Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah meluluskan 25 pakej haji daripada sembilan ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) bagi musim haji 2026.
Harga purata pakej haji bagi dua individu sebilik adalah $19,154 – peningkatan $2,976 berbanding 2025, menurut Muis dalam satu kenyataan pada 27 November.
Peningkatan ini berpunca daripada peningkatan kos penginapan dan perkhidmatan Mashaer di Tanah Suci, kata Muis.
Mashaer merujuk kepada penyediaan khidmat penting untuk jemaah sepanjang hari-hari kemuncak haji di Mina, Arafah dan Muzdalifah.
Ia merangkumi penyediaan khemah, pengangkutan, makanan, pengurusan orang ramai serta langkah keselamatan.
Sembilan GSA yang diberi kelulusan menjual pakej haji terdiri daripada Abu Bakar Travel Services; AQ Travel & Tours; Hagel Travel & Tours; Hahnemann Travel & Tours dan Halijah Travels; Jalaluddin Travel & Services; Noor Mohamad Services & Travel; Shahidah Travel & Tours dan TM Fouzy Travel & Tours.
“Semua harga pakej yang dinyatakan tidak termasuk tambang penerbangan, tetapi ia merangkumi khidmat Mashaer, bantuan perubatan kecemasan yang dilantik Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) dan khidmat perubatan bergerak di Tanah Suci, yang disediakan Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO),” ujar Muis.
Tambahnya, kos tiket ekonomi biasa termasuk cukai adalah sehingga $3,300.
Pengumuman tersebut menyusuli pengumuman tentang keperluan baru yang ditetapkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi agar individu yang ingin menunaikan haji pada 2026 mendapatkan sijil kesihatan dari doktor.
Sijil kesihatan tersebut – yang diperlukan untuk mendapatkan Visa Haji – antara lain mengesahkan bakal jemaah bebas daripada penyakit kronik seperti buah pinggang dan masalah jantung.
Individu sedemikian juga mesti mampu melaksanakan ibadah haji secara berdikari.
Muis menambah ia akan mengeluarkan Surat Tawaran kepada 900 bakal jemaah haji mulai 1 Disember dan mereka diberikan tempoh sehingga 15 Disember bagi mengesahkan dan membeli pakej haji daripada GSA yang diluluskan.
“Sebelum membeli pakej haji, bakal jemaah haji mesti mengemukakan sijil kesihatan perubatan mereka kepada ejen pelancongan untuk mengesahkan mereka sihat untuk menunaikan ibadah haji.
“Pakej (yang ditawarkan) tidak boleh dibeli tanpa mengemukakan sijil tersebut,” tambah Muis.
Sehubungan itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menggesa agar bakal jemaah mendapatkan pakej haji daripada GSA yang telah diluluskan.
Dalam satu kiriman Facebook pada 27 November, beliau berkata:
“Pakej haji adalah satu aspek penting dalam persiapan menuju Tanah Suci. Oleh itu, kepada mereka yang bakal menunaikan ibadah haji, saya sarankan untuk dapatkan pakej haji menerusi ejen-ejen bertauliah.
“Elakkan daripada membeli pakej tidak sah atau menggunakan visa pelancongan dan ziarah untuk menunaikan ibadah haji,” ujarnya.
Musim haji 2026 dijangka bermula pada penghujung Mei 2026, dengan Hari Arafah, iaitu kemuncak haji, dijangka jatuh pada 25 atau 26 Mei, bergantung pada pengumuman pihak berkuasa di Arab Saudi.
Sekitar 76 peratus warga Singapura, atau lebih kurang 7 dalam 10, daripada mereka yang telah memohon untuk menunaikan ibadah haji telah mengisytiharkan kepada Muis mereka disahkan sihat dari segi perubatan bagi melaksanakan rukun Islam kelima itu setelah menerima Surat Hasrat (LOI).
Dalam satu laporan Berita Harian pada 26 November, Muis telah mengeluarkan LOI kepada sekitar 2,000 pemohon secara keseluruhan melalui laman MyHajSG mulai 31 Oktober. Ini bermakna sekitar 1,520 pemohon telah disahkan sihat untuk menunaikan haji.
Baki 10 peratus pemohon telah memilih untuk menangguhkan ibadah haji mereka, manakala 1 peratus telah mengambil keputusan untuk membatalkan rancangan haji mereka.
Lagi 13 peratus pemohon belum memberi respons bagi mengesahkan hasrat sama ada untuk menunaikan haji pada 2026.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg