SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kelab Sakura temani mualaf Jepun agar tidak rasa sendiri

Kelab Sakura temani mualaf Jepun agar tidak rasa sendiri

Apr 13, 2026 | 5:30 AM

Kelab Sakura temani mualaf Jepun agar tidak rasa sendiri

Apabila Cik Keiko Soeda Abdullah, memeluk agama Islam pada 1996, terdetik di hatinya untuk mempunyai seorang kawan di sini, yang pernah melalui jerih payah dan mengharungi cabaran sepertinya.

Namun, ketika itu, beliau tidak dapat menemui ramai mualaf Jepun di Singapura.

Mujur secara beransur-ansur, apabila rangkaian kenalannya diperluas, beliau menemui golongan sepertinya.

Daripada situlah, tercetus idea mengasaskan Kelab Sakura, khusus untuk Muslim-Jepun di sini pada Februari 2017.

Bermula dengan hanya lima anggota, kumpulan itu kini sudah meluaskan jangkauannya kepada sekitar 60 hingga 70 anggota mualaf yang berasal dari Jepun.

“Sekitar 2017, saya bertemu dengan beberapa orang Muslim-Jepun. Kami keluar minum kopi dan berbual-bual, lalu kami dapati perbincangan seperti itu sangat bermanfaat.

“Jadi, saya cadangkan, ‘Apa kata kita buat kumpulan (sembang di) WhatsApp supaya kita boleh kongsi maklumat dengan siapa yang berminat?’,” ceritanya.

Menurut Cik Keiko, yang mempunyai nama Islam, Khaiyisha Abdullah, Kelab Sakura ialah wadah berkongsi pelbagai maklumat buat rakan Muslim-Jepun termasuk orang Jepun yang baru berjinak-jinak ingin ketahui lebih lanjut tentang Islam.

Matlamat kelab ini adalah bagi memastikan golongan mualaf itu tidak rasa keseorangan dalam melayari tempoh penting penghijrahan dalam kehidupan mereka.

Mengimbau pengalaman peribadinya ketika memeluk Islam, Cik Keiko melahirkan kerisauan jika identiti budaya Jepunnya hilang, di samping dirinya menghadapi cabaran mencari bahan masakan halal.

“Saya terfikir-fikir dan risau tentang perkara seperti di mana nak solat di tempat kerja. Saya rasa ada juga yang mengalami masalah seperti saya. Jadi kami boleh saling berkongsi.

“Kumpulan kami ini sebenarnya membolehkan anak-anak kecil kami berinteraksi antara satu sama lain. Secara tidak langsung, anggota keluarga pun turut bergaul sesama sendiri.

“Jadi, dengan adanya kumpulan kami ini, dapatlah diyakinkan kami semua boleh menjadi seperti warganegara Singapura walaupun mempunyai latar belakang Jepun,” ujar Cik Keiko.

Beliau bernikah dengan suaminya, Encik Yacob Hussain, yang merupakan anak watan Singapura pada 1997.

Cik Keiko Soeda Abdullah (kiri) telah bernikah dengan suaminya, Encik Yacob Hussain pada 1997.
Cik Keiko Soeda Abdullah (kiri) telah bernikah dengan suaminya, Encik Yacob Hussain pada 1997. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kelab Sakura juga merupakan antara Kumpulan Berbilang Negara Darul Arqam.

Berada di kumpulan tersebut memberi mereka peluang berinteraksi dengan golongan mualaf daripada bangsa lain seperti, Indonesia, Burma, Filipina, dan Cina.

Antara kegiatan yang dianjurkan Kelab Sakura ialah ceramah agama mingguan daripada asatizah tempatan, makan bersama, dan pertemuan bagi setiap bulan penting dalam Islam.

Baru-baru ini pada Disember lalu, beberapa mualaf Jepun juga berpeluang menunaikan umrah buat kali pertama bersama Darul Arqam secara percuma.

Sempena Lebaran, kelab itu merancang mengadakan satu lagi acara Hari Raya bagi meraikannya bersama.

Ia juga bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Jepun.

“Kami sudah menyambut Hari Raya bersama selama beberapa tahun... biasanya diadakan secara potluck, di mana sesiapa yang datang bawa makanan untuk dikongsi, dengan hidangan Jepun dibuat sendiri dan juga sajian Singapura.

“Kami juga menyambutnya dengan gaya Singapura, di mana kami melawat saudara-mara dan rakan-rakan memandangkan kebanyakan daripada kami berkahwin dengan rakyat Singapura,” tambah Cik Keiko.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kelab Sakura pada 2025 di Masjid An Nahdhah.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kelab Sakura pada 2025 di Masjid An Nahdhah. - Foto ihsan KEIKO SOEDA
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg