Kepelbagaian pakar dalam lembaga, jawatankuasa SCIS kunci lahirkan asatizah serba boleh, relevan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kepelbagaian pakar dalam lembaga, jawatankuasa SCIS kunci lahirkan asatizah serba boleh, relevan

Faishal: Lulusan SCIS disediakan pelbagai laluan kerjaya untuk khidmat kepada masyarakat, sama ada sebagai guru agama mahupun karyawan perkhidmatan sosial
Jan 29, 2026 | 9:28 AM

Kepelbagaian pakar dalam lembaga, jawatankuasa SCIS kunci lahirkan asatizah serba boleh, relevan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Dr Faishal (dua dari kiri) menekankan peranan asatizah menjangkaui sekadar pengajaran ilmu agama. Mereka menyokong masyarakat dalam menangani cabaran kehidupan sebenar, termasuk isu perkahwinan, pendidikan, keluarga, dan pekerjaan. Bersama beliau dalam foto ialah Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen (kiri) dan pelajar madrasah yang menyertai Simposium SCIS pada 27 Januari.
Dr Faishal (dua dari kiri) menekankan peranan asatizah menjangkaui sekadar pengajaran ilmu agama. Mereka menyokong masyarakat dalam menangani cabaran kehidupan sebenar, termasuk isu perkahwinan, pendidikan, keluarga, dan pekerjaan. Bersama beliau dalam foto ialah Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen (kiri) dan pelajar madrasah yang menyertai Simposium SCIS pada 27 Januari. - Foto Facebook Muis

Keanggotaan yang pelbagai dalam Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) menjadi tunjang utama bagi memastikan asatizah di negara ini dilengkapi dengan kemahiran serta pengetahuan yang relevan dengan keperluan zaman.

Langkah ini dilihat sebagai strategi penting bagi melahirkan generasi pemimpin agama yang bukan sahaja teguh dalam pengetahuan dan nilai Islam, malah mampu menangani cabaran kompleks dalam konteks masyarakat berbilang bangsa dan budaya di Singapura.

Justeru, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata salah satu tumpuan utama dalam pembangunan SCIS adalah penglibatan barisan profesional daripada pelbagai latar belakang, termasuk tokoh Muslim dan bukan Muslim.

Menurut Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), kehadiran pakar-pakar ini dalam jawatankuasa tertinggi kolej adalah amat berharga bagi membentuk institusi yang dinamik.

“Peranan asatizah kita hari ini menjangkaui sekadar pengajaran ilmu agama. Mereka menyokong masyarakat kita dalam menangani cabaran kehidupan sebenar, termasuk isu perkahwinan, pendidikan, keluarga, dan pekerjaan.

“Ramai di antara anda melihat perkara ini berlaku di lapangan setiap hari. Itulah sebabnya SCIS telah menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) bagi membangunkan pendekatan antara disiplin yang menggabungkan pengajian Islam dengan kemahiran kepimpinan dan sains sosial profesional,” ujar beliau dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada 28 Januari.

Dr Faishal menambah golongan karyawan dan pakar dalam bidang pembangunan serta pengurusan institusi pengajian tinggi, sains sosial, dan pembangunan profesional telah tampil ke hadapan untuk menyumbang dalam pembangunan kolej Islam pertama di Singapura itu.

Ini, menurut beliau, akan menyediakan lulusan SCIS dengan pelbagai laluan kerjaya untuk berkhidmat kepada masyarakat, sama ada sebagai guru agama mahupun karyawan perkhidmatan sosial yang mempunyai pemahaman mendalam tentang prinsip Islam.

“Inilah juga sebabnya mengapa kepelbagaian profesional dalam Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu SCIS sangat berharga.

“Ia merangkumi kedua-dua Muslim dan bukan Muslim. Saya berterima kasih kepada mereka atas sokongan terhadap SCIS agar kita dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat Islam kita, insya-Allah,” ujar beliau.

Dalam menekankan kepelbagaian dalam kepimpinan SCIS, Dr Faishal menekankan kolej tersebut tetap mengekalkan hubungan akrab dengan institusi-institusi Islam terkemuka dunia seperti Dar al Ifta dari Mesir; Universiti Al-Qarawiyyin dari Maghribi dan Universiti Jordan bagi memastikan pengajaran agama kekal berakar umbi pada tradisi, ilmu dan nilai Islam.

Ini diperkukuh lagi dengan adanya bimbingan daripada barisan pemimpin agama setempat, yang diketuai Mufti, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Pada 27 Januari, Dr Faishal telah mengumumkan Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu SCIS di Simposium SCIS.

Mantan Menteri Kabinet dan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, akan mempengerusikan Lembaga Pengelola seramai 12 anggota.

Ini termasuk Ustaz Dr Nazirudin; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah; Mantan Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah, Ustaz Pasuni Maulan; dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan, Real Kaiten Consultancy & Investments, Encik Azriman Mansor.

Pengerusi Lembaga Warisan Negara (NHB); dan Penasihat Kanan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Cik Yeoh Chee Yan; dan Timbalan Setiausaha (Masyarakat dan Belia), Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Cik Amy Hing, turut menganggotai lembaga tersebut.

Sementara itu, Ustaz Dr Nazirudin pula akan mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada 19 anggota.

Antaranya, Timbalan Ketua Eksekutif (Projek Khas), Muis, Dr Albakri Ahmad; Naib Pengerusi, Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri dan Pengarah Eksekutif, Andalus Corporation Pte Ltd, Ustaz Fathurrahman Dawoed; Zamil Kanan di RSIS, NTU, Ustaz Dr Mohamed Ali; dan Pensyarah Kanan dan Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustazah Dr Rohana Ithnin.

Ini di samping Anggota Lembaga Pemegang Amanah SUSS, Cik Ang Bee Lian; dan Timbalan Provos, SUSS, Profesor Madya Allan Chia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg