Awal tahun ini, Cik Hafizah Abu, 44 tahun, terpaksa membuat keputusan sukar dan mengurangkan susu yang diberikan kepada anak bongsunya, Siti Afiyah Muhammad, lima tahun.

Beliau, seorang ibu tunggal, melakukan demikian kerana ingin berjimat supaya dapat menyara hidup empat anaknya yang berusia antara lima dengan 24 tahun.

Keluarga lima beranak itu juga sudah biasa memakan mi segera dan sosej.

“Saya terpaksa sekat susu yang saya berikan kepada anak saya.

“Biasanya setiap malam, saya buat satu botol penuh, tapi saya terpaksa buat separuh sahaja.

“Lepas tu dia tanya saya, ‘Mummy, kenapa sikit sangat?’... Itu yang buat saya sedih, kerana perlu mengurangkan susunya,” ujar beliau.

Cik Hafizah, yang menerima gaji $300 sebulan hasil kerja sebagai atendan bas sambilan, juga terpaksa membuat beberapa pengorbanan lain untuk mengikat perut.

Sebagai contoh, beliau menggesa guru tadika Afiyah untuk melatih anaknya itu menggunakan tandas demi mengurangkan lampin yang perlu dibeli dan membayar bil secara beransuran.

Malah, beliau kadangkala tidak dapat menambah nilai kad EZ-Link sendiri kerana perlu menambah nilai kad anak-anaknya dahulu.

“Kadang-kadang saya perlu fikirkan... kad EZ-Link siapa yang paling penting untuk ditambah nilai. Kalau saya punya tak penting, saya boleh jalan kaki ke sekolah anak.

“Pada hujung bulan... apabila saya kekurangan wang untuk membeli bahan untuk dimasak, saya akan meminta bantuan ibu saya untuk masakkan (untuk kami).

“Kemudian, ibu saya akan memasak dan membekukan lauk. Jadi, hari-hari berikutnya, ada lauk untuk anak-anak makan,” kata Cik Hafizah.

Sekiranya terdapat bil tertunggak, beliau juga akan membayar secara berperingkat.

“Bil pun kadang-kadang kalau ada yang tertunggak, contohnya $100, saya cuba bayar $50 dulu. Harap-harap lampu dengan air tak mati. Kalau bulan itu ada duit lebih, saya bayar bakinya. Kalau tak ada, bulan depan saya bayar,” kongsi beliau.

Cik Hafizah berkata demikian semasa bercakap kepada Berita Harian (BH) di rumah sewa dua bilik yang didiami keluarga itu di Bukit Batok West, baru-baru ini.

Menurut badan berkanun itu, agihan khas tersebut bertujuan memberikan bantuan tambahan kepada keluarga Muslim berpendapatan rendah bagi meringankan perbelanjaan harian mereka.

Menerusi bantuan Sokongan Kos Sara Hidup, setiap isi rumah menerima sekurang-kurangnya $120, manakala jumlah yang lebih tinggi diberikan kepada isi rumah yang mempunyai keperluan lebih besar berdasarkan pendapatan per kapita (PCI) mereka.

Cik Hafizah menerima $495 menerusi bantuan sokongan tersebut.

Menurutnya, beliau terkejut apabila menerima kiriman dalam talian yang menyatakan beliau mendapat habuan wang tersebut langsung ke akaunnya baru-baru ini.

Beliau, yang pada ketika itu sedang membeli susu anaknya di pasar raya, tidak dapat menahan sebak kerana wang itu membolehkan beliau membeli lebih banyak susu tepung dan susu segar untuk anak-anaknya, ujar beliau.

“Saya beli stok susu banyak, dalam lima hingga enam tin. Saya akan simpan dan ia bertahan kira-kira dua bulan,” kongsi Cik Hafizah, sambil menahan sebak.

Wang sokongan tambahan itu menambah kepada sokongan kewangan sebanyak $700 yang diterimanya dari MUIS – dalam bentuk wang dan baucar fidyah – serta bantuan kewangan daripada Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan Skim Bantuan Kewangan (FAS) Kementerian Pendidikan (MOE).

Menurut Cik Hafizah, bantuan wang tambahan telah memberinya peluang meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak, termasuk membawa mereka ke kawasan permainan bouncy castle di SAFRA Choa Chu Kang.

Di sebalik kesukaran yang dilaluinya, Cik Hafizah melahirkan harapan agar anak-anaknya dapat membina kehidupan lebih baik di masa depan.

“Mama tak nak anak-anak Mama lalui apa yang Mama lalui. Mama nak keluar daripada kitaran ini. Mama nak kamu dapat pekerjaan yang baik, gaji yang baik... Semua anak Mama, Mama nak macam tu,” kata Cik Hafizah, berkongsi bagaimana beliau menasihatkan anak-anaknya.

Bantuan tambahan yang diberikan MUIS kepada penerima zakat itu antara pelbagai sokongan yang diberikan oleh pemerintah untuk membantu warga menghadapi tekanan kos sara hidup dan cabaran ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.

Antaranya, semua isi rumah warga Singapura yang layak menerima baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sebanyak $500 pada Jun 2026.

Golongan yang sama dijadualkan menerima $300 pada Januari 2027.

“

“Pada hujung bulan... apabila saya kekurangan wang untuk membeli bahan untuk dimasak, saya akan meminta bantuan ibu saya untuk masakkan (untuk kami). Kemudian, ibu saya akan memasak dan membekukan lauk. Jadi, hari-hari berikutnya, ada lauk untuk anak-anak makan.”
Cik Hafizah Abu, penerima zakat ang layak menerima bantuan Sokongan Kos Sara Hidup sekali beri daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).