Topik diikuti
Pergi ke BHkuGeran pendidikan Darul Arqam diperluas kepada pelajar madrasah
Geran pendidikan Darul Arqam diperluas kepada pelajar madrasah
Seramai 222 pelajar menerima geran pendidikan bernilai $391,000 daripada Persatuan Darul Arqam Singapura (MCAS) pada 2026 – nilai agihan dan jumlah penerima tertinggi sejak skim tersebut diperkenalkan.
Nilai geran yang disalurkan itu melonjak lebih 93 peratus berbanding $202,500 yang diberikan kepada 82 penerima pada 2024.
Buat julung-julung kalinya tahun ini juga, geran pendidkan itu diperluas kepada pelajar madrasah seawal Darjah 1.
Anggota Parlimen GRC Marine Parade-Braddell Heights, termasuk Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, dan Cik Diana Pang, hadir selaku tetamu terhormat di majlis penyampaian geran itu pada 27 September.
Presiden MCAS, Encik Muhammad Imran Kuna Abdullah, menyifatkan agihan tahun ini sebagai satu pencapaian penting bagi persatuan tersebut dalam usahanya menyokong perjalanan pendidikan golongan pelajar.
“Geran Pendidikan MCAS tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa sumbangan zakat serta kemurahan hati para penderma kami.
“Kami berbesar hati dapat menyalurkan dana ini bagi menyokong usaha membentuk dan membimbing generasi asatizah serta pemimpin masyarakat masa depan,” katanya dalam ucapan yang disampaikan semasa acara itu.
Beliau menegaskan geran tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, malah mencerminkan keyakinan MCAS terhadap potensi dan masa depan penerimanya.
“Setiap geran yang diagihkan hari ini lebih daripada sekadar bantuan kewangan. Ia mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi anda, harapan kami untuk masa depan anda dan komitmen kami untuk menyokong perjalanan pendidikan anda.
“Kami berharap bantuan ini dapat meringankan sebahagian tekanan kewangan yang dihadapi keluarga anda dan, lebih penting lagi, memberi anda peluang untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran, perkembangan diri dan mengejar impian anda,” katanya.
Daripada 222 penerima, seramai 169 merupakan pelajar madrasah, manakala 53 lagi menuntut di institusi pengajian tinggi dalam pelbagai bidang, termasuk pengajian Islam, sains dan teknologi, seni serta sains sosial.
Setiap penerima menerima geran antara $1,000 dengan $8,000, kongsi MCAS kepada Berita Harian (BH).
Dalam kenyataannya, MCAS berkata geran pendidikan itu terbuka kepada pelajar Islam yang memerlukan bantuan kewangan, dengan tumpuan khusus diberikan kepada golongan mualaf dan anak-anak mualaf, sebagai mengiktiraf perjalanan dan aspirasi tersendiri golongan tersebut.
Penerima tahun ini merangkumi pelajar daripada pelbagai institusi pendidikan, termasuk Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Universiti Malaya dan Universiti Amerika di Kahirah, Mesir.
Salah seorang penerima ialah pelajar Menengah 3 dari Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Nurin Nazlah Mohamed Nezem, 15 tahun.
Beliau berkata bantuan tersebut dapat membantu meringankan perbelanjaan keluarganya, terutama dalam menampung kos keperluan sekolah seperti buku.
“Bantuan ini membuat saya lebih bersemangat untuk mencapai gred yang lebih baik.
“Supaya saya juga dapat membantu ibu bapa dan keluarga saya,” katanya.
Nurin, yang paling meminati mata pelajaran Al-Quran, berharap dapat melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam selepas tamat sekolah.
Beliau juga menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang guru pada masa hadapan.