Dakapan penuh kerinduan dan tangisan kesyukuran mengiringi kepulangan kumpulan terakhir 300 anggota jemaah haji Singapura di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 8 Jun.

Kumpulan jemaah tersebut tiba sekitar 3.30 petang dari Jeddah, Arab Saudi, menaiki pesawat Saudia Airlines.

Kepulangan mereka disambut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, yang juga Ketua Delegasi Singapura di Tanah Suci, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, bersama pegawai kanan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Dalam kalangan anggota keluarga yang menanti di dewan ketibaan ialah Aura Qyara Zafirah Adam Soephian, sembilan tahun, yang begitu teruja memegang poster tertera Selamat Pulang Tok Andak.

Murid Sekolah Rendah Teck Whye itu menjelaskan poster itu disiapkan pada pagi 8 Jun sebagai tanda kasih terhadap datuknya, Encik Abdul Aziz Abdul Kahar, 72 tahun, yang mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci selama hampir sebulan.

“Saya buat poster ini sebab saya sayang dan rindu Tok. Saya harap beliau dapat nampak saya dari jauh apabila keluar dari pintu ketibaan,” katanya.

Ketika ditemui media, Dr Faishal berkata beliau berpeluang menyaksikan sendiri ketabahan jemaah sepanjang perjalanan haji tahun ini (2026).

“Sebagai Ketua Delegasi, saya berpeluang bersama jemaah semasa perjalanan haji mereka – dari Madinah dan Makkah hinggalah ke Arafah dan Mina.

“Inilah perjalanan yang telah lama mereka nantikan. Saya amat terharu melihat kesabaran, ketabahan dan semangat saling membantu yang terserlah sepanjang perjalanan ibadah mereka,” katanya.

Sebelum ini, Dr Faishal memaklumkan jemaah Singapura berada dalam keadaan sihat dan menerima sokongan sewajarnya sepanjang musim haji.

Ini meskipun mereka berdepan cuaca panas yang mencecah hampir 47 darjah Celsius di beberapa lokasi yang dikunjungi.

Cik Saadiah Hamidon, 77 tahun, akur tidak pernah putus memanjatkan doa buat anak lelakinya, Encik Saherly Limat, dan menantunya, Cik Wan Norzana Syed Mohamed, kededuanya 53 tahun.

Cik Saadiah, yang pernah menunaikan haji bersama suaminya pada tahun 2000, bersyukur kerana anak dan menantunya diundang menjadi tetamu ke Tanah Suci.

Cik Saadiah Hamidon (berdiri, dua dari kiri) dan suami, Encik Limat Sabtu (berkerusi roda), tidak pernah putus berdoa buat anak lelakinya,  Encik Saherly Limat (berdiri di kanan) dan menantunya, Cik Wan Norzana Syed Mohamed.
Cik Saadiah Hamidon (berdiri, dua dari kiri) dan suami, Encik Limat Sabtu (berkerusi roda), tidak pernah putus berdoa buat anak lelakinya, Encik Saherly Limat (berdiri di kanan) dan menantunya, Cik Wan Norzana Syed Mohamed. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Saya berdoa setiap hari supaya Allah mempermudahkan segala urusan mereka di sana, dikurniakan haji mabrur dan dapat pulang ke tanah air dengan selamat untuk bertemu keluarga,” katanya.

Malah, beliau yakin kemudahan dan sokongan yang dinikmati jemaah hari ini jauh lebih baik berbanding lebih dua dekad lalu, ketika beliau mengerjakan haji.

Encik Saherly, seorang kakitangan awam, berkata: “Ketika berada di Arafah, kami berdoa untuk ibu bapa dan keluarga. Itulah saat paling menyentuh hati kerana kami dapat bermunajat secara langsung kepada Allah dan memohon keampunan-Nya.

“Disebabkan berkat doa ibu bapa dan keluarga yang menjaga anak-anak kami di Singapura juga, kami berasa lebih tenang dan lebih mudah untuk menumpukan perhatian kepada ibadah di Tanah Suci.”

Kemas kini yang diberikan secara berkala oleh agensi pelancongan turut membantu meredakan kebimbangan anggota keluarga yang menanti di Singapura.

Seorang anggota jemaah haji yang selamat pulang ke pangkuan keluarga, Cik Zaidah Ahmad, 60 tahun, yang mengenakan sepasang baju kurung yang pernah dibeli arwah ibunya, Cik Zakiah Samad, di Makkah kira-kira 30 tahun lalu.

Pakaian tersebut dibawanya ke Tanah Suci sebagai kenangan kepada Allahyarhamha yang meninggal dunia pada Januari 2026, sekali gus menjadikan perjalanan hajinya tahun ini lebih bermakna.

Cik Aqilah Jumaat (barisan belakang, dua dari kiri) hadir menyambut kepulangan ibunya, Cik Zaidah Ahmad (barisan kedua, dua dari kanan).
Cik Aqilah Jumaat (barisan belakang, dua dari kiri) hadir menyambut kepulangan ibunya, Cik Zaidah Ahmad (barisan kedua, dua dari kanan). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Seramai 900 anggota jemaah Singapura menunaikan ibadah haji bagi 2026, dengan kumpulan pertama pulang ke Singapura pada 1 Jun, disusuli kumpulan kedua pada 5 Jun, dan yang terakhir pada 8 Jun.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Muis mengesahkan dua anggota jemaah Singapura kembali ke rahmatullah sewaktu di Tanah Suci.

Ia menambah secara umum, kebanyakan anggota jemaah Singapura berada dalam keadaan sihat dan berpeluang menyempurnakan ibadah haji mereka. Masalah kesihatan yang lazim dialami pula termasuk jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan sakit sendi.

Menurut Muis, kes tersebut dirawat di klinik Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO) yang beroperasi di Tanah Suci.

Menyampaikan salam takziahnya, Muis berkata SPAO bersama agensi pelancongan yang terlibat telah berhubung rapat dengan keluarga dua anggota jemaah yang meninggal dunia bagi memberikan sokongan yang diperlukan.

Kerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi dalam urusan pengebumian turut dilaksanakan.

“Muis akan terus menghubungi dan memberikan sokongan kepada keluarga yang terlibat dari semasa ke semasa,” ujar Muis.

Muis turut memohon agar privasi keluarga berkenaan dihormati dalam tempoh mereka melalui saat-saat sukar ini.