Dengan berlatarbelakangkan dunia yang kian bergolak, adalah penting bagi masyarakat menggembleng tenaga dan menyantuni satu sama lain, lebih-lebih lagi terhadap golongan yang memerlukan, kata Cik Tin Pei Ling.
Anggota Parlimen GRC Marine Parade-Braddell Heights itu menyatakan dengan ini, masyarakat tidak semata-mata bergantung kepada pemerintah atau badan-badan tidak mengaut untung, tetapi bertanggungjawab dalam menyokong satu sama lain.
Beliau berkata: “Semua individu harus bersatu untuk menyumbang tidak kira dari segi tenaga atau sumber kerana ia menunjukkan kita saling prihatin antara satu sama lain.
“Masyarakat yang prihatin memerlukan setiap lapisan masyarakat berganding bahu bagi merealisasikannya”.
Cik Tin berkata demikian kepada Berita Harian (BH) selepas meluangkan waktu mengedarkan beg cenderahati di Blok 51 dan 52 Circuit Road, sempena Kempen Asyura, anjuran Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) pada 6 Julai.
Kempen tersebut diadakan bagi menyebar kasih sayang kepada golongan memerlukan pada 10 Muharam, iaitu sambutan Hari Asyura dalam kalendar Islam.
Beg cenderahati yang mengandungi baucar atau barangan bernilai sekitar $150 diedarkan kepada 330 kanak-kanak, termasuk anak-anak yatim Darul Ihsan di bawah naungan MTFA.
Cik Tin hadir selaku tetamu terhormat kempen itu memandangkan beliau merupakan Anggota Parlimen yang bertanggungjawab bagi kawasan kejiranan berkenaan.
Menurutnya, ini kali pertama beliau terlibat dalam Kempen Asyura, dan akur sebelum ini tidak mengetahui mengenai erti di sebalik Hari Asyura – yang disambut umat Islam setiap Muharam (Tahun Baru Islam), dengan pelbagai sejarah banyak tercipta dalam perjuangan para nabi.
“Natijahnya, (saya percaya) erti Hari Asyura adalah sebagai peringatan bagi kita untuk sentiasa baik hati, kekal prihatin bagi saudara kita dan bantu satu sama lain.
“Sama ada ia adalah untuk warga senja atau golongan muda mahupun yang memerlukan, jika kita berada dalam kedudukan bagi menyumbang, kita patut melakukannya,” ujar beliau.
Hal ini turut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader Al-aidaroos, yang menyatakan lebih daripada meraikan sambutan Hari Asyura, ia wadah untuk memberi amal jariah dan menyemai sifat pemurah terhadap kanak-kanak, khususnya anak-anak yatim.
“Terdapat label bersama beg-beg ini bagi memaklumkan anak-anak ini bahawa mereka tidak dilupakan dan disayangi.
“Ini adalah mesej buat kanak-kanak dari keluarga memerlukan agar mereka diberi sedikit sinar harapan,” kata Dr Abdul Qader.
Acara tahunan tersebut, yang memasuki edisi keenam, sudah mendekati lebih 1,000 kanak-kanak memerlukan sejak ia mula dilancarkan.
Edisi kali ini menyaksikan kakitangan syarikat perancang, pereka dan pelaksana khidmat perlindungan daripada kebakaran, Active Fire, menyingsing lengan bagi mengedarkan beg cenderahati berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg