Jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengukuhkan perlindungan dan keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran keagamaan, termasuk di madrasah dan masjid, akan mengkaji semula protokol pelaporan insiden.

Selain itu, proses saringan dan pemantauan individu yang bekerja atau berkhidmat sebagai sukarelawan bersama kanak-kanak dan golongan belia juga akan diteliti.

Mereka juga akan mengkaji semula kod etika dan kerangka tatatertib seperti hukuman bagi guru agama, serta mengenal pasti risiko yang muncul seperti pengaruh keagamaan dalam talian dan komunikasi digital, antara lain.

Ini telah diumumkan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada 30 September.

Perkembangan itu dikongsi susulan pengumuman pertama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, mengenai keanggotaan dan skop jawatankuasa tersebut di Parlimen pada 8 September.

Jawatankuasa itu – yang akan dibantu oleh urus setia bersama MCCY dan MUIS – bakal menyerahkan cadangan mereka kepada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam menjelang akhir 2026.

Mereka juga akan berkongsi dapatan dan cadangan mereka secara terbuka kepada masyarakat.

Dalam satu kenyataan bersama pada 30 September, MCCY dan MUIS berkata:

“Dalam mengkaji semula bidang-bidang itu, jawatankuasa tersebut akan mendapatkan pandangan daripada kanak-kanak, golongan belia, dan ibu bapa untuk memahami pengalaman mereka serta membantu merangka cadangan jawatankuasa.

“Cadangan yang dikemukakan mestilah bersifat praktikal dan bersesuaian dengan konteks serta keupayaan institusi yang berbeza. Pengajaran penting dan amalan baik yang relevan juga boleh dipertimbangkan untuk penggunaan yang lebih luas di persekitaran keagamaan yang lain.”

Ia menambah, kajian semula itu menumpukan pada pendekatan pencegahan awal bagi mengukuhkan sistem perlindungan, di samping memperkemas tindakan sedia ada dan menyelaraskannya dengan sistem keselamatan kanak-kanak peringkat kebangsaan.

Senarai sembilan anggota jawatankuasa berkenaan turut diumumkan pada hari tersebut.

Ia akan dipengerusikan bersama oleh Pengarah Eksekutif, Andalus Corporation Pte Ltd, Ustaz Fathurrahman Dawoed dan Ketua Program Keselamatan Global dan Strategi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim.

Selain itu, ia turut merangkumi wakil daripada latar belakang berbeza.

Ini termasuk pakar dalam bidang tadbir urus dan risiko, pendidikan Islam, serta pegawai kanan daripada Pasukan Polis Singapura (SPF), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Pendidikan (MOE).

Mengulas mengenai peranan jawatankuasa itu, MCCY dan MUIS berkata bahawa ia akan menumpukan pada dua bidang utama.

Ia akan mengkaji semula kerangka pemerintahan dan perlindungan dalam persekitaran keagamaan utama, termasuk masjid, madrasah serta pusat pendidikan Islam (IECP).

Di bawah teras tersebut, jawatankuasa tersebut akan mengkaji langkah perlindungan dan batasan profesional yang mengawal selia interaksi serta aktiviti bersama kanak-kanak dan golongan belia.

Menurut MCCY dan MUIS, istilah “kanak-kanak dan golongan belia” merujuk kepada individu di bawah umur 18 tahun.

Mereka juga akan melihat protokol bagi pelaporan insiden dan perkongsian maklumat di dalam serta antara institusi agama.

Ini termasuk bagaimana institusi bertindak balas terhadap sesuatu insiden di lapangan seperti tindakan balas serta-merta, sokongan mangsa dan protokol pengurusan kes.

Pada bidang kedua pula, jawatankuasa itu akan mengkaji semula kerangka yang mengawal selia penyampaian pengajaran agama.

Ini untuk membolehkan masyarakat, terutamanya kanak-kanak dan golongan belia, mengakses bimbingan agama yang diyakini secara selamat, termasuk dalam persekitaran formal, informal dan dalam talian, kata MCCY dan MUIS.