Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Impian jadi doktor, kini terajui strategi penyelidikan sains

Pemangku Pengarah divisyen Institut Genom Singapura A*Star raih Biasiswa LKY, kini akan lanjut pengajian dalam Sarjana Eksekutif Global 
Jul 21, 2025 | 5:30 AM
Dr Asyifah Mohamed Rashid, A*Star
Pemangku Pengarah di Pejabat Strategi dan Operasi di GIS A*Star, Dr Asyifah Mohamed Rashid, merupakan salah seorang daripada dua penerima Biasiswa Lee Kuan Yew 2025. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sejak kecil, Dr Asyifah Mohamed Rashid, bercita-cita menjadi seorang doktor, satu impian yang dirasakannya seiring dengan namanya, ‘Asyifah’, yang bermaksud ‘penyembuh’ dalam bahasa Arab.

Namun, apabila permohonannya ke sekolah perubatan tempatan tidak berjaya dan kos pengajian di luar negara pula di luar kemampuan keluarganya, beliau memilih untuk menceburi bidang sains, khususnya kimia perubatan, kerana ia masih memberinya peluang menyumbang kepada dunia perubatan.

Kini Dr Asyifah adalah Pemangku Pengarah di Pejabat Strategi dan Operasi di Institut Genom Singapura (GIS) Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star).

Beliau memulakan kerjayanya sebagai penyelidik kerana minat mendalamnya terhadap sains dan teknologi.

“Namun, lama-kelamaan, saya mula tertanya-tanya, selain menerbitkan kertas kerja dan menjalankan eksperimen, bagaimana sebenarnya kerja saya boleh memberi kesan kepada kehidupan manusia?” kongsinya kepada Berita Harian (BH) dalam satu temu ramah menerusi e-mel.

Ini mendorongnya beralih ke bidang pentadbiran awam dan strategi, bagi memahami bagaimana sistem, dasar, dan struktur membolehkan sains memberi manfaat sebenar kepada masyarakat.

Kini, pada usia 34 tahun, Dr Asyifah merupakan salah seorang daripada dua penerima Biasiswa Lee Kuan Yew 2025, satu pengiktirafan berprestij yang membuka laluan baginya melanjutkan pengajian Sarjana Eksekutif Global dalam Pentadbiran Perniagaan di Sekolah Perniagaan Insead.

Biasiswa tanpa ikatan itu, yang dibentuk pada 1991 oleh Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Tanjong Pagar, dibiayai dana awam dan diberikan kepada individu cemerlang yang telah menunjukkan komitmen kuat untuk berkhidmat kepada Singapura.

Menurut Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), Dr Asyifah dipilih sebagai penerima biasiswa itu kerana beliau menunjukkan rekod pencapaian dan kepimpinan cemerlang dalam bidangnya.

Ini termasuk komitmennya terhadap khidmat masyarakat menerusi “penglibatannya yang aktif dalam pelbagai pertubuhan akar umbi dan inisiatif yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat”.

Sebagai penerima biasiswa itu, Dr Asyifah akan menerima $10,000 sekali gus.

“Saya benar-benar rendah hati, bersyukur, dan sejujurnya agak terkejut… apabila saya menerima berita itu, ia terasa lebih daripada sekadar satu pencapaian, ia adalah satu amanah.

“Ia satu peringatan untuk saya terus berusaha dengan tekun dan berkhidmat dengan ikhlas, bukan hanya untuk diri sendiri bahkan juga untuk masyarakat dan negara.

“Bagi saya, biasiswa ini bukan sekadar satu penghormatan malah satu tanggungjawab.

“Ia melambangkan kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk terus menyumbang, berkhidmat dengan tujuan, dan membawa perubahan yang bermakna kepada masyarakat dan negara,” ujar Dr Asyifah.

Beliau memulakan kerjayanya di Majlis Penyelidikan Bioperubatan (BMRC) di A*Star pada 2016, dan menguruskan ekosistem pembangunan ubat di Singapura.

Antara tanggungjawab Dr Asyifah Mohamed Rashid, sebagai Pemangku Pengarah di Pejabat Strategi dan Operasi di GIS A*Star termasuk bekerjasama dengan pihak kepimpinan untuk menentukan hala tuju penyelidikan.
Antara tanggungjawab Dr Asyifah Mohamed Rashid, sebagai Pemangku Pengarah di Pejabat Strategi dan Operasi di GIS A*Star termasuk bekerjasama dengan pihak kepimpinan untuk menentukan hala tuju penyelidikan. - Foto BH oleh KHALID BABA

Menurut Dr Asyifah, salah satu projek yang paling mencorak dirinya secara bermakna adalah penubuhan Pusat Pembangunan Ubat Eksperimental (EDDC), yang kini menjadi wadah nasional bagi penemuan dan pembangunan ubat di Singapura.

Pada 2019, ibu dua anak kecil berusia lima dan dua tahun itu dipinjamkan kepada Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), dan beliau menyandang peranan sebagai Penolong Pengarah dan kemudian Penolong Pengarah Kanan dalam Divisyen Tenaga.

Di sana, beliau membangunkan strategi pasaran gas bagi memastikan keselamatan tenaga dan mengimbangi bekalan antara gas berpaip dengan gas asli cecair (LNG).

“Pengalaman itu membuka mata saya tentang betapa rumit tetapi pentingnya sistem nasional, serta bagaimana dasar secara langsung membentuk daya tahan dan kesejahteraan negara kita,” jelas Dr Asyifah.

Apabila pandemik Covid-19 melanda pada 2020, Dr Asyifah menyertai Pasukan Petugas Covid-19 pada penghujung tempoh pemutus rantaian jangkita, ketika tumpuan beralih kepada usaha membuka semula ekonomi dengan selamat.

Penglibatannya, antara lain, termasuk menggubal undang-undang pembukaan semula tempat kerja, melaksanakan sistem SafeEntry Gateway, serta bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam menetapkan keutamaan vaksin bagi pelbagai sektor.

“Tugas itu memang penat, tetapi sangat merendahkan hati. Ia mengukuhkan keyakinan saya akan keupayaan Singapura bertindak balas dengan begitu berkesan kerana kekuatan, dedikasi, dan integriti perkhidmatan awam kita.

“Di sebalik setiap dasar, terdapat pasukan pegawai yang bekerja hingga lewat malam, mengorbankan masa peribadi, bukan kerana diminta, tetapi kerana kami semua percaya bahawa Singapura dan rakyatnya harus sentiasa diutamakan,” kata Dr Asyifah.

Kini, sebagai Pemangku Pengarah di Pejabat Strategi dan Operasi di GIS A*Star, beliau mengetuai operasi yang memastikan penyelidikan dapat dijalankan dengan cekap.

Ini termasuk pengurusan makmal dan keselamatan keseluruhan, perancangan prasarana, dan kerjasama dengan pihak kepimpinan untuk menentukan hala tuju penyelidikan di sana.

Biasiswa Lee Kuan Yew membuka jalan buat Dr Asyifah Mohamed Rashid, melanjutkan pengajian Sarjana Eksekutif Global dalam Pentadbiran Perniagaan di sekolah perniagaan, Insead.
Biasiswa Lee Kuan Yew membuka jalan buat Dr Asyifah Mohamed Rashid, melanjutkan pengajian Sarjana Eksekutif Global dalam Pentadbiran Perniagaan di sekolah perniagaan, Insead. - Foto BH oleh KHALID BABA

Namun, Dr Asyifah percaya untuk melangkah lebih jauh, ilmu pengurusan dan kepimpinan sejagat amat diperlukan.

Beliau berharap pengajian Sarjana Eksekutif Global dalam Pentadbiran Perniagaan dapat memberi beliau keupayaan memimpin dengan lebih berkesan dalam dunia yang kian rumit dan saling berkait.

“Bagi saya, melanjutkan pengajian bukan soal cita-cita peribadi, tetapi juga tentang mempersiapkan diri dengan lebih baik untuk berkhidmat.

“Saya ingin jadi lebih berkesan dalam membina jambatan antara sains dengan dasar, antara penyelidikan dengan penerapan di dunia sebenar, serta antara institusi dengan masyarakat,” dedahnya.

Komitmen Dr Asyifah terhadap perkhidmatan awam tidak hanya terbatas pada sektor dasar dan penyelidikan.

Pada 2015, beliau mula aktif melakukan kerja akar umbi di Marsiling, di bawah bimbingan Penasihat Akar Umbi ketika itu, iaitu mantan Presiden, Puan Halimah Yacob.

Menurut Dr Asyifah, kerja akar umbi menghubungkannya semula dengan hakikat di lapangan dan mengukuhkan keyakinan bahawa dasar dan sistem hanya bermakna jika ia memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerja akar umbi menyuburkan jiwa saya, ia sentiasa mengingatkan saya bahawa kepimpinan bukan sekadar tentang jawatan atau gelaran, tetapi tentang perkhidmatan.

“Ia tentang turun padang, tampil membantu, dan melakukan apa sahaja, walaupun kecil, untuk memperbaiki kehidupan seseorang.

“Semangat inilah yang saya harap saya dapat bawa bersama selagi saya mampu,” luahnya.

Melihat ke hadapan, Dr Asyifah berhasrat membantu membina ekosistem yang membolehkan sains, teknologi, dasar dan masyarakat bergerak seiring.

Selain itu, beliau berharap dapat memainkan peranan dalam membentuk Singapura yang kemajuannya tidak hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi atau kemajuan teknologi, bahkan juga melalui sejauh manakah rakyatnya mengambil berat antara satu sama lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg