Topik diikuti
Pergi ke BHkuProgram Ready@Work asah kemahiran AI, buka peluang teroka kerjaya idaman
Sebanyak 30 permohonan pekerjaan dihantar Encik Muhammad Zhoriif Mohamed Azhar selepas tamat pengajian, namun hanya dua mendapat panggilan balas.
Namun, selepas menyertai program Ready@Work (R@W) kendalian Yayasan Mendaki dan mempelajari cara memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam pencarian kerja, belia berusia 26 tahun itu menerima tiga panggilan balas daripada hanya 10 permohonan.
Beliau akhirnya berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai jurutera peranti di ST Microelectronics, sejajar dengan ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, yang diperolehinya daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Menerusi R@W, Encik Zhoriif mempelajari cara menggunakan AI untuk memperkemas resume, menyesuaikan permohonan mengikut pekerjaan yang dimohon serta menyerlahkan kemahiran dan pengalamannya kepada majikan.
“Penggunaan teknologi seperti AI telah membantu saya mencari lebih banyak peluang pekerjaan. AI adalah teknologi baru yang sangat membantu,” katanya, ketika ditemui Berita Minggu (BM) di Pusat NTUC di One Marina Boulevard.
Beliau yang merupakan salah seorang penerima Anugerah Pencapaian selepas menyertai Program (R@W) itu turut menasihatkan golongan yang mencari kerja agar tidak berputus asa dan mengambil kursus daripada penyedia khidmat latihan dan pendidikan yang bertauliah bagi terus meningkatkan kemahiran.
Seorang lagi penerima Anugerah Pencapaian, Cik Sahidah Shahmat, 36 tahun, merasakan cabaran kembali ke alam pekerjaan selepas meninggalkan kerjayanya pada 2025 untuk menjaga anak kecilnya.
Selepas lebih 15 tahun bekerja, beliau mendapati landskap pekerjaan telah berubah, termasuk dengan perkembangan AI dan pendigitalan.
Menerusi program Women@Work di bawah R@W, beliau menerima bimbingan kerjaya, menghadiri bengkel kebolehgajian dan persediaan bagi sesi temu duga serta mempelajari penggunaan AI bagi memperbaiki resume dan proses mencari kerja.
Kini, beliau telah mendapat tempat dalam Program Penukaran Kerjaya (CCP) bagi bidang kejururawatan dan bakal bekerja dalam bidang tersebut selepas menamatkan program itu.
“Jangan tunggu peluang datang, baru kita mula bersedia. Kita perlu sentiasa bersedia supaya apabila peluang itu datang, kita mampu merebutnya,” katanya.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Dr Noraslinda Zuber, berkata perubahan teknologi bermakna masyarakat bukan sahaja perlu memiliki kemahiran yang tepat, malah keyakinan dan peluang untuk berkembang maju.
Menurutnya, R@W menggabungkan bimbingan kerjaya, pembangunan kemahiran, pementoran dan pendedahan di tempat kerja bagi menyokong individu pada pelbagai peringkat kerjaya.
Pengarah Bakat dan Ekosistem AI Singapore, Encik Koo Sengmeng, pula menambah AI bukan sahaja mengubah jenis pekerjaan yang dilakukan, bahkan cara seseorang bekerja.
Justeru, usaha memperluas kemahiran praktikal AI diharap dapat menjadikan teknologi itu satu keupayaan yang boleh dimanfaatkan masyarakat dalam pekerjaan dan kehidupan seharian.
