Apabila persekitaran global menjadi lebih tidak menentu dan cabaran sosioagama menjadi lebih kompleks, Singapura perlu menyediakan pilihan untuk pengajian tinggi dalam pengajian Islam secara tempatan untuk melengkapkan pemimpin agama masa depan dengan kemahiran dan kecekapan baru, kata Mufti Dr Nazirudin Nasir.
Dalam satu catatan di Instagram pada 20 Ogos, Dr Nazirudin menambah: “Walaupun ramai di antara kami, termasuk saya sendiri, pergi ke universiti Islam di luar negara selepas mengikuti pengajian di madrasah tempatan, kami menyedari cabaran unik dan keadaan kontemporari masyarakat kita.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 18 Ogos, mengumumkan bahawa Singapura akan menubuhkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang bakal memupuk dan melahirkan pemimpin Islam setempat pada masa depan.
Lebih banyak butiran akan diumumkan kelak, kata Encik Wong.
Kolej itu pertama kali diusulkan oleh mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, pada 2016.
Gagasan itu kemudian digerakkan dan diusahakan oleh penggantinya, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Dr Nazirudin melihat SCIS sebagai kemungkinan dan peluang baru untuk Singapura membangunkan pendidikan Islamnya sendiri di peringkat universiti.
“Kita boleh dan harus juga memanfaatkan model dan jenama Singapura dalam pendidikan, sebagai salah satu yang terbaik di dunia, untuk mereka bentuk dan menawarkan pendidikan universiti kita sendiri,” jelas beliau.
Sejak diusulkan, pelbagai usaha telah dijalankan untuk merealisasikan pembinaan kolej itu termasuk lawatan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ke negara seperti Mesir, Jordan dan Turkey untuk meninjau program-program kolej Islam di sana.
Usaha untuk mempertingkatkan lagi sektor asatizah setempat telah dilaksanakan.
Pada 2022, Muis membuka kampus lima tingkat di Bencoolen Street untuk program possiswazah yang dipanggil Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) demi meningkatkan kemahiran asatizah.
Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Gemilang (RPCS) yang mengkaji isu-isu sosioagama terkini juga dilancarkan pada Jun 2021.
Dr Nazirudin berkata: “Kami yakin kami dapat menggabungkan tradisi intelektual Muslim yang terbaik dan disiplin serta alat kontemporari dalam program sarjana muda yang baru supaya bakal graduan agama akan bersedia untuk menangani cabaran sukar dan mempunyai pekerjaan yang baik.
“Oleh itu, kami amat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan pemerintah atas sokongan yang diberikan kepada projek penting ini.”
Dr Nazirudin turut menghargai sumbangan generasi terdahulu yang telah meninggalkan warisan penting untuk pendidikan Islam di Singapura apabila mereka membina madrasah di sini.
Ramai daripada mereka juga telah menjadi pemimpin masyarakat, ujarnya.
“Giliran kita untuk memberi sumbangan yang besar. Kolej itu akan menjadi kebanggaan masyarakat Islam Singapura pada masa hadapan. Ia akan menjadi sumbangan besar kepada pembentukan masyarakat Islam yang cergas, yakin dan berdaya tahan untuk berjaya,” tambah Dr Nazirudin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg