Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kurang upaya bukan halangan hasilkan karya seni untuk pek NDP 2025

Lima mercu tanda ikonik dorong Mohammad Zulkhairi hasil rekaan tentang nilai keberanian
Jun 9, 2025 | 9:05 PM
Singapura bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-60, atau SG60.
Singapura bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-60, atau SG60. - Foto ZAOBAO

Apa yang tampak seperti seni bina biasa pada mata orang lain, dianggap Mohammad Zulkhairi Lutfi Mohd Azam sebagai karya seni yang ekspresif – dilukis dengan warna dan garisan yang penuh perincian dan emosi.

Meskipun menghidap Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD)  dan Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD), Zulkhairi, 19 tahun, mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada subjek yang memikat hatinya — dalam hal ini, keindahan gaya atau falsafah seni bina yang dipengaruhi oleh karya penyajak Parsi, Jalaluddin Rumi.

Sumbangannya pada rekaan salah satu pek Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 menampilkan mercu tanda seperti Lapangan Terbang Changi dan kuil tradisional – lama dan baru – mencerminkan pertumbuhan dan transformasi Singapura.

Rekaan tersebut adalah salah satu daripada tujuh rekaan pek NDP 2025 yang disumbangkan Zulkhairi dan 40 pelukis kurang upaya lain.

Ketujuh-tujuh rekaan itu diperkenalkan Pengerusi Jawatankuasa Pek NDP 2025, Mejar (MAJ) Desmond Lim kepada media dalam satu acara pelancaran yang diadakan di dewan sekolah kolektif kreatif, New Bahru, pada 9 Jun.

Inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama antara Jawatankuasa Eksekutif NDP 2025 bersama SG Enable dan Art:Dis (Arts & Disability) Singapore, di bawah program i’mable Collective yang menyokong keterangkuman serta mengiktiraf keupayaan golongan kurang upaya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai rekaannya kepada Berita Harian (BH), Zulkhairi berkata: “Saya sukakan bangunan.

“Bangunan lama mempunyai perincian yang indah, manakala yang baru adalah moden dan ringkas.” 

Berteraskan nilai ‘keberanian’ yang menonjolkan warisan dan kemodenan, Zulkhairi melukis lima mercu tanda ikonik – Lapangan Terbang Changi, Marina Bay Sands, Pinnacle@Duxton, kuil dan taman permainan naga yang terletak di Toa Payoh. 

“Ia nampak ringkas, tetapi mempunyai banyak perincian,” jelas Zulkhairi yang mengambil masa antara 10 hingga 20 minit bagi setiap lukisan bangunan.

Setiap elemen seni itu dilakarkan dengan garisan yang halus, penuh ketelitian dan perhatian terhadap perincian. 

Antara kegemarannya ialah lukisan Lapangan Terbang Changi — yang disifatkannya sebagai “besar, dengan bentuk yang ringkas.” 

Zulkhairi memilih untuk melukis lapangan terbang kerana baginya, “ia tempat di mana orang saling membantu – untuk mendarat dan berlepas.”

Gembira dan kagum, itulah perasaan yang dapat diungkapkan tatkala melihat hasil kerjanya. 

Sambil memegang pek tersebut, Zulkhairi berharap agar orang ramai bukan sahaja melihat keindahan visualnya, tetapi turut menghayati maksud di sebalik setiap perincian.

“Anda seakan boleh ‘rasai’ warnanya, dan ‘rasai’ cerita di sebaliknya. 

“Ada makna di setiap bahagiannya,” ujar anak ketiga dalam lima beradik itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg