Topik diikuti
Pergi ke BHkuMSF: Jaga anak kecil, rekod penjara antara cabaran keluarga ComLink+
MSF: Jaga anak kecil, rekod penjara antara cabaran keluarga ComLink+
Tanggungjawab menjaga anak kecil berusia enam tahun ke bawah merupakan antara cabaran utama yang dihadapi keluarga berpendapatan rendah di bawah ComLink+.
Demikian didedahkan Laporan Trend Sokongan Isi Rumah Berpendapatan Rendah 2026 yang diterbitkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 16 November.
Laporan tersebut turut menyingkap bahawa separuh daripada keluarga yang menerima bantuan ComLink+ itu masih belum mencapai tahap kestabilan pada 2025.
Antara keadaan lain yang dihadapi golongan itu termasuk membesarkan anak sebagai ibu bapa tunggal serta mempunyai anggota keluarga dengan sejarah pemenjaraan.
Inisiatif ComLink+ menyediakan sokongan jangka panjang yang melangkaui bantuan kewangan asas bagi membantu keluarga berpendapatan rendah mencapai kestabilan, berdikari dan meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Menerusi program itu, jurulatih keluarga dan pekerja sosial daripada Pusat Khidmat Keluarga (FSC) bekerjasama dengan keluarga untuk mengenal pasti keperluan mereka serta merangka pelan tindakan berdasarkan matlamat masing-masing.
Keluarga turut boleh menerima insentif kewangan menerusi Pakej Kemajuan ComLink+ bagi mencapai matlamat seperti mendapatkan pekerjaan, memastikan anak mengikuti prasekolah, melunaskan hutang dan memiliki rumah.
Selain itu, Bayaran Kerjasama ComLink+ sebanyak $500 setiap suku tahun diperkenalkan pada Julai 2026, bagi mengiktiraf komitmen keluarga yang bekerjasama dengan jurulatih keluarga atau pekerja sosial dalam melaksanakan pelan tindakan yang dipersetujui.
Laporan itu turut mendedahkan, daripada 5,496 keluarga yang belum mencapai tahap kestabilan itu, 54 peratus mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia enam tahun ke bawah, manakala 40 peratus merupakan keluarga ibu atau bapa tunggal.
Keluarga dengan ibu atau bapa tunggal mempunyai bilangan anggota berupaya bekerja yang lebih kecil, sekali gus boleh menjejas pencapaian mereka dalam pelbagai aspek kehidupan, tambah MSF.
Sebanyak 18 peratus keluarga pula mempunyai sekurang-kurangnya seorang anggota yang pernah dipenjarakan dalam tempoh lima tahun lalu yang boleh menjejas peluang pekerjaan serta hubungan kekeluargaan.
Lebih satu perempat, atau 28 peratus, pula berdepan lebih daripada satu cabaran tersebut.
“Walaupun jurulatih keluarga ComLink+ dan pekerja sosial FSC membantu keluarga menangani cabaran rumit yang dihadapi, MSF menegaskan usaha tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh kementerian itu sahaja.
“Justeru, MSF akan terus bekerjasama dengan agensi pemerintah lain dan rakan masyarakat bagi mencari penyelesaian yang memenuhi keperluan asas keluarga, sekali gus membantu mereka mencapai kestabilan, berdikari dan meningkatkan taraf kehidupan,” tambah MSF.
“
“MSF (Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga) akan terus bekerjasama dengan agensi pemerintah lain dan rakan masyarakat bagi mencari penyelesaian yang memenuhi keperluan asas keluarga, sekali gus membantu mereka mencapai kestabilan, berdikari dan meningkatkan taraf kehidupan.”