Faishal: Tadbir urus SCIS dipimpin anggota berpengalaman, termasuk tokoh Melayu/Islam
Faishal: Tadbir urus SCIS dipimpin anggota berpengalaman, termasuk tokoh Melayu/Islam
Ia juga bagi siapkan graduan bagi pelbagai laluan kerjaya
Badan tadbir urus Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) terdiri daripada pasukan pakar yang pelbagai, termasuk tokoh-tokoh utama Melayu/Islam seperti mantan Menteri Kabinet dan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, dan Mufti, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Anggota badan tersebut memainkan peranan penting dalam kepimpinan agama Islam yang kukuh dan disokong oleh individu yang berpengalaman dalam tadbir urus dan pembinaan institusi, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada 28 Januari, Dr Faishal menjelaskan bahawa dengan anggota berpengalaman tersebut, ia akan memberi peluang kepada lulusan SCIS menceburi pelbagai laluan kerjaya, sekali gus berkhidmat dengan berkesan kepada masyarakat Melayu/Islam.
Ini termasuk sebagai guru agama mahupun sebagai karyawan perkhidmatan sosial dengan pemahaman yang kukuh dalam prinsip Islam.
Dr Faishal menambah untuk SCIS melahirkan asatizah yang kukuh dalam pengetahuan dan nilai-nilai Islam, ia memerlukan dua perkara – kepimpinan agama yang kukuh dan hubungan yang erat dengan institusi lain dalam Singapura yang berbilang kaum dan berbilang budaya.
“Dalam hal-hal berkaitan iman dan ajaran agama, ini kekal sebagai amanah yang dipikul oleh para cendekiawan Muslim kita,” kata beliau.
“Tetapi peranan asatizah kita hari ini melangkaui pengajaran ilmu agama. Mereka menyokong masyarakat kita dengan cabaran kehidupan, termasuk perkahwinan, pendidikan, keluarga dan pekerjaan.
“Itulah sebabnya SCIS telah bekerjasama dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) untuk membangunkan pendekatan antara disiplin, yang menggabungkan pengajian Islam dengan kepimpinan dan kemahiran sains sosial profesional,” tambah beliau.
Beliau turut menggariskan kerjasama dengan ulama terkemuka dari seluruh dunia, termasuk Mufti Besar Mesir Dr Nazir Mohamed Ayyad, serta institusi pengajian Islam terkenal, seperti Dar al Ifta dari Mesir; Universiti Al-Qarawiyyin dari Maghribi; dan Universiti Jordan.
Beliau berkata demikian susulan pengumuman bagi pelantikan anggota Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu SCIS di Simposium SCIS pada 27 Januari.
Encik Abdullah akan mempengerusikan Lembaga Pengelola seramai 12 anggota.
Ini termasuk Ustaz Dr Nazirudin; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah; Mantan Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah, Ustaz Pasuni Maulan; dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan, Real Kaiten Consultancy & Investments, Encik Azriman Mansor.
Pengerusi Lembaga Warisan Negara (NHB); dan Penasihat Kanan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Cik Yeoh Chee Yan; dan Timbalan Setiausaha (Masyarakat dan Belia), Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Cik Amy Hing, turut menganggotai lembaga tersebut.
Sementara itu, Ustaz Dr Nazirudin pula akan mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada 19 anggota.
Antaranya, Timbalan Ketua Eksekutif (Projek Khas), Muis, Dr Albakri Ahmad; Naib Pengerusi, Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri dan Pengarah Eksekutif, Andalus Corporation Pte Ltd, Ustaz Fathurrahman Dawoed; Zamil Kanan di RSIS, NTU, Ustaz Dr Mohamed Ali; dan Pensyarah Kanan dan Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustazah Dr Rohana Ithnin.
Ini di samping Anggota Lembaga Pemegang Amanah SUSS, Cik Ang Bee Lian; dan Timbalan Provos, SUSS, Profesor Madya Allan Chia.
Menurut Muis pada 27 Januari, Lembaga Pengelola SCIS bertujuan untuk menyediakan pengawasan strategik terhadap tadbir urus, hala tuju akademik dan pembangunan institusi itu.
Manakala Jawatankuasa Pemandu SCIS pula menyelia penubuhan operasi serta pelaksanaan program, dasar dan rangka kerja.
Sementara itu, badan-badan Melayu/Muslim turut mengucapkan tahniah kepada anggota yang telah dilantik ke Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu SCIS.
Dalam satu hantaran Facebook pada 28 Januari, Yayasan Mendaki menyampaikan ucapan tahniah kepada mantan pengerusinya, Encik Abdullah; mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Cik Zuraidah; serta anggota lembaga pengarahnya, Encik Azriman dan Dr Rohana, atas pelantikan mereka.
Selain itu, AMP Singapura turut merakam penghargaan mereka terhadap pelantikan pengerusinya, Ustaz Fathurrahman.
AMP menambah, mereka teruja dengan hala tuju strategik dan bimbingan akademik yang akan diberikan melalui pelantikan Encik Abdullah serta Ustaz Dr Naziruddin.
Badan tersebut menyifatkannya sebagai “satu pencapaian penting dalam perjalanan kita menuju pengambilan kohort pertama pada 2028.”
Menulis di Facebook pada 28 Januari, AMP berkata:
“Dengan pasukan pakar yang pelbagai ini, kami yakin SCIS akan melahirkan pemimpin agama masa depan yang berakar umbi dalam konteks Singapura.
“Sebagai sebuah organisasi yang komited kepada pemerkasaan masyarakat, kami menantikan kohort pertama pada 2028 serta impak positif yang bakal dibawa oleh kolej ini ke landskap sosio-agama negara kita.”

