Sebelum menyarung jersi Politeknik Republic (RP), Cik Iman Atrisya Iwani Nazarudi sering berada di tepi gelanggang, menyaksikan pasukan tchoukball wanita RP beraksi sambil membayangkan dirinya berada di tempat mereka suatu hari nanti.

Semasa masih di sekolah menengah, remaja berusia 19 tahun itu sering menonton perlawanan tchoukball dalam acara Sukan POL-ITE, kejohanan tahunan yang menghimpunkan pasukan politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Beliau mula tertarik dengan gaya kepimpinan kapten pasukan tchoukball wanita RP ketika itu.

“Saya melihat pada dirinya ciri-ciri yang saya sendiri mahu miliki sebagai pemain dan pemimpin,” katanya.

Beberapa tahun kemudian, Cik Iman bukan sahaja berjaya menyarung jersi RP, malah diberi kepercayaan untuk memimpin pasukan tchoukball.

Namun, perjalanan pelajar Diploma Sains Sukan dan Senaman itu tidak sentiasa lancar.

Cik Iman, mula bermain tchoukball ketika Darjah 4 selepas mendapat galakan daripada bapanya, dan ingin mengikut jejak langkah kakaknya.

Bagaimanapun, ketika di sekolah menengah, Cik Iman mengalami kecederaan lutut semasa bermain bola jaring.

Kecederaan itu menjejasnya selama hampir dua tahun dan memaksanya mengurangkan kegiatan sukan.

Meskipun tidak dapat bermain, beliau tetap menghadiri latihan tchoukball dengan membantu mengambil bola serta memberi maklum balas tentang permainan kepada rakan sepasukan.

“Saya mula meragui kemampuan diri dan tertanya-tanya sama ada saya masih mampu bermain pada tahap yang sama,” katanya.

Pengalaman menjalani fisioterapi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) turut mencetuskan minatnya terhadap bidang sains sukan dan pemulihan kecederaan.

Apabila menyertai RP, Cik Iman akhirnya memberanikan diri untuk kembali ke tchoukball.

Usaha itu membuahkan hasil apabila beliau dipilih menjadi kapten pasukan wanita RP bagi tahun akademik 2025/2026.

Di bawah kepimpinannya, pasukan tersebut bangkit daripada tempat keenam dalam Sukan POL-ITE 2024 untuk meraih pingat gangsa pada edisi 2025.

Bagi Cik Iman, antara tanggungjawab terbesarnya sebagai kapten ialah membina semula keyakinan rakan sepasukan.

Selepas latihan, beliau sering mengumpulkan pemain dalam satu bulatan untuk berkongsi perasaan, memberi maklum balas dan berbincang tentang perkara yang boleh dibaiki.

“Saya percaya ruang yang selamat untuk berkembang sangat penting dalam sukan kerana kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan,” katanya.

Prestasinya turut membuka peluang untuk beliau menyertai Skuad Pembangunan Nasional Tchoukball Wanita Bawah 19 Tahun Singapura.

Perjalanan daripada menonton di tepi gelanggang kepada menjadi kapten pasukan, menjadi lebih manis lagi apabila Cik Iman menerima anugerah Olahragawati Terbaik dalam edisi sulung Kecemerlangan Pelajar Inspirasi Politeknik Republic (Rise).

Anugerah Rise diperkenalkan RP bagi mengiktiraf pelajar dan alumni yang memberi sumbangan bermakna dalam bidang sukan, seni, khidmat masyarakat dan kepimpinan.

Kini, Cik Iman mahu terus bermain tchoukball pada peringkat yang lebih tinggi sambil mengejar cita-citanya dalam bidang pendidikan jasmani atau pemulihan.

Beliau berharap pengalamannya sendiri bangkit daripada kecederaan dapat menjadi inspirasi membantu orang lain kekal aktif dan mencapai potensi mereka.

“

Saya mula meragui kemampuan diri dan tertanya-tanya sama ada saya masih mampu bermain pada tahap yang sama.
Cik Iman Atrisya Iwani Nazarudi.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti