Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyed Harun: Bahasa Melayu kekal relevan dalam wadah digital baru
Syed Harun: Bahasa Melayu kekal relevan dalam wadah digital baru
RI juara Piala Podcast anjuran MI; disokong MLLPC serta BH sebagai media rasmi
Syed Harun: Bahasa Melayu kekal relevan dalam wadah digital baru
Bahasa Melayu bukan sahaja kekal relevan dalam era digital, malah terus mendapat tempat menerusi wadah baharu seperti podcast dan vlog, yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan golongan muda, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Justeru, Dr Syed Harun berkata pertandingan seperti Piala Podcast memainkan peranan penting dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu terus berkembang seiring dengan perubahan landskap media.
Beliau menambah, pertandingan tersebut turut menjadi wadah membina keyakinan generasi muda untuk menggunakan bahasa Melayu secara yakin dan spontan.
“Peranan pertandingan seperti Piala Podcast ini sebenarnya menunjukkan bahawa bahasa Melayu kita kekal relevan pada masa kini. Ia membuktikan bahawa penggunaan bahasa Melayu tidak dikecualikan apabila kita menggunakan wadah-wadah baharu seperti podcast, vlog dan pelbagai platform dalam talian.
“Kita ingin terus membina keyakinan dalam kalangan anak-anak muda supaya mereka menggunakan bahasa Melayu secara yakin, secara spontan, serta melihat bahasa itu sebagai jendela kepada warisan dan budaya kita,” kata beliau, semasa bercakap dengan wartawan di Institut Millennia (MI) pada 4 Julai.
Piala Podcast yang dianjurkan MI dengan sokongan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) itu antara lain, menyediakan platform untuk pelajar menghasilkan podcast dan mengetengahkan idea mereka, sekali gus menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi digital.
Ia juga bertujuan mengasah pemikiran kreatif dan kritis, memperkenalkan potensi podcast dalam industri media serta memperkukuh penghargaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa yang kekal relevan dari segi ekonomi dan budaya.
Berita Harian (BH) ialah rakan media rasmi pertandingan tersebut.
Sebanyak 36 pelajar yang mewakili sembilan sekolah telah menyertai pertandingan itu, yang diadakan buat julung-julung kalinya.
Sebelum menghasilkan karya masing-masing, setiap pasukan mengikuti bengkel pada 31 Mei, yang memperkenalkan mereka kepada asas penerbitan podcast, termasuk proses membangunkan idea, penulisan skrip, teknik rakaman dan penyuntingan audio.
Hasil pembelajaran itu kemudian diterjemahkan kepada penghasilan podcast, yang dinilai berdasarkan kandungan, kreativiti, gaya penyampaian serta penggunaan bahasa, oleh panel hakim yang terdiri daripada Penolong Profesor Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Elmie Nekmat; Editor Bersekutu (Editor Naskhah Kanan) BH, Cik Hanim Mohd Saleh; Penerbit Podcast BH, Cik Natasha Mustafa; serta Guru Kanan Jabatan Bahasa Melayu MI, Cik Zaibah Mohamed Amin.
Kumpulan lima pelajar daripada Institusi Raffles (RI) muncul juara selepas menewaskan lapan pasukan lain.
Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dan Maktab Rendah Anderson Serangoon masing-masing muncul naib juara dan pemenang tempat ketiga.
Dalam pada itu, selain menghadiri majlis penyampaian anugerah pada 4 Julai, peserta turut mengikuti sesi podcast secara langsung selama 75 minit bertajuk, ‘Melayu atau meLAYU: Bahasa Melayu dalam Dunia Moden’ yang membincangkan kedudukan bahasa Melayu dalam era media sosial.
Sesi itu dikendalikan Cik Natasha selaku moderator, dengan penyertaan Dr Syed Harun; pencipta kandungan, Cik Sofia Daud; serta pengasas bersama Meja Conteng, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria.
Keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru, meskipun podcast masih merupakan medium yang asing dalam kalangan pelajar, antara perubahan paling ketara yang diperhatikan Cik Zaibah sepanjang pertandingan itu.
“Sepanjang pertandingan ini, antara perkara yang paling ketara kami lihat dalam kalangan pelajar ialah keberanian mereka meneroka penggunaan bahasa Melayu dalam konteks yang berbeza.
“Malah, penghasilan podcast sedikit sebanyak mendedahkan kelemahan seseorang kerana mereka perlu membuat perancangan dan berkongsi pandangan peribadi tentang isu yang dekat dengan diri mereka.
“Kerjasama dengan BH memberi kami akses kepada kepakaran dalam bidang media, sekali gus membantu pelajar membuat persiapan yang lebih teliti dan memahami aspek-aspek penting dalam penghasilan sesebuah podcast.
“Kami berharap lebih ramai pelajar di peringkat prauniversiti akan mengambil bahagian pada masa hadapan, malah penyertaan itu dapat diperluaskan kepada institusi pengajian tinggi yang lain,” ujar beliau.
Mengulas lebih lanjut, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata:
“Tujuan utama BH menganjurkan Piala Podcast ini adalah untuk memperkasa serta menggalakkan penggunaan bahasa Melayu, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Inisiatif ini juga merupakan salah satu strategi kami untuk mendekati golongan belia melalui platform yang relevan dengan minat mereka, seperti podcast, yang kian popular.
“Di samping itu, kami juga mahu mendedahkan mereka kepada ekosistem BH yang semakin meluas.
“Saluran penyampaian berita BH kini berwajah baharu dan lebih rencam.
“Selain platform cetak tradisional, kami telah berkembang ke platform digital seperti video dan podcast.
“Kami berharap melalui acara ini, belia dapat melihat sendiri bagaimana landskap penyampaian berita BH telah menjadi lebih dinamik.”
