Bukan Singapura jika bukan kerana masyarakatnya yang berbilang bangsa dan agama.
Itulah pesanan yang ingin disampaikan Nur Fazira Mohd Nuruddin, 11 tahun, menerusi lukisannya yang tertera pada salah satu pek Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025.
Pelajar Sekolah Persatuan Golongan Berkeperluan Khas (APSN) Chaoyang itu melakarkan watak-watak pelbagai kaum, usia dan latar belakang keluarga – cerminan identiti masyarakat majmuk Singapura.
Fazira, yang menghidap kurang upaya intelektual tahap ringan, merupakan antara 41 pelukis kurang upaya – usia antara 10 dengan 73 tahun – yang menyumbang karya seni bagi tujuh rekaan beg NDP 2025.
Ketujuh-tujuh rekaan itu diperkenalkan Pengerusi Jawatankuasa Pek NDP 2025, Mejar (MAJ) Desmond Lim Jun Hao, kepada media dalam satu acara di dewan sekolah yang tersedia dalam ruang kelompok kreatif New Bahru pada 9 Jun.
Inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama antara Jawatankuasa Eksekutif NDP 2025 bersama SG Enable dan Art:Dis (Arts & Disability) Singapore, di bawah program i’mable Collective, yang menyokong keterangkuman serta mengiktiraf keupayaan golongan kurang upaya.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) selepas acara itu, Fazira berkata:
“Saya suka melukis orang. Lukisan saya menunjukkan keluarga dan bangsa yang berbeza kerana di Singapura, semua orang bersama.”
Dengan hanya sebatang pensel dan pensel warna, dia mengambil masa sekitar sejam untuk menyiapkan lukisan itu, yang disifatkannya sebagai mudah.
Apabila ditanya perasaannya melihat hasilnya, Fazira berkata:
“Saya berasa senang... saya telah cuba yang terbaik.”
Fazira merupakan satu-satunya pelajar dari Sekolah APSN Chaoyang yang terlibat dalam projek itu dan dipilih bagi menghasilkan rekaan bagi pek NDP 2025.
Pada Februari lalu, dia menghadiri dua sesi Bengkel Seni NDP 2025, anjuran Temenggong Artists-In-Residence, sebuah syarikat seni bukan tidak mengaut untung.
Rekaan yang perlu Fazira hasilkan berteraskan nilai ‘menyumbang’.
Dia yang mula melukis sejak darjah 1, menyumbang kepada rekaan keseluruhan pek itu dengan menjadikan beberapa watak berbilang kaum sebagai lambang perpaduan.
Di bawah nilai tersebut, lukisan itu meraikan peranan setiap individu dalam membina negara sekali gus menjadi peringatan bahawa masa depan lebih cerah dapat dibina apabila berganding bahu.
Nilai lain ialah kemajmukan, ketabahan, keterbukaan, keberanian, kepedulian dan masa hadapan.
“Jika saya boleh melukis lagi lain kali (untuk NDP), saya mahu melukis sesuatu yang berbeza, iaitu paparan lebih ramai orang memegang bendera Singapura,” kata pelajar darjah lima itu yang bakal menghadiri raptai NDP.
Dalam pada itu, Mejar Lim berkata: “Usaha kerjasama ini bertujuan menghargai dan mengiktiraf bakat para artis, serta menyampaikan visi mereka kepada rakyat Singapura.
“Karya mereka diilhamkan daripada warisan negara, pengalaman bersama dan imaginasi bagi masa depan Singapura.”
Hasil seni itu akan dicetak pada pek NDP berupa beg tote poliester kitar semula.
Ia turut dijadikan sebahagian rekaan set setem Hari Kebangsaan 2025 keluaran SingPost.
Pek NDP 2025 akan diedarkan kepada pengunjung pertunjukan Pendidikan Nasional, rancangan pratonton NDP dan Perarakan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos.
Antara barangan yang terkandung dalam pek itu termasuk beberapa barangan interaktif seperti clappers, selain makanan ringan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg