal Suncare SG, yang ditubuhkan pada November 2022, bagi menyokong kesejahteraan kanak-kanak dan belia.
Bagi Encik Hafiz, 37 tahun, seorang juruteknik kawalan serangga, dan Cik Adilah, 24 tahun, seorang suri rumah, sebuah katil dua tingkat membawa makna besar kepada kehidupan keluarganya yang sudah menetap di flat itu sejak 2022.
“Saya gembira sebab nanti boleh tidur sebilik dengan anak-anak. Walaupun ada yang tidur di atas, sekurang-kurangnya kami semua berdekatan.
“Saya harap ia boleh buat kami sekeluarga meluangkan masa bersama atau ‘bonding’ demi lebih eratkan ikatan keluarga,” ujar Encik Hafiz.
Bantuan itu adalah sebahagian hasil sumbangan Dana Kindness Inspires Dreams (Kids) Suncare SG, yang bakal menyokong keluarga menerusi penambahbaikan rumah, bantuan pemakanan, serta sokongan pendidikan dan pekerjaan.
Dana itu menerima sumbangan sebanyak $1 juta daripada pengendali grid, SP Group, pada 4 Oktober di The Lighthouse, sebuah ruang belia di Punggol kendalian Suncare SG, semasa satu acara meraikan Hari Kanak-Kanak.
Acara itu dirasmikan dua Anggota Parlimen GRC Punggol, iaitu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; serta Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pengangkutan), Cik Sun Xueling.
Sumbangan SP Group akan disalurkan selama tiga tahun dan bakal membantu kira-kira 200 keluarga di bawah Dana Kids, termasuk Encik Hafiz sekeluarga.
Dana tersebut akan digunakan untuk memperbaiki keadaan rumah keluarga, menyediakan makanan berkhasiat dan susu bayi, serta menawarkan sokongan pekerjaan demi membantu keluarga dengan anak kecil menangani kos sara hidup.
Tiga tahun tinggal di flat sewa itu dirasakan mencabar bagi Encik Hafiz dan Cik Adilah, lebih-lebih lagi dengan Encik Hafiz bekerja syif panjang sebagai juruteknik kawalan serangga, sementara Cik Adilah menggalas tanggungjawab penuh menjaga anak-anak di rumah.
Selain katil dua tingkat, pasangan itu bakal menerima sokongan lain daripada Dana Kids pada minggu depan, seperti susu tepung dan lampin bayi, barang keperluan sekolah, kipas dan penyaman udara untuk membantu meredakan ekzema anak bongsu mereka.
Antara sokongan bermanfaat yang diraih daripada pelbagai program bantuan Suncare SG ini, jelas Encik Hafiz, ialah perubahan pada anak sulungnya, Muhammad Adam Qayyum, yang kini lebih yakin dan berupaya bertutur dengan lancar.
Sebahagian besar kemajuan itu ialah hasil bimbingan program You Shine dan You Power anjuran Suncare SG, yang disertai Adam sejak berusia empat tahun.
“Sejak kecil lagi, Adam tidak boleh menyusun ayat dengan tepat. Saya dan isteri sukar memahami percakapannya. Tetapi dia kini lebih yakin dan mampu bercakap dengan fasih. Sekarang dia boleh ceritakan apa berlaku di sekolah. Dia lebih berani,” tambah Encik Hafiz.
Program You Shine, yang dijalankan selepas waktu sekolah, menggalakkan pembelajaran secara sendiri serta kerjasama bersama rakan sebaya menerusi permainan, seni, sukan dan program celik bahasa di samping Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).
Sementara itu, Program You Power menghubungkan kanak-kanak dengan mentor terlatih untuk pembangunan akademik dan peribadi.
Eksekutif Program di Suncare SG, Cik Nur Adibah Nasuhah Mohamed Ghazali, 23 tahun, berkata perubahan Adam amat ketara.
“Mula-mula dia sangat pendiam. Sekarang dia periang, suka kongsi cerita tentang sekolah, makanan yang dia makan, dan adik-adiknya,” kongsinya.
Anggota Lembaga Suncare SG, Encik David Ong, berkata: “Kebanyakan peserta program daripada keluarga muda dan rentan yang tinggal di flat sewa. The Lighthouse memberi mereka ruang selamat dan program Suncare SG membantu mereka dari segi emosi dan keyakinan.”
SP Group, dalam kenyataannya, menegaskan sokongan menyeluruh terhadap keluarga merupakan asas membina masa depan lebih cerah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SP Group, Encik Stanley Huang, berkata: “Daripada memenuhi keperluan harian, mewujudkan kediaman sihat, hinggalah pendidikan dan pekerjaan, sokongan menyeluruh penting demi membina masa depan lebih baik.”
Bagi Encik Hafiz, setiap bantuan yang diterima, besar atau kecil, memberi ruang untuk beliau dan isterinya menumpukan perhatian pada perkara paling penting, iaitu membesarkan anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang.
“Kami cuma mahu mereka ada kehidupan yang lebih baik daripada kami. Kalau mereka belajar rajin, yakin pada diri, dan gembira, itu sudah cukup untuk kami,” kongsinya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg