Membesar dalam keluarga berpendapatan tunggal membuatkan Cik Masha Nyanna Wee Junyadi sedar bahawa impiannya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni di universiti bukan sesuatu yang mudah dicapai.

Perasaan ingin menyumbang kepada masyarakat melalui seni telah mendorong Cik Masha melanjutkan pengajian dalam program Reka Bentuk untuk Masa Depan Sosial di Universiti Seni Singapura (UAS) pada 2024.

Dengan itu, anak sulung daripada dua beradik berusia 22 tahun itu bukan sahaja melakukan dua pekerjaan sambilan, malah bergantung kepada bantuan kewangan daripada orang sekeliling bagi membiayai pengajiannya selama dua tahun itu.

Maka, majlis konvokesyen beliau pada 7 Ogos menjadi detik bermakna apabila segala pengorbanan yang dilakukan sepanjang dua tahun lalu akhirnya berbalas dengan segulung ijazah.

Buat julung-julung kalinya, majlis itu menghimpunkan 693 graduan daripada dua institusi UAS, iaitu Maktab Seni Lasalle dan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).

Daripada jumlah itu, seramai lapan graduan menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Lasalle, manakala 11 lagi menerima Anugerah Graduan Terbaik Nafa.

Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, hadir selaku tetamu terhormat.

Cik Masha berkongsi, detik menerima ijazah itu ibarat bukti bahawa kekangan kewangan tidak semestinya menghalang seseorang daripada mengejar cita-cita.

Malah, beliau berharap kisahnya dapat memberi inspirasi kepada bakal artis yang berdepan cabaran serupa.

Ini disebabkan, ketika menerima tawaran mengikuti pengajian pada 2024, keluarganya tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk membayar yuran semester pertama dalam tempoh yang ditetapkan.

Yuran tersebut perlu dibayar dalam tempoh dua minggu bagi mengesahkan tempatnya di universiti.

“Untuk menerima tawaran itu, saya hanya ada sekitar dua minggu untuk membayar yuran. Mencari wang dalam tempoh itu memang sangat mencabar bagi saya dan keluarga.

“Ibu saya pula tidak memenuhi syarat sebagai penjamin di bank, manakala ramai ahli keluarga lain juga tidak dapat membantu. Jadi, saya hampir tidak dapat meneruskan pengajian kerana gagal mengesahkan tempat saya,” katanya.

Cik Masha akur, pengalaman membesar dalam keluarga ibu tunggal membentuk sikapnya agar lebih berjimat cermat dan berhemah dalam berbelanja.

“Saya rasa sejak kecil lagi saya lebih peka tentang soal perbelanjaan berbanding adik saya. Saya sentiasa cuba berjimat dan mengelakkan daripada meminta wang daripada ibu,” kata beliau.

Mujur, dengan bantuan kenalan dan Bantuan Kewangan BinjaiTree serta Anugerah Yayasan Lee, yang membolehkannya membayar semula wang tersebut dan menampung hampir keseluruhan yuran pengajiannya.

“Pengajian di universiti bukan murah.

“Disebabkan itu saya ingin setiap sen yang dibelanjakan digunakan dengan baik demi masa depan sendiri. Saya tidak mahu sekadar menghasilkan seni untuk tujuan komersial, sebaliknya untuk memberi manfaat kepada masyarakat,” kata beliau.

Dalam pada itu, Cik Masha kini bekerja di sebuah pertubuhan pembangunan amal belia, pekerjaan yang diperolehinya beberapa bulan sebelum menamatkan pengajiannya.

Beliau berkata, ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian itu sedikit sebanyak membantunya mendapatkan pekerjaan itu, sambil terus memperkasa golongan muda yang memerlukan sokongan.

“Menjadi sebahagian daripada kohort pertama program ini sangat bermakna buat saya. Bukan selalu kita berpeluang menjadi kumpulan pertama yang melalui sesuatu pengalaman.

“Ijazah ini membuka peluang kepada saya untuk mendapatkan pekerjaan yang bermakna dan memberi kestabilan kewangan.

Pada masa yang sama, saya dapat menggunakan kemahiran yang dipelajari untuk membantu golongan belia daripada latar belakang seperti saya,” kata Cik Masha.