Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerja sukarela buka peluang pelajar poly libat dalam NDP

Jun 20, 2025 | 5:00 PM
Encik Nur Muhammad Syahmi Abdul Razak, republic poly
Pelajar Diploma Komunikasi Massa Politeknik Republic (RP), Encik Nur Muhammad Syahmi Abdul Razak, bergambar di sisi pemasangan interaktif ‘The Future We Create’ semasa sesi bertemu media di Pusat NTUC yang terletak di One Marina Boulevard pada 18 Jun. - Foto ST

Seperti ramai rakyat Singapura, Encik Nur Muhammad Syahmi Abdul Razak, membesar dengan menonton Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).

Beliau sentiasa tersentuh apabila melihat montaj tahunan yang memaparkan sejauh mana negara ini telah berkembang.

Kini, buat kali pertama, beliau bukan lagi sekadar penonton.

Sebagai salah seorang daripada lebih 24 anggota Jawatankuasa Penganjur Belia (YOC) bagi acara ‘Sambutan di Persisiran NDP x Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC)’, pelajar diploma komunikasi massa tahun ketiga Politeknik Republic (RP) itu memainkan peranan penting dalam merealisasikan acara tersebut.

Khususnya, beliau merupakan sebahagian daripada pasukan kerahan dan libat urus dalam YOC, yang membantu merancang usaha mendekati golongan belia melalui jelajah kampus di Institut Pengajian Tinggi (IHL) dan media sosial.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) di Pusat NTUC, One Marina Boulevard, pada 18 Jun, Encik Syahmi berkongsi bahawa beliau kali pertama mengetahui tentang peluang tersebut melalui e-mel yang dihantar kepada semua pelajar di politekniknya.

Beliau menganggapnya sebagai satu cara bermakna untuk menyumbang melebihi kerja sukarelawan di peringkat sekolah.

“Saya berminat membuat kerja sukarelawan bagi acara sekolah. Jadi, peluang ini untuk menyumbang acara berskala negara adalah peluang yang amat menarik bagi saya.

“Jadi, saya ambil peluang menyertai acara ini,” ujar Encik Syahmi, yang juga anggota Kelab Pembelajaran Perkhidmatan di RP.

Selain membantu merangka strategi pendekatan terhadap golongan belia, beliau turut memberikan pandangan bagaimana pemasangan interaktif yang dirancang boleh disesuaikan dengan cita rasa belia agar mereka lebih tertarik dan terlibat secara aktif dalam acara sambutan tersebut.

Namun, pengalaman merancang acara sebesar itu turut membawa cabaran tersendiri.

Ini termasuk proses memperhalusi idea yang dikemukakan agar benar-benar mencerminkan suara dan pengalaman unik belia Singapura.

“Saya rasa salah satu cabarannya adalah bagaimana kami mencabar diri sendiri untuk memperhalusi idea-idea yang ada, supaya setiap pemasangan dan sambutan ini benar-benar dapat menangkap semangat golongan belia secara keseluruhan, serta keunikan kami sebagai sebuah generasi.

“Sebagai seorang belia Singapura, cara kami membesar sangat berbeza berbanding belia di negara lain,” kata Encik Syahmi.

Beliau mengimbangi penglibatannya bagi sambutan NDP itu dengan peranannya sebagai pelajar sepenuh masa yang mengendalikan projek dan tugasan sekolah yang lain.

Namun baginya, usaha itu berbaloi.

“Ia tentunya memuaskan. Ini acara berskala nasional, jadi ia merupakan satu komitmen yang jauh lebih besar daripada sekadar untuk sekolah atau masyarakat saya sahaja.

“Anda melakukannya demi seluruh negara. Jadi, ia benar-benar satu pengalaman yang amat berharga,” kongsi beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg