Bakal jemaah mempunyai pilihan pakej 18 hari pada harga lebih rendah bagi musim haji 2027, dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah meluluskan 37 pakej daripada 10 ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) yang dilantik bagi musim haji akan datang.

Harga bagi 37 pakej itu adalah antara $13,864 dengan $21,199, bergantung pada pakej yang dipilih dan aturan penginapan bilik. Bakal jemaah boleh memilih pakej bagi 18, 23, 25 atau 28 hari.

Ini lebih rendah berbanding harga antara $14,190 dengan $29,895 bagi pakej 24, 25 atau 29 hari yang ditawarkan untuk musim haji 2026.

Jumlah pakej yang diluluskan kali ini juga lebih tinggi berbanding 25 pakej bagi musim haji 2026, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada bakal jemaah yang akan menjalankan rukun Islam kelima itu, kata MUIS dalam satu kenyataan pada 5 November.

Sementara itu, Surat Tawaran akan dikeluarkan kepada 900 bakal anggota jemaah. Mereka yang dipilih akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel mulai 16 November.

MUIS telah menawarkan pakej 18 hari sebagai pilihan tempoh perjalanan paling pendek untuk musim haji akan datang kerana memahami bahawa sesetengah jemaah mungkin mempunyai komitmen keluarga, pekerjaan atau peribadi yang membuatkannya sukar bagi mereka mengambil cuti panjang.

“Ini menawarkan fleksibiliti lebih besar bagi jemaah memenuhi kewajipan agama mereka sementara mengimbangi tanggungjawab dan keadaan peribadi, sekali gus menjadikan haji lebih mudah diakses segmen masyarakat lebih luas,” kata MUIS.

Harga purata pakej haji 2027 ialah $18,094 bagi dua individu sebilik – lebih rendah berbanding $19,154 pada 2026.

Sementara itu, bagi tiga individu sebilik, harganya ialah $17,231, dan bagi empat individu sebilik pula $16,734.

GSA yang dilantik termasuk Azza Travel & Tours, Hagel Travel & Tours, Hahnemann Travel & Tours, Halijah Travels, Hamidah Travel & Tours, Jalaluddin Travel & Services, Noor Mohamad Services & Travel, Shahidah Travel & Tours, Thoha Travel & Tours, dan TM Fouzy Travel & Tours.

Harga pakej termasuk khidmat masyair dan perubatan di Tanah Suci yang disediakan Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO).

Khidmat masyair merangkumi urusan penting semasa hari-hari puncak ibadah haji di Arafah dan Mina, termasuk penyediaan khemah, pengangkutan, makanan, pengurusan orang ramai dan langkah keselamatan.

Harga pakej tidak termasuk tambang penerbangan langsung dengan Saudia Airlines dan perlindungan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMA) yang diatur oleh Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas).

Tambang penerbangan kelas ekonomi lazimnya berharga $3,300 (tertakluk kepada cukai yang berkenaan), manakala perlindungan EMA berharga $295.

MUIS dan Amtas bersetuju untuk menempatkan semua jemaah, tidak kira pakej yang ditempah, di hotel ditetapkan yang sama bagi musim haji akan datang.

Di Madinah, hotel ditetapkan termasuk Sofitel Shahd Al Madinah, Dallah Taibah Madinah, dan Grand Millenium Al Haram.

Semua jemaah akan menginap di hotel Sparks by Hilton di Aziziyah.

Sementara itu, hotel yang ditetapkan di Makkah ialah Elaf Kinda Hotel Makkah, Ghufran Safwah Hotel Makkah dan Al Marwa Rayhaan by Rotana.

Ini bertujuan membantu menguruskan kos pakej keseluruhan dan mempermudahkan penyelarasan pergerakan jemaah dengan lebih baik, termasuk perjalanan antara Madinah, Makkah dengan Jeddah.

MUIS menasihatkan bakal jemaah agar menilai pakej yang diluluskan berdasarkan keperluan dan kemampuan individu sebelum membuat tempahan.

Mereka juga harus membaca dan memahami Kontrak Pembelian Pakej Haji (HPPC) sebelum memberi komitmen.

GSA yang diluluskan juga telah dimaklumkan supaya menjelaskan butiran utama kontrak pakej kepada jemaah.

Bakal jemaah yang telah mendapat makluman daripada MUIS boleh log masuk laman web MyHajSG untuk mendapatkan Surat Tawaran mereka.

Untuk mengesahkan tempat mereka, bakal jemaah mesti menempah pakej haji yang diluluskan daripada GSA yang dilantik dan menyelesaikan prosedur yang diperlukan di laman web tersebut menjelang 30 November.

Maklumat lanjut mengenai pakej haji yang diluluskan serta GSA yang dilantik boleh didapati di laman web go.gov.sg/haj2027packages.

SENARAI GSA YANG DILANTIK MUIS BAGI HAJI 2027

– Azza Travel & Tours

– Hagel Travel & Tours

– Hahnemann Travel & Tours

– Halijah Travels

– Hamidah Travel & Tours

– Jalaluddin Travel & Services

– Noor Mohamad Services & Travel

– Shahidah Travel & Tours

– Thoha Travel & Tours

– TM Fouzy Travel & Tours

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti