Sebelum fajar menyingsing, dapur rumahnya sudah mula riuh-rendah.
Bunyi pinggan mangkuk berlanggar, haruman minyak yang bergelegak dan kelibat orang tuanya yang sibuk menyediakan bahan serta membungkus makanan untuk dijual di gerai.
Apabila mereka pulang lewat malam, keletihan jelas terpancar pada wajah, namun kasih sayang mereka buat anak-anak tidak pernah pudar.
Dalam keluarga itu, keadilan menjadi bahasa cinta dan kasih, dengan setiap anak dikasihi dan dicorak dengan tangan yang kadangkala tegas menegakkan disiplin dan adakalanya lembut membelai.
Diambil dan diasuh sebagai anak angkat ketika berusia tiga bulan, Encik Raizen Abdul Rahman Ahad, membesar dalam dakapan kasih yang tidak pernah membezakan dirinya daripada dua beradik yang lain.
Daripada mereka, beliau belajar kasih sayang tidak bersifat istimewa, tetapi berpaksikan keadilan dan keikhlasan untuk sentiasa hadir bagi orang lain.
Nilai itu kini menjadi pegangan dalam kerjayanya sebagai pensyarah jurusan Pengurusan Sukan di Sekolah Perniagaan dan Perkhidmatan, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, di mana beliau dikenali sebagai tenaga pengajar yang mesra, prihatin dan mudah didekati.
Nilai-nilai tersebut melayakkannya menerima Anugerah Guru ITE buat kali pertama.
Anugerah itu diberikan setiap tahun kepada pendidik cemerlang yang bukan sahaja mengajar tetapi juga memberi inspirasi kepada pelajar mereka.
Tahun ini, Encik Raizen, 33 tahun, merupakan antara 15 penerima anugerah yang diraikan.
“Mengajar adalah sesuatu yang saya banggakan, dan anugerah ini menjadi peringatan bagi saya agar terus mengajar dengan ikhlas dan bekerja lebih keras,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Berita itu dikongsi bersama isterinya, Cik Admyra Ramly, 31 tahun, seorang akauntan, dan ibu bapanya yang membentuk pendekatannya dalam mendidik.
“Mak dan ayah saya tak pernah pilih kasih. Bagi mereka, kasih sayang itu mesti adil dan itu sesuatu yang saya pegang hingga hari ini,” jelasnya.
Nilai keadilan yang diterapkan ibu bapanya itu menjadi panduan Encik Raizen sepanjang tujuh tahun berkhidmat di ITE Kolej Timur sejak 2018, selepas dua tahun bekerja dengan kanak-kanak istimewa.
Sama ada di dalam kelas atau melalui sesi perbincangan dalam talian hingga lewat malam, beliau tidak pernah keberatan membantu pelajarnya selagi ada yang memerlukan bimbingan.
Guru tingkatan kepada 42 pelajar Tahun 1 jurusan Nitec Lanjutan itu berkata: “Mudah sebenarnya untuk terleka dan terjebak dalam kecenderungan memberi lebih perhatian kepada pelajar yang baik.
“Namun, sebagai guru, saya perlu pastikan keseimbangan itu dijaga agar setiap pelajar mendapat ruang dan perhatian yang sewajarnya.”
Bagi Encik Raizen, keadilan bukan sekadar pada markah atau peraturan, tetapi pada hubungan dan keikhlasan yang dibina bersama pelajar.
“Bagi saya, keadilan bermula daripada kejujuran.
“Lebih daripada sekadar melihat mereka sebagai pelajar dan tanggungjawab, saya mahu pelajar saya tahu bahawa saya benar-benar ambil berat tentang mereka,” ujar beliau.
Encik Raizen, guru kegiatan kokurikular memanjat tembok sering meluangkan masa selepas kelas untuk bersantai dan berbual dengan pelajar tentang tugasan, kehidupan, bola sepak atau lesen motosikal.
Antara kenangan lain yang masih segar di ingatan ialah kejutan sekumpulan pelajarnya yang menghadiahkan jersi Manchester United sempena Hari Guru pada 2021 — rakaman detik itu turut tular di TikTok.
Encik Raizen turut membimbing golongan dewasa melalui program Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) di ITE Kolej Timur, termasuk pekerja dan suri rumah yang kembali menyambung pelajaran.
“Tidak kira pelajar muda atau dewasa, setiap individu hadir dengan bekalan pengalaman dan ilmu sendiri.
“Kita perlu berhadapan dengan mereka secara matang kerana mereka juga membawa pandangan dan pengalaman yang berharga.”
Melangkah ke hadapan, Encik Raizen berharap dirinya akan kekal sebagai guru yang mesra, jujur dan prihatin terhadap pelajarnya.
“Saya ingin terus jadi seseorang yang lebih daripada sekadar menyampaikan pelajaran dan benar-benar mengambil berat tentang perkembangan pelajar saya, di dalam dan luar bilik darjah. Saya mahu jadi seorang yang sanggup melangkah lebih jauh demi mereka,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg