Baru-baru ini, sebuah petikan video di media sosial mendapat perhatian sebahagian masyarakat Melayu/Islam setempat.

Dalam video tersebut, seorang bapa – yang menjadi tamu sebuah sesi dialog bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad – mengutarakan sama ada pemerintah boleh membuka lebih banyak tempat di madrasah supaya lebih ramai kanak-kanak boleh “mendapat asas agama yang kukuh”.

Dalam jawapannya, Encik Zaqy berkata adalah penting untuk mengawal jumlah tempat di madrasah.

Sekiranya jumlah asatizah semakin berkembang, ini boleh menyebabkan kekurangan peluang pekerjaan dalam bidang agama.

Ada sesetengah pihak di ruang komen kurang bersetuju dengan jawapan menteri sambil memberi hujah berlainan mengenai isu yang dibangkitkan.

Masyarakat perlu memahami bahawa penambahan kuota pelajar madrasah memerlukan kapasiti dari segi kewangan dan sumber lain.

Kos madrasah kebanyakannya dibiayai oleh pendanaan kolektif, yang harus bersaing dengan keperluan lain dalam masyarakat, seperti Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang akan datang.

FIKIR SEMULA MUTU PENDIDIKAN

Sebagai seorang bekas pelajar madrasah, isu mutu pendidikan di madrasah sangat dekat di hati.

Sepanjang 12 tahun menuntut dalam sistem madrasah sejak 2006 – dari peringkat Darjah 1 hingga Prauniversiti (GCE Peringkat ‘A’) – saya sendiri menyaksikan dan merasai kesan kekurangan sumber terhadap mutu pendidikan pelajar.

Antaranya, kimia di makmal sains madrasah sering kali sudah lama melepasi tarikh luput sehingga menyebabkan eksperimen selalu tidak ‘menjadi’ dan menjejas pembelajaran mata pelajaran tersebut.

Kekurangan dana itu juga bererti madrasah sering kali tidak dapat menyediakan tenaga pengajar yang bertauliah.

Contoh lain, di peringkat prauniversiti, saya dan teman-teman hanya mendapat tahu kami telah mempelajari sukatan pembelajaran yang lama hanya beberapa jam sebelum menduduki peperiksaan lisan Bahasa Melayu GCE peringkat ‘A’, sedangkan sukatan tersebut telah dikemas kini lebih setahun lalu.

Tentu sekali pengalaman madrasah saya berbeza dengan pengalaman pelajar di madrasah dan generasi yang lain.

Tetapi, rata-rata hampir setiap pelajar madrasah pernah merasakan kesan kekurangan sumber terhadap mutu pendidikan mereka.

Ini bukanlah sesuatu masalah sekali sahaja atau terpencil, tetapi lebih kepada isu sistemik yang wajar diberi perhatian.

Dalam kajian tesis saya pada 2022 tentang kesan Akta Pendidikan Wajib (Compulsory Education Act) terhadap sistem madrasah, saya mendapati bukan sahaja kurikulum akademik terjejas, malah mutu pendidikan mata pelajaran agama turut menerima tempiasnya.

Pastinya banyak usaha yang telah dan sedang dilakukan untuk memperbaiki mutu pendidikan di madrasah, tetapi pelaksanaannya tidak semestinya sekata disebabkan setiap madrasah mempunyai sistem pentadbiran yang berbeza.

Daripada kita meminta tempat tambahan, sebaiknya kita periksa dan perbaiki dahulu masalah kekurangan sumber untuk pelajar yang sedia ada.

ASATIZAH JUGA PERLU CARI MAKAN

Isu tentang pasaran bidang agama yang semakin padat juga merupakan antara persoalan teras dalam perbincangan di ruang komen.

Menurut Encik Zaqy dalam video tersebut, jumlah asatizah yang bertauliah kini telah meningkat kepada hampir 5,000 daripada 4,000 orang beberapa tahun lalu.

Beberapa pandangan di ruang komen berpendapat pemimpin masyarakat menilai daripada sudut ekonomi dan mementingkan soal kewangan dan keduniaan.

Ini tentu sekali tidak betul – kejayaan tidak seharusnya diukur dengan takaran mata wang.

Namun, ini tidak bererti bahawa isu gaji dan peluang pekerjaan bagi asatizah tidak penting sama sekali.

Menurut kajian oleh Dr Norshahril Saat, Dr Azhar Ibrahim dan Dr Noor Aisha Abdul Rahman, yang diterbitkan dalam buku, Reaching for the Crescent pada 2021, peluang pekerjaan untuk lulusan universiti Islam (yang kebanyakannya merupakan lulusan madrasah) semakin mengecil disebabkan jumlah lulusan yang semakin meningkat, sedangkan peluang pekerjaan dalam jurusan agama adalah terhad.

Mereka juga mendapati meskipun kebanyakan lulusan universiti Islam tersebut berminat menceburi kerjaya selain mengajar agama, mereka menghadapi banyak kekangan dalam menapak ke bidang baharu.

Ini sering kali berlaku kerana mereka tidak dilengkapi dengan pengetahuan tentang peluang pekerjaan, pendidikan yang menyeluruh dan pelatihan yang bersesuaian.

Saya melihat beberapa usaha baik yang telah mengatasi masalah ini.

Contohnya, Yayasan Mendaki dan lulusan madrasah mengadakan program bagi alumni untuk membimbing pelajar madrasah tentang kerjaya yang mereka boleh ceburi.

BERPIJAK PADA BUMI NYATA

Antara masalah ketara dalam wacana tentang pendidikan madrasah ialah jurang antara harapan dengan realiti.

Ada yang berpandangan bahawa sistem madrasah – dan pendidikan secara am – seharusnya bersifat holistik dan merangkumi pembentukan akhlak serta ilmu agama pelajar, bukan sekadar melahirkan ‘robot’ pekerja demi memacu sistem kapitalis.

Sememangnya lulusan madrasah tidak semestinya menjadi asatizah (contoh seperti saya sendiri).

Tetapi pada dasarnya, bukankah sistem madrasah sememangnya bakal dan patut melahirkan golongan asatizah?

Ada juga ibu bapa yang berniat dari awal untuk menghantar anak mereka ke madrasah supaya mereka menjadi golongan profesional yang mempunyai asas ilmu agama yang kukuh.

Persoalannya, apakah ini hanya boleh terjadi dengan memasukkan anak ke dalam madrasah?

Apakah sistem madrasah sambilan atau posmenengah tidak dapat melahirkan golongan karyawan Muslim yang baik juga?

Kita perlu kembali kepada masalah teras iaitu keterbatasan sumber masyarakat.

Berpijaklah di bumi nyata dan bukannya mengharapkan sistem madrasah agar memenuhi segala impian sedangkan kita tidak mempunyai sumber masyarakat yang cukup untuk merealisasikannya.

RISIKO MEROMANTIKKAN SISTEM MADRASAH

Ini membawa kepada inti keresahan sebilangan anggota masyarakat: bagi mereka, madrasah bukan sekadar institusi pendidikan malah, lambang identiti keagamaan.

Mengawal atau mengurangkan tempat di madrasah seakan-akan merapuhkan identiti keagamaan mereka, dan bahkan boleh terasa mencabar hak kebebasan beragama juga.

Sistem madrasah yang pada dasarnya ialah sebuah institusi persekolahan, sepatutnya menyediakan pendidikan yang baik buat pelajar.

Sekiranya madrasah ini benar-benar mewakili identiti keagamaan kita, biarlah ia menjadi institusi yang menghidupkan nilai agama seperti keihsanan.

Kita tidak sepatutnya melihat isu sistem pendidikan madrasah melalui lensa yang meromantikkan atau mengindahkan sistem pendidikan Islam.

Usahlah kita meletakkan harapan tidak membumi atas sebuah sistem madrasah kerana ia akan menjejas anak-anak kita dan masa depan mereka.

Nur Hikmah Md Ali ialah seorang penulis dan bekas pelajar madrasah sepenuh masa di Singapura. Pada 2022, beliau telah menulis tesis tentang kesan Akta Pendidikan Wajib atas sistem madrasah ketika menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan Pengajian Melayu.

“

“Sistem madrasah yang pada dasarnya ialah sebuah institusi persekolahan, sepatutnya menyediakan pendidikan yang baik buat pelajar. Sekiranya madrasah ini benar-benar mewakili identiti keagamaan kita, biarlah ia menjadi institusi yang menghidupkan nilai agama seperti keihsanan. Kita tidak sepatutnya melihat isu sistem pendidikan madrasah melalui lensa yang meromantikkan atau mengindahkan sistem pendidikan Islam.”
Penulis.