Topik diikuti
Pergi ke BHkuDari pentas Bulan Bahasa ke peringkat antarabangsa, Putri Emily harumkan nama
Dari pentas Bulan Bahasa ke peringkat antarabangsa, Putri Emily harumkan nama
Seawal usia tujuh tahun, Cik Putri Emily Mohammad Joehaidi sudah mula menunjukkan bakat dalam bidang nyanyian apabila menyertai pertandingan bernyanyi yang diadakan sempena Bulan Bahasa.
Ketika diumumkan sebagai juara, sorakan bapanya begitu kuat sehingga hanya suaranya jelas kedengaran dalam rakaman video yang diambilnya sendiri, satu kenangan manis yang masih terpahat dalam ingatan Cik Putri Emily sehingga hari ini.
Kini, 12 tahun telah berlalu dan pelajar tahun ketiga Politeknik Singapura (SP) berusia 19 tahun itu terus mencipta kejayaan dalam bidang seni suara apabila meraih gelaran Champion of Champions bagi kategori Vokal Pop di B-Dazzled Music & Talent Festival International 2025.
Beliau juga aktif sebagai Tok Juara kumpulan Dikir Barat wanita SP, Seri Thera.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata minatnya terhadap nyanyian mula berkembang apabila guru Bahasa Melayunya, Cikgu Juliana, menggalakkannya menyertai pertandingan sempena Bulan Bahasa.
Pada pertandingan pertamanya, beliau sekadar mahu berseronok di pentas tanpa memikirkan soal kemenangan.
Namun, kejayaan tersebut mendorong ibu bapanya untuk terus mengasah bakatnya, khususnya bapanya, Encik Mohammad Joehaidi, yang turut mempunyai pengalaman dalam bidang nyanyian.
Bapanya mengajarnya teknik vokal seperti falsetto dan vibrato, sekali gus membantu meningkatkan mutu persembahannya.
Setahun kemudian, Cik Putri Emily sekali lagi menjuarai pertandingan sama, selepas menunjukkan peningkatan ketara dalam teknik nyanyiannya.
Sejak itu, beliau terus menyertai pelbagai pertandingan dan persembahan muzik.
Kemenangan di B-Dazzled pada 2025 amat bermakna kerana beliau bersaing dengan peserta berbakat dari beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, Thailand dan Filipina.
Selain muzik kontemporari, beliau mula mendalami Dikir Barat pada 2024 selepas ibu bapanya menggalakkannya mencuba seni persembahan tradisional itu.
Pada mulanya, suasana latihan yang lantang dan bertenaga agak asing baginya.
Namun, beliau semakin tertarik dengan keunikan seni tersebut, khususnya cabaran sebagai Tok Juara yang memerlukan kawalan pernafasan, lenggok suara Melayu dan penyampaian cerita melalui nyanyian.
Di sebalik pelbagai pencapaian, Cik Putri Emily mengakui beliau masih berdepan rasa gementar sebelum pertandingan, terutama apabila orang ramai meletakkan harapan tinggi terhadapnya.
Pengalaman dalam pertandingan Dikir Barat baru-baru ini mengajarnya supaya lebih menumpukan perhatian kepada mutu persembahan daripada tekanan untuk mempertahankan kemenangan.
Pada 17 Oktober, Cik Putri Emily memenangi satu lagi anugerah, tetapi kali ini bukan dalam peraduan bernyanyi.
Sebaliknya, beliau menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang (Bukan Akademik) di Anugerah MENDAKI 2026.
Bagi beliau, Anugerah MENDAKI tersebut membuktikan bahawa kejayaan pelajar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, malah turut merangkumi bakat dalam bidang seni.
Cik Putri Emily, yang bercita-cita menjadi penyanyi dengan identiti tersendiri, berharap dapat menghasilkan lagu ciptaannya sendiri dan melanjutkan pengajian muzik selepas tamat pengajian di SP.
Beliau juga berharap kejayaannya dapat memberi inspirasi kepada anak muda lain untuk terus mengembangkan bakat dan mengejar impian masing-masing.