Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Darul Arqam bawa rombongan mualaf ke Tanah Suci, 31 ditaja

Dec 17, 2025 | 6:45 PM
darul arqam, mualaf, umrah, percuma
Seramai 81 mualaf berangkat untuk menunaikan ibadah umrah pada pagi 17 Disember bersama rombongan Darul Arqam Singapura (MCAS). - Foto MCAS

Rasa syukur menyelubungi 81 mualaf yang berpeluang mengerjakan ibadah umrah dan berangkat dari Terminal 1, Lapangan Terbang Changi, bersama rombongan Darul Arqam Singapura (MCAS), pada pagi 17 Disember.

Daripada jumlah itu, 25 anggota jemaah, termasuk enam kanak-kanak berusia antara lima dengan 12 tahun, dipilih untuk menunaikan umrah secara percuma bersama rombongan tersebut.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut hadir untuk memanjatkan doa sebelum kesemua anggota jemaah berlepas untuk menunaikan ibadah mereka.

Dalam hantaran di Facebook pada 17 Disember, beliau menambah:

“Inisiatif ini membuka peluang untuk mereka (golongan mualaf) menunaikan ibadah umrah, sesuatu yang mungkin sukar dicapai tanpa sokongan ini.

“Ia mencerminkan semangat kemurahan hati, keprihatinan dan keimanan yang dikongsi bersama dalam masyarakat kita.”

Di bawah program MCAS itu, jemaah dibekalkan dengan barangan keperluan umrah seperti kain ihram, telekung dan bagasi, selain buku panduan, serta ditemani asatizah yang berperanan sebagai mutawif, atau pembimbing, sepanjang perjalanan dan pelaksanaan umrah di Tanah Suci.

Turut melahirkan penghargaannya ketika ditemui Berita Harian (BH), Pengurus Kanan Korporat dan Kewangan MCAS, Encik Razali Tompang, berkata program tersebut direalisasikan hasil derma dan sokongan masyarakat Islam di Singapura.

“Program Umrah Sulung MCAS 2025 direka khas untuk ‘saudara baru’ yang memeluk agama Islam atau mualaf, bagi memberikan mereka perjalanan rohani yang lengkap dan bimbingan sepenuhnya.

“Ramai daripada mereka menghadapi cabaran untuk menunaikan umrah kerana kekangan kewangan dan kurang pengetahuan tentang ibadah ini,” ujar Encik Razali.

Dengan sumbangan masyarakat Islam di Singapura, ia membolehkan seramai 31 mualaf yang kurang berkemampuan untuk menunaikan ibadah itu secara percuma, tambahnya.

“Kami amat menghargai kemurahan hati masyarakat yang menjadikan perjalanan bermakna ini satu kenyataan,” katanya.

“Program Umrah Sulung MCAS 2025 direka khas untuk ‘saudara baru’ yang memeluk agama Islam atau mualaf, bagi memberikan mereka perjalanan rohani yang lengkap dan bimbingan sepenuhnya. Ramai daripada mereka menghadapi cabaran untuk menunaikan umrah kerana kekangan kewangan dan kurang pengetahuan tentang ibadah ini.”
Encik Razali Tompang, Pengurus Kanan Korporat dan Kewangan Darul Arqam Singapura (MCAS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg