Topic followed successfully
Go to BHkuDaripada ketenangan Tokyo ke keriuhan Syawal di S’pura
Daripada ketenangan Tokyo ke keriuhan Syawal di S’pura
Wanita Jepun alami kejutan budaya di S’pura, terpaku lihat amalan kunjung-mengunjung Lebaran sarat anggota keluarga, kenalan
Daripada ketenangan Tokyo ke keriuhan Syawal di S’pura
Penghijrahan Cik Risa Shigemi bukan sekadar pemindahan geografi dari Jepun ke Singapura.
Malah, ia adalah satu perjalanan rohani yang cukup bermakna apabila beliau memeluk Islam pada Ogos 2024.
Walaupun pada 2026 Cik Risa – yang turut menggunakan nama Islamnya, Kamilah – menyambut Hari Raya Aidilfitri yang kedua bersama suaminya yang dilahirkan di Singapura, Encik Radzi Barian Arlandito, rasa kekok masih membayangi dirinya.
Namun, berbekal doa dan usaha gigih untuk saling memahami, cabaran itulah yang menjadi tunjang kekuatan buat mereka melayari bahtera rumah tangga selepas diijabkabulkan pada November 2024.
Kini, sambutan Syawal membuka ruang bagi mereka saling menyelami budaya pasangan masing-masing dengan lebih mendalam.
Malahan, kehadiran Encik Radzi dan masyarakat Islam Jepun di Singapura memberikannya kepastian beliau tidak keseorangan.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Risa, 30 tahun, berkongsi antara cabaran unik yang dilaluinya adalah menyesuaikan diri dengan tradisi ziarah masyarakat Melayu yang sering melibatkan kumpulan besar, berbondong-bondong ke rumah sanak-saudara dan handai taulan.
Ia satu perbezaan ketara berbanding budaya di Jepun yang lebih gemar berkumpul dalam kelompok kecil.
“Saya memang culture shock (alami kejutan budaya),” katanya sambil ketawa.
“Suami saya mempunyai keluarga di Indonesia, dan apabila kami ke sana untuk sambutan Raya, terdapat ramai anggota keluarganya yang saling menziarahi.
“Di Singapura juga, apabila kawan-kawan kami dari Darul Arqam datang menziarahi kami ketika Raya, memang penuh satu rumah!” ujarnya.
Beliau kagum dengan ukhuwah masyarakat di sini yang cepat mesra meskipun orang asyik datang dan pergi dalam kehidupan mereka.
“Di Jepun, tak ada kawan yang tiba-tiba datang dan pulang pada bila-bila masa,” tambah beliau.
Mujur, Encik Radzi dan keluarganya berada di sisi untuk membimbing isterinya itu.
Encik Radzi, 33 tahun, berkata memperkenalkan budaya Melayu kepada isterinya bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi beliau sendiri masih dalam proses mendalami selok-belok tradisi Melayu.
Namun, ia tidak mematahkan semangatnya.
“Kadangkala, saya harus rujuk kepada orang tua atau mereka yang lebih tahu tentang maksud di sebalik sesuatu juadah atau adat dan menterjemahkannya dalam bahasa yang mudah difahami.
“Saya amat bersyukur saya tidak sendirian dalam perjalanan ini sebab ada sokongan daripada ibu bapa dan rakan-rakan yang banyak membantu memudahkan proses isteri saya memahami jati diri masyarakat kita,” katanya.
Kisah cinta kedua-duanya berputik apabila mereka bertugas di syarikat Jepun yang sama di sini pada 2019.
Cik Risa telah dihantar untuk bekerja di Singapura.
Selepas berkenalan selama dua tahun dengan wanita dari negara matahari terbit itu, Encik Radzi mula meluahkan isi hati yang terpendam.
Menyingkap kembali detik itu, Cik Risa, berkongsi:
“Ketika itu, beliau (Encik Radzi) menipu saya! Beliau ajak saya makan malam dan berkata terdapat kawan kerja kami yang lain.
“Tetapi bila saya sampai, hanya saya seorang dan ketika itu beliau melahirkan hasrat hatinya untuk menjadi lebih daripada setakat kawan kepada saya.”
Sejak itu, kedua-duanya mengorak langkah untuk saling mengenali dan Cik Risa mula mendalami Islam di Darul Arqam.
Bagi Cik Risa, ia bukanlah keputusan yang sukar untuk tinggal di Singapura kerana beliau gemar dengan cuaca panas dan orang-orang di sini.
Namun, bagi setiap pasangan campur, restu ibu bapa adalah antara perkara paling mencabar yang harus dilalui.
Ketika kedua-duanya ke Jepun untuk melahirkan hasrat hati mereka kepada ibu bapa Cik Risa pada April 2023, ia langsung dijawab dengan “tidak boleh” oleh bapanya, Encik Satoshi Shigemi.
“Bapa saya okey dengan saya berkahwin dengan orang Singapura, namun beliau tidak restu kalau saya bertukar agama,” ujar Cik Risa.
Menurutnya, ketika itu, bapanya mempunyai pandangan serong terhadap Islam kerana maklumat di Internet.
“Di Jepun, Islam ialah agama yang kami tidak begitu tahu dan tidak berbual mengenainya.
“Tetapi, disebabkan saya sudah belajar mengenai Islam di Darul Arqam, ia sedikit sebanyak membantu saya meyakinkan bapa saya dan memperbetulkan salah tanggapannya,” tambah beliau.
Walau demikian, selepas setahun meyakinkan bapanya itu, Cik Risa akhirnya mendapat restu sang ayah.
“Memang ketika itu saya banyak berdoa dan berpuasa dengan cara saya tersendiri.
“Alhamdulillah, pada April 2024, bapa saya terbuka hati untuk saya berkahwin dengan Radzi,” ceritanya.
Dalam perjalanan Cik Risa memeluk Islam, kumpulan sokongan Muslim-Jepun di Singapura, Kelab Sakura, telah membantunya untuk belajar mengenai Islam dan perpaduan hidup di sini.
Antara lain, kumpulan di bawah naungan Darul Arqam itu, menganjurkan perjumpaan bulanan dengan menjemput asatizah untuk berkongsi ilmu dan membuka peluang sukarela.
Mereka turut mengadakan sambutan Hari Raya khusus untuk kumpulan itu setiap tahun dan kegiatan mingguan sepanjang Ramadan.
“Ia menyediakan ruang bagi anggota kumpulan berbincang tentang cabaran kehidupan sebagai seorang Muslim dan ini amat penting bagi saya,” tambah Cik Risa.
Encik Radzi turut menyertai kumpulan itu, yang juga merangkumi ahli keluarga, termasuk pasangan lain dan anak-anak mereka.
“Interaksi ini membantu saya memahami dengan lebih dekat cabaran perpaduan antara budaya Jepun dengan Singapura, sekali gus merapatkan jurang serta memperkukuh ikatan antara kedua-dua negara,” kongsinya.
Sokongan Encik Radzi berterusan dengan beliau ikut turut ikut serta ke kelas agama bersama isterinya di Darul Arqam.
Selain itu, beberapa individu di Darul Arqam turut memainkan peranan penting, termasuk pembimbing dan Naib Kadi mereka, Ustaz Mohammed Nazim Rahuma Dulla, serta teman-teman mualaf yang berada dalam lingkungan umur yang serupa.
“Beliau (Cik Risa) lebih selesa berkongsi kemusykilan dengan rakan-rakan mualaf yang lain berbanding saya sendiri.
“Pengalaman yang dilalui seorang mualaf sangat berbeza dengan cabaran yang saya hadapi sebagai seseorang yang dilahirkan Muslim.
“Alhamdulillah, kami dipertemukan dengan masyarakat yang mempunyai pemikiran serta matlamat yang sama untuk menyokong perjalanan Risa,” kata Encik Radzi.
“
Saya memang ‘culture shock’ (alami kejutan budaya). Suami saya mempunyai keluarga di Indonesia, dan apabila kami ke sana untuk sambutan Raya, terdapat ramai anggota keluarganya yang saling menziarahi. Di Singapura juga, apabila kawan-kawan kami dari Darul Arqam datang menziarahi kami ketika Raya, memang penuh satu rumah!”
