Topik diikuti
Pergi ke BHkuKesemua 326 murid madrasah layak ke sekolah menengah
Kesemua 326 murid madrasah layak ke sekolah menengah
Kesemua 326 murid Darjah 6 warga Singapura daripada empat madrasah yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) 2026 dinilai layak melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.
Ini bermakna 100 peratus murid madrasah yang menduduki peperiksaan tersebut mencapai tahap kelayakan ke sekolah menengah.
Dalam satu kenyataan media pada 24 November, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyatakan peratusan murid madrasah yang lulus PSLE kekal melebihi 90 peratus sejak 2014.
Keempat-empat madrasah itu turut berjaya memenuhi tanda aras PSLE yang ditetapkan pada 2026, sekali gus mengekalkan status masing-masing sebagai sekolah yang ditetapkan (designated school) di bawah Akta Pendidikan Wajib.
Ini membolehkan madrasah berkenaan terus menerima murid Darjah 1 yang diberikan pengecualian daripada pendidikan wajib.
Empat madrasah tersebut ialah Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
Melalui kenyataan media, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, mengucapkan tahniah kepada semua murid madrasah yang menamatkan ujian itu.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan mereka supaya berbangga dengan usaha dan pencapaian masing-masing, tanpa mengira keputusan yang diperoleh.
“Tahniah kepada semua murid madrasah kita kerana telah menamatkan PSLE!
“Walau apapun keputusan anda, saya berharap anda berbangga dengan sejauh mana anda telah melangkah dan terus memandang ke hadapan dengan penuh keyakinan,” kata Encik Zaqy.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru atas pengorbanan serta sokongan mereka dalam membimbing anak-anak.
Menurutnya, sokongan itu penting bagi membesarkan generasi muda yang mempunyai pegangan agama yang kukuh, nilai murni dan keyakinan untuk mengejar cita-cita masing-masing, tanpa mengira laluan pendidikan yang dipilih.
Secara keseluruhan, seramai 40,906 murid Darjah 6 menduduki PSLE tahun ini, dengan 98.5 peratus dinilai layak ke sekolah menengah, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).