Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemeriahan Hari Keharmonian Kaum di sekolah warnai TikTok

Jul 23, 2025 | 2:20 PM
Pelajar Sekolah Menengah Bukit Batok muat naik video di TikTok untuk galakkan pelajar lain sertai sambutan Hari Keharmonian Kaum.
Pelajar Sekolah Menengah Bukit Batok muat naik video di TikTok untuk galakkan pelajar lain sertai sambutan Hari Keharmonian Kaum. - Foto TANGKAP LAYAR IG @BUKITBATOKSECONDARYSCHOOL

Sempena Hari Keharmonian Kaum pada 21 Julai lalu, pelajar di serata Singapura daripada sekolah rendah hingga maktab rendah, menyambutnya dengan mengenakan pakaian tradisi dan mempamerkannya kepada rakan-rakan.

Baru-baru ini, beberapa sekolah telah menonjolkan kreativiti mereka dengan menggayakan baju tradisi dan memuat naikkannya di wadah media sosial.

Antara yang menarik perhatian ialah video yang dikongsikan oleh Sekolah Menengah Bukit Batok yang bertujuan untuk mengajak pelajar-pelajar lain untuk mengenakan pakaian tradisi pada hari itu.

Dalam video itu, empat pelajar dari latar belakang berbeza, mengenakan pakaian tradisi Jawa, sari india dan dua lagi pakaian tradisional yang bukan asal Singapura.

Hari Keharmonian Kaum di Singapura telah diperingati setiap tahun pada 21 Julai sejak tahun 1997. Ia dilancarkan sebagai sebahagian daripada program Pendidikan Nasional oleh Kementerian Pendidikan.

Hari itu berperanan sebagai peringatan tentang pentingnya keharmonian kaum dan agama dalam masyarakat majmuk Singapura, khususnya mengimbas kembali peristiwa rusuhan kaum pada tahun 1964.

Di Sekolah Rendah Tampines North, nilai-nilai di sebalik sambutan Hari Keharmonian Kaum diperkukuhkan lagi melalui jalinan kerjasama yang kukuh bersama ibu bapa daripada Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (PSG) sekolah itu.

Aktiviti yang dipaparkan termasuk menikmati snek tradisional seperti Haw Flakes, muruku, dan kuih bahulu, serta mencipta Kolam (seni lantai tradisional India yang diperbuat daripada beras atau serbuk berwarna).

Sukarelawan dan pengerusi PSG, Cik Tuty Narvianti SriSung Kouuo, berkata:

“Sebagai sukarelawan, menyokong Hari Keharmonian Kaum merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dan berbaloi. Ia memberi saya peluang bukan sahaja untuk menyumbang kepada sekolah, tetapi juga menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar – meraikan kepelbagaian yang menjadikan Singapura begitu istimewa.

“Saya amat teruja melihat rasa ingin tahu dan keterujaan anak-anak apabila mereka mempelajari tentang budaya yang berbeza. Saya bersyukur atas peluang untuk memainkan peranan kecil dalam TNPS.”

Sesetengah sekolah rendah, seperti Sekolah Rendah Casuarina tidak menyambut Hari Keharmonian Kaum itu pada hari Isnin, sebaliknya penuntut digalakkan memakai seragam tradisional pada hari Jumaat akan datang (25 Julai) untuk selaraskan sambutan dengan Tempoh Bimbingan Guru Tingkatan (FTGP) yang akan berlangsung pada hari itu.

Menurut guru Bahasa Melayu, Cikgu Mohamad Azry, setiap tahun, sekolah itu akan sediakan pameran berbilang kaum, dengan tema baru setiap tahun.

“Tema tahun adalah adat perkahwinan, jadi guru-guru kami akan siapkan pameran untuk setiap bangsa di foyer (ruang legar), dan kemudian pada waktu rehat, murid boleh datang ke pameran & membuat beberapa aktiviti mudah seperti membungkus berkat, menjawab kuiz & sebagainya,” katanya.

Sekolah Menengah Hillgrove juga berkongsikan video trend TikTok menunjukkan dua pelajar dalam seragam sekolah kemudian bertukar ke seragam tradisional sempena sambutan yang diadakan pada 23 Julai.

Tidak ketinggalan, pelajar Maktab Rendah Catholic juga melakukan trend yang sama di akaun TikTok sekolah mereka.

Guru-guru juga memainkan peranan menambahkan lagi semangat meriah mengenakan pakaian tradisional yang mewakili pelbagai kaum di Singapura.

“Mereka dengan bangga memperagakan busana masing-masing sambil berkongsi makna budaya di sebaliknya.

“Ini bukan sahaja menyemarakkan suasana perhimpunan, malah menggalakkan para pelajar untuk menghargai dan berasa bangga dengan warisan budaya bersama kita,” kata Cik Tuty.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg