Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, kini mengambil alih jawatan pengerusi Panel Penasihat Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), yang mengadakan mesyuarat buat julung-julung kalinya pada 24 Jun.
Beliau menggantikan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang merupakan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Panel penasihat itu, yang anggotanya terdiri daripada ahli akademik dan pakar mapan dari dalam dan luar negara, akan memberi panduan tentang piawaian pendidikan, melakar hala tuju strategik untuk pelbagai program, selain mengenal pasti kemahiran penting yang diperlukan oleh barisan pemimpin agama masa hadapan.
Ia dianggotai Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; Profesor Pengajian Islam dan Antara Agama dari Universiti Edinburgh, Profesor Mona Siddiqui; Presiden Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Tan Tai Yong; Presiden Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Lily Kong; Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Mohamed Ayyad; Presiden Universiti Al-Azhar di Mesir, Dr Salama Dawood; Naib Presiden Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi, Profesor Driss Fassi Fihri; Profesor Dr Abdul Rahman Alkilani dari Universiti Jordan; dan Setiausaha Agung Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA), Profesor Koutoub Moustapha Sano.
Ditemui media di akhir mesyuarat itu, Dr Faishal mengucapkan terima kasih kepada pemimpin terdahulu atas sumbangan mereka dalam memikirkan konsep dan pembangunan SCIS bagi memenuhi aspirasi masyarakat.
Sebagai mantan anggota akademik di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Faishal berkata beliau gembira dapat menyumbang kepada pembangunan kolej tersebut dan berharap dapat membantu membina sebuah institusi progresif dan yang mengikut konteks kehidupan unik Singapura.
“Apa yang saya mahukan ialah institusi... yang juga dapat terus membangunkan agama kita sebagai agama yang progresif tetapi yang paling penting, bagaimana ia boleh mendatangkan kebaikan kepada masyarakat dan juga negara kita.
“Ini adalah penting kerana jika kita boleh melakukannya, saya yakin ia boleh menambah nilai kepada apa yang sedia ada hari ini,” kata beliau.
Dalam ucapan pembukaannya di mesyuarat sulung panel itu, yang diadakan di hotel Swissotel The Stamford, Dr Faishal berkata perspektif antarabangsa dan pandangan cendekiawan anggota panel SCIS itu adalah berharga dalam membentuk program penyelidikan dan akademik SCIS.
“Peranan anda merangkumi bidang penting – daripada mengenal pasti trend global baru yang menjejas masyarakat Islam kepada tumpuan penyelidikan, piawaian pendidikan, kerjasama antarabangsa.
“Pandangan ini membolehkan SCIS diselaraskan dengan amalan terbaik di peringkat global sementara kekal terkait kepada konteks setempat Singapura,” kata beliau.
SCIS dijangka mula menerima kohort pertama seramai 60 pelajar pada 2028.
Terletak di Bencoolen Street, kolej tersebut akan menyediakan dua laluan – pengajian Islam atau sains kemasyarakatan – untuk memberi asatizah masa kini dan akan datang kemahiran dalam pelbagai bidang sedang isu yang dihadapi melibatkan pelbagai dimensi.
SCIS sedang dalam proses menjalin Memorandum Persefahaman (MOU) dengan SUSS, Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan dan Universiti Al-Qarawiyyin bagi memastikan kurikulum kukuh dan relevan.
Semasa mesyuarat itu, Pengarah Kanan Muis, Ustazah Farah Aljunied, telah berkongsi bahawa SCIS akan menawarkan tiga program utama – program sarjana muda sepenuh masa dalam pengajian Islam yang baru, dan dua program yang sudah ada kini, iaitu Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) dan Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Gemilang (RPCS).
Mereka yang mengikuti program sarjana muda sepenuh masa dalam pengajian Islam itu akan dianugerahkan ijazah SCIS selepas tamat pengajian selama empat tahun.
Mereka juga akan mempunyai pilihan untuk menyambung pengajian dalam program sarjana muda sains kemasyarakatan yang ditawarkan SUSS seperti jurusan psikologi dan kerja sosial.
Melalui identiti Islam Singapura dan juga aspirasi menjadi sebuah masyarakat yang gemilang, Dr Faishal berkata masyarakat Islam Singapura telah membuktikan bahawa “komitmen mendalam terhadap agama kita dan menjadi warga negara yang aktif tidak saling eksklusif”.
Beliau menambah bahawa anggota Panel Penasihat SCIS juga telah berpeluang mengenali konteks unik Singapura melalui pendekatan mereka bersama institusi dan masyarakat setempat.
Ini termasuk semasa Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) yang diadakan pada pagi 24 Jun, dan Simposium Makmal Fatwa pada 23 Jun yang mempamerkan pendekatan inovatif Singapura dalam menangani isu Islam kontemporari.
Anggota panel itu juga telah menyertai majlis makan malam bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 23 Jun, di mana Tuan Presiden telah memberikan sokongan bagi visi SCIS dalam memajukan pengajian tinggi Islam untuk masyarakat Islam setempat dan dalam kehidupan harmoni dengan masyarakat lain.
“Kami berharap dapat memupuk keperibadian agama yang kuat, mengembangkan kecekapan dalam bidang masing-masing dan menyumbang kembali kepada orang lain.
“Pada masa yang sama, kami mahu terus berpegang pada etos kebangsaan unik kita yang secara harmoni mengimbangi keyakinan agama yang mendalam dengan pemahaman kepelbagaian budaya.
“Ini telah membimbing pragmatisme kami yang berfikiran ke hadapan dan komitmen yang tidak berbelah bagi kepada perpaduan sosial. Kami berharap dapat menerapkan pendekatan tersendiri ini dalam SCIS,” kata Dr Faishal.
“
“Kami berharap dapat memupuk keperibadian agama yang kuat, mengembangkan kecekapan dalam bidang masing-masing dan menyumbang kembali kepada orang lain. Pada masa yang sama, kami mahu terus berpegang pada etos kebangsaan unik kita yang secara harmoni mengimbangi keyakinan agama yang mendalam dengan pemahaman kepelbagaian budaya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg