Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pensyarah tak lepas tangan ajar pelajar autistik raih Anugerah Guru ITE

Oct 24, 2025 | 7:00 PM
Pensyarah kanan dan guru disiplin Institusi Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, Encik Rohaizad Rohmat, 49 tahun, pernah berkhidmat dalam bidang kejuruteraan, khususnya sektor kimia serta minyak dan gas selama 13 tahun sebelum beralih ke bidang pendidikan. Kini, beliau merupakan penerima Anugerah Guru ITE 2025.
Pensyarah kanan dan guru disiplin Institusi Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, Encik Rohaizad Rohmat, 49 tahun, pernah berkhidmat dalam bidang kejuruteraan, khususnya sektor kimia serta minyak dan gas selama 13 tahun sebelum beralih ke bidang pendidikan. Kini, beliau merupakan penerima Anugerah Guru ITE 2025. - Foto BH oleh KHALID BABA

Diam membisu, tangannya menggeletar setiap kali disapa orang.

Setiap kali dia cuba berbicara, kata-katanya sering tersekat.

Itulah gambaran yang diberi pensyarah, Encik Rohaizad Rohmat, ketika menceritakan tentang seorang pelajar yang meninggalkan kesan bermakna dalam dirinya, ketika mengajar di Institusi Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur pada 2022.

Rupa-rupaya, pelajar berusia 16 tahun itu disahkan menghidap autisme dan mengalami gangguan keresahan sosial yang teruk sejak dari bangku sekolah rendah lagi.

Dalam memastikan pelajar itu tidak terabai, Encik Rohaizad akan memimpin tangannya dengan erat, menemaninya ke kelas, membiarkan dia untuk duduk di sudut kelas demi memastikan dia rasa tenang dan selamat setiap hari.

Berkat usahanya, ibu pelajar tersebut menghampiri Encik Rohaizad sehari selepas kelas pertama lalu berkata ‘Anak saya suka cikgu’.

Ungkapan tersebut, kata Encik Rohaizad, membawa makna besar dalam perjalanannya sebagai seorang guru.

Tanda kepercayaan yang diberinya menjadi titik permulaan kepada perubahan sikap pelajar itu yang perlahan-lahan menunjukkan keyakinan diri dan semakin berani bergaul dengan rakan sekelas.

Empati dan dedikasi inilah yang mengangkat Encik Rohaizad, pensyarah kanan dan guru disiplin ITE Kolej Timur yang berusia 49 tahun, sebagai penerima Anugerah Guru ITE 2025 yang disampaikan di Hotel Orchard Singapura pada 24 Oktober.

Dihubungi Berita Harian (BH), Encik Rohaizad berkata beliau sama sekali tidak menyangka diberi pengiktirafan sedemikian.

“Setiap hari ialah satu tanggungjawab. Ia satu penghormatan dan memberi semangat kepada saya untuk terus berkhidmat,” katanya.

Beliau menambah bahawa isteri dan empat anaknya berusia antara 15 tahun dengan 22 tahun, turut berbangga.

“Mereka cakap, ‘walaupun umur sudah 49 tahun, daddy masih boleh capai sesuatu!’,” ujarnya tersenyum.

Sebelum mengajar di ITE Kolej Timur pada 2014, Encik Rohaizad berkecimpung dalam bidang kejuruteraan, khususnya sektor kimia serta minyak dan gas selama 13 tahun.

Namun, perubahan kerjayanya daripada jurutera kepada pendidik didorong penglibatannya dalam kelas tuisyen hujung minggu anjuran Mendaki. 

“Saya mahu cuba untuk lihat sama ada bidang mengajar sesuai dengan diri saya.

“Saya sedar saya seronok berinteraksi dengan pelajar dan membantu mereka memahami pelajaran,” ujar beliau sambil menambah bahawa minatnya itu sebenarnya sudah berputik sejak di bangku sekolah lagi. 

Isterinya, Cik Nurulbazlin Abu Bakar, 47 tahun, menjadi tonggak sokongan ketika beliau membuat keputusan untuk menukar haluan kerjaya, meskipun ibu bapa beliau pada mulanya dilanda keraguan.

“Mereka tanya, ‘betul ke? Nanti kena mula dari bawah semula’.

“Tapi saya cakap ‘kenapa tidak?’ ITE berasaskan kemahiran teknikal, jadi inilah peluang untuk saya menyumbang kembali kepada industri,” kongsinya.

Kini, setelah hampir 10 tahun dalam bidang pendidikan, beliau bertekad menyalurkan semula bekalan ilmu dan pengalaman yang diperoleh supaya dapat dimanfaatkan pelajar.

“Sepanjang berada dalam industri kejuruteraan, saya telah melihat sendiri pelbagai insiden di tapak pekerjaan, dengan segala langkah berjaga-jaga dan kemalangan yang pernah berlaku.

“Dengan bekalan itu, saya selalu mengingatkan pelajar bahawa setiap peraturan wujud atas sebab tertentu, bukan sekadar untuk dipatuhi malah memastikan mereka kekal selamat dan bertanggungjawab,” ujar beliau yang juga seorang anggota Konstabel Khas Sukarela (VSC).

Mengimbas kembali zaman persekolahannya, guru disiplin itu berkata:

“Disiplin hari ini berbeza daripada tahun 80-an atau 90-an. 

“Dulu boleh guna rotan. Sekarang pelajar akan tanya kenapa — dan itu bagus, sebab mereka berfikir. Disiplin juga satu bentuk pendidikan.”

Berbanding pendekatan menghukum mereka, beliau lebih gemar menggalak pelajar berfikir dan bermuhasabah — pendekatan yang lahir daripada pengalamannya sendiri sebagai pelajar yang nakal suatu ketika dahulu. 

“Saya tidak takut untuk menegakkan peraturan. 

“Tapi saya pastikan mereka faham sebab di sebalik peraturan itu. Ia tentang perubahan, bukan hukuman,” tambahnya.

Keseimbangan antara ketegasan dengan empati itu turut diterapkan beliau di luar bilik darjah.

Bagi Encik Rohaizad, kepuasan dalam mengajar jauh lebih mendalam daripada apa yang pernah dirasainya dalam sektor kejuruteraan.

“Apabila mesin mula berfungsi, itu sudah dianggap satu pencapaian. 

“Namun, apabila seorang pelajar menimba ilmu, kepuasannya jauh lebih besar kerana ilmu tidak akan rosak atau luput. Ia kekal bersama mereka seumur hidup, dan sedikit sebanyak akan membantu membentuk masa depan mereka,” katanya.

Falsafah itu seiring dengan pesanan mentornya yang masih terpahat dalam ingatan.

Walaupun ia mungkin satu kiasan sederhana , ia tetap sarat dengan makna yang menjadi pegangan beliau hingga ke hari ini - ‘Beri seseorang seekor ikan, dia akan hidup sehari. Tapi ajar dia cara memancing, dia akan hidup sepanjang hayat.’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg