100 keluarga di Sembawang terima baucar pasar raya sempena Ramadan
100 keluarga di Sembawang terima baucar pasar raya sempena Ramadan
Amal Care ingin ringan beban penduduk memerlukan di ambang Aidilfitri
Lebih 100 keluarga di kawasan Sembawang Central menerima bantuan baucar pasar raya berjumlah $5,000 dalam satu majlis pengagihan bantuan Ramadan dan acara berbuka puasa masyarakat pada 11 Mac.
Acara pengagihan habuan Ramadan, Restu Amal, itu diadakan di kolong Blok 106A, Canberra Street.
Menteri Kesihatan yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Encik Ong Ye Kung, hadir sebagai tetamu terhormat di acara tersebut.
Bantuan tersebut diagihkan pertubuhan tidak mengaut untung, Amal Care, kepada 100 penerima bantuan di Sembawang Central.
Setiap keluarga menerima baucar pasar raya bagi membantu meringankan perbelanjaan harian mereka, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Acara itu dianjurkan bersama Kelab Masyarakat Sembawang di bawah Persatuan Rakyat (PA) serta Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) bagi Rangkaian Penduduk (RN) di Zon East Canberra 1, 2 dan 3.
Ia turut mendapat sokongan daripada Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), khidmat jagaan warga emas, Blossom Seeds Limited, dan Masjid Assyafaah.
Selain pengagihan bantuan, acara tersebut turut menghimpunkan penduduk setempat untuk berbuka puasa bersama dalam suasana kemasyarakatan yang erat.
Pengerusi MAEC Sembawang, Encik Harmizan Hamid, berkata acara tersebut dianjurkan bagi menggalakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat sempena Ramadan.
“Acara ini terbuka kepada semua untuk datang bersama-sama dalam semangat Ramadan untuk memahami cara umat Islam berpuasa dan juga menikmati (sesi) berbuka puasa bersama sebagai satu masyarakat,” katanya.
Beliau menambah, Amal Care turut menyokong daya usaha tersebut dengan menyumbang baucar bernilai $50 kepada para penerima.
“Amal Care telah menyokong inisiatif ini dengan menyumbang baucar $50 kepada penduduk supaya mereka boleh menggunakannya untuk membeli barangan keperluan Hari Raya pada minggu menjelang perayaan,” ujarnya.
Sebelum ini, Amal Care turut mengagihkan bantuan makanan kepada 1,000 penerima di Wisma Geylang Serai (WGS) serta menganjurkan sesi berbuka puasa bagi golongan kurang berkemampuan dan individu kurang upaya.
Selaras dengan cogan kata, Bersama Kita Prihatin & Membantu, Amal Care terus komited menyemai semangat prihatin dengan memastikan bantuan dan harapan terus diberikan kepada mereka yang memerlukan.

