Kontinjen Kenderaan atau ‘mobile column’ akan kembali mewarnai Perbarisan Hari Kebangsaan 2025 (NDP 2025), dengan menampilkan format baru yang menyepadukan laluan udara di atas Padang dan paparan lautan di Marina Bay.
Sekitar enam tahun lalu, pada NDP 2019, penonton menikmati gambaran ketangkasan mereka yang menggerakkan Kontinjen Kenderaan tersebut.
Kali ini, sejumlah 143 aset akan tampil dalam pandu lalu di sepanjang St Andrew’s Road.
Sebanyak 22 pesawat akan terbang di atas Padang, manakala lima kapal pula terlibat dalam paparan maritim di Marina Bay pada 9 Ogos, tatkala Singapura meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-60.
Antara lain, 11 aset juga akan membuat penampilan sulung bagi segmen Kontinjen Kenderaan itu, termasuk Kenderaan Jurutera Berperisai (AEV) Hunter; Radar Lokasi Senjata TPQ-53, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF); Kapal Pejuang Dasar Lautan, Angkatan Laut Republik Singapura (RSN); Kenderaan Serangan Taktikal, Pasukan Polis Singapura (SPF); dan Kenderaan Sokongan Perubatan, Generasi Kedua, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Aset terpilih akan memasuki pentas pertunjukan Padang semasa pandu lalu, yang bakal mendekati penonton di Padang dengan aset tersebut, jelas Jawatankuasa Eksekutif (Exco) NDP, dalam satu kenyataan media pada 21 Jun.
Turut terlibat ialah lebih 800 peserta dan kakitangan sokongan daripada agensi yang mengambil bahagian, iaitu SAF, RSN, Tentera Udara Republik Singapura (RSAF), SPF, SCDF, dan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA).
Dalam satu acara media pada 21 Jun, Pengerusi Jawatankuasa Kontinjen Kenderaan NDP 2025, Mejar Teo Wei Kok, berkongsi bahawa Kontinjen Kenderaan 2025 akan menampilkan kisah lelaki dan wanita daripada SAF dan Pasukan Home Team, merentas generasi.
“Kami ingin menghargai pengorbanan dan sumbangan generasi terdahulu, begitu juga anggota perkhidmatan yang sedang berkhidmat pada masa kini.
“Pada masa yang sama, kami ingin memberi inspirasi kepada generasi masa depan untuk meneruskan perjuangan dan membina di atas asas kukuh yang telah diletakkan oleh perintis kami.
“Kami berharap dapat menonjolkan kekuatan dan semangat rakyat menerusi Kontinjen Kendaraan tahun ini (2025) sambil meraikan ulang tahun ke-60 negara kita bersama,” kata Mejar Teo.
Kontinjen Kenderaan 2025 dipaparkan melalui empat segmen – yang pertama bertemakan, ‘Pertahankan Negara Kita’ yang mempamerkan keupayaan SAF dalam melindungi keamanan, kedaulatan dan kemerdekaan Singapura.
Tema kedua, ‘Kekuatan Kita dalam Tindakan’, menonjolkan sumbangan SAF dan SPF kepada keselamatan sejagat serta keupayaan mereka melaksanakan pelbagai jenis operasi.
Di samping itu, tema ketiga ‘Menjamin Keselamatan Singapura’ pula menunjukkan keupayaan pertahanan bersepadu, SAF dan SPF, dalam memastikan keselamatan negara.
Tema terakhir merupakan ‘Dari Generasi ke Generasi’ yang menekankan pengukuhan berterusan Singapura menerusi komitmen pertahanan yang diwarisi antara generasi.
Antara yang terlibat dalam segmen ‘Generasi ke Generasi’ ialah Sarjan Tiga (SGT3) Khairul Azhar Khairudin, 31 tahun, daripada SCDF.
Beliau akan mengambil bahagian bersama abangnya, Pegawai Waran 2 (WO2) Muhammad Khairi Khairudin, 35 tahun, dan bapa mereka, Pegawai Waran Kanan (SWO) 1 Khairudin Mohamed Ali, 61 tahun, seorang tenaga pengajar kanan di Akademi Pertahanan Awam.
“Saya amat bangga dan bersyukur dapat diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam NDP 2025 bersama abang dan ayah saya, dan ia merupakan satu memori yang amat berharga bagi kami.
“Tahun ini (2025), kami akan menaiki kenderaan bersama dan kami bertiga saling memberi motivasi untuk melakukan yang terbaik,” kata SGT3 Khairul Azhar.
“
“Saya amat bangga dan bersyukur dapat diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam NDP 2025 bersama abang dan ayah saya, dan ia merupakan satu memori yang amat berharga bagi kami.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg