Satu jawatankuasa yang akan mengkaji serta memperkukuh langkah perlindungan di semua institusi agama akan ditubuhkan, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Jawatankuasa itu akan dipimpin oleh Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, dan Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim.

Menurut Encik Zaqy, jawatankuasa itu akan melapor kepada beliau, serta dapatan dan saranannya akan dikongsi secara terbuka dengan masyarakat sebelum akhir 2026.

Beliau mengumumkan demikian di Parlimen pada 8 September berhubung kes seorang ‘pempengaruh agama’ yang dikenakan hukuman penjara dan sebat kerana melakukan kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki muda antara 2023 dengan 2024.

“Saya akan tubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti secara menyeluruh langkah-langkah perlindungan di institusi agama kita, mengenal pasti ruang yang boleh diperbaiki serta memberi cadangan untuk memperkukuh perlindungan sedia ada.

“Usaha ini akan kita lakukan bersama – dengan masjid, pemimpin masyarakat, ibu bapa, kanak-kanak serta belia – untuk berkongsi pandangan, belajar daripada amalan terbaik, dan membina ruang keagamaan yang benar-benar selamat dan terbuka,” ujarnya.

Mengulas peranan jawatankuasa itu, Encik Zaqy berkata bahawa ia akan menumpukan perhatian kepada dua bidang utama.

Ia akan meneliti sama ada langkah perlindungan sedia ada untuk melindungi kanak-kanak bawah umur – bukan sahaja di masjid, malah di sekolah agama – boleh diperkemas dan diperkukuh serta meneliti bagaimana masjid boleh berkongsi maklumat dengan lebih baik supaya sebarang isu dapat ditangani dengan lebih awal.

Ia juga akan mengkaji bagaimana masyarakat, khususnya kanak-kanak dan belia, dapat mengakses bimbingan agama secara selamat.

Ini merangkumi pengajaran agama secara rasmi mahupun tidak rasmi, serta risiko baharu seperti pengaruh dalam talian.

“Dalam melaksanakan usaha ini, kita akan mengimbangi pendekatan kita.

“Kita akan memperketat langkah perlindungan demi keselamatan anak-anak dan belia kita, sambil mengekalkan sifat terbuka dan mesra yang menjadi teras institusi agama kita,” katanya.

Beberapa Anggota Parlimen (AP) turut mengemukakan beberapa soalan susulan di Parlimen mengenai kes itu.

Menjawab pertanyaan Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) mengenai keanggotaan jawatankuasa itu agar mereka merangkumi wakil daripada pelbagai organisasi keagamaan lain di luar institusi masjid, Encik Zaqy berkata bahawa pembentukan jawatankuasa itu diteliti secara serius bagi mengumpulkan kepakaran, pengalaman, dan perspektif yang relevan.

“Kita bukan sahaja melihat dari sudut persekitaran masjid atau keagamaan semata-mata.

“Malah, bagaimana kita sebagai sebuah masyarakat boleh mengambil iktibar daripadanya dan bekerjasama secara erat dengan ibu bapa serta rakan-rakan masyarakat untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak di masjid, premis keagamaan, serta masyarakat secara lebih luas sekiranya mampu,” kongsinya.

Menjelaskan sebab di sebalik pemilihan Ustaz Fathurrahman dan Dr Razwana, Encik Zaqy berkata, ia kerana kedua-duanya merupakan pemimpin masyarakat yang dihormati serta mempunyai kepakaran khusus dalam bidang berkaitan kanak-kanak.

Encik Zaqy menambah bahawa senarai penuh keanggotaan jawatankuasa akan diumumkan kelak.

AP Parti Pekerja (WP) Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang) bertanya mengenai risiko kumpulan agama persendirian yang berinteraksi dengan kanak-kanak di media sosial.

Encik Zaqy menjawab bahawa "ia satu kebimbangan yang serius dan sesuatu yang kami harap dapat dikaji lebih mendalam sebagai sebahagian daripada jawatankuasa semakan.”

“Salah satu mandat yang telah saya tetapkan kepada jawatankuasa semakan adalah untuk turut meneliti risiko-risiko baharu termasuk pengaruh dalam talian terhadap pendidikan agama.

“Ini merupakan satu pengajaran yang baik untuk kita, kerana banyak tindakan yang boleh kita usahakan bersama dari segi melindungi ruang fizikal,” ujar beliau.