Lebih banyak ciri mesra golongan warga emas dan berkerusi roda – seperti tanjakan atau ramp, lif lebih besar dan lebih banyak ruang tempat duduk – perlu disediakan di bangunan baru di bawah kemas kini kebolehcapaian peraturan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA).
Bilik menyusu di institusi pendidikan juga akan diwajibkan, kata BCA pada 7 April semasa pelancaran kod kebolehcapaian terbarunya dalam persekitaran terbina.
Peraturan baru itu akan berkuat kuasa bagi pelan bangunan yang dikemukakan mulai 1 November.
Bangunan sedia ada yang menjalankan kerja-kerja penambahan dan pengubahsuaian juga tertakluk pada peraturan baru, namun tidak dikenakan ke atas kerja atau pelan lama yang sudah diluluskan sebelum peraturan ini dikuatkuasa.
Di bawah kod yang dikemas kini, semua pintu masuk utama bangunan yang menghubungkan ke bangunan bersebelahan, kemudahan pengangkutan, penghubung taman dan laluan berjalan kaki terlindung perlu berbumbung dan boleh diakses oleh mereka yang berkerusi roda.
Pengarah eksekutif Persatuan Muscular Dystrophy (Singapura), Cik Judy Wee, yang merupakan antara anggota jawatankuasa semakan kod itu, berkata beliau telah melihat beberapa tempat yang mempunyai tangga berbumbung, tetapi tiada tanjakan.
“Apabila hujan lebat, pengguna kerusi roda akan terkandas. Jika tangga berbumbung, tanjakan juga harus berbumbung,” kata Cik Wee yang berkerusi roda.
Lif juga harus cukup besar untuk memuatkan alat mobiliti peribadi. Butang kawalan dan cermin lif perlu dipasang pada paras rendah agar pengguna berkerusi roda mudah mencapainya dan menggunakan cermin untuk membantu pergerakan semasa mengundur keluar dari lif.
Demi kemudahan warga emas, bangunan mesti menyediakan ruang tempat duduk di kawasan menurunkan penumpang serta lebih banyak tandas yang dilengkapi dengan palang pegangan, tambah BCA.
Bilangan tandas yang dilengkapi dengan palang pegangan perlu ditambah – satu bagi setiap empat tandas, berbanding satu bagi setiap lima sebelum ini.
Lebih banyak bilik menyusu juga akan disediakan untuk golongan ibu yang menyusu di tempat seperti pusat beli-belah, pejabat dan taman perniagaan. Institusi pendidikan yang sebelum ini tidak diwajibkan kini perlu mempunyai bilik tersebut.
Bagi mereka yang mempunyai masalah penglihatan, ciri sentuhan harus dipasang di bahagian atas dan bawah tangga untuk membantu pergerakan, kata pihak berkuasa.
Demikian adalah semakan keenam kepada kod BCA sejak diperkenalkan pada 1990.
Jawatankuasa semakan, yang dibentuk pada September 2023, merangkumi wakil agensi perkhidmatan sosial, pihak berkepentingan industri, institusi akademik, agensi pemerintah dan kumpulan berkepentingan.
Dengan tempoh kelonggaran lebih enam bulan sebelum peraturan baru dikuatkuasa, pihak industri dan profesional binaan mempunyai masa untuk mengintegrasikan keperluan terkini dalam rancangan mereka, tambah BCA.
Cik Sunita Dass, anggota majlis Institut Arkitek Singapura yang turut menjadi anggota jawatankuasa semakan, berkata arkitek yang mempunyai pelan bangunan sedia ada perlu mempertimbangkan ruang yang ada untuk reka bentuk ciri yang boleh diakses.
Namun, beliau berkata perubahan itu tidak “begitu drastik sehingga perlu menyemak keseluruhan reka bentuk”, sambil menambah bahawa kod itu membenarkan inovasi dalam reka bentuk, jadi arkitek mempunyai fleksibiliti lebih besar.
BCA memaklumkan bahawa pemilik bangunan sedia ada yang ingin menaik taraf dengan ciri kebolehcapaian boleh memanfaatkan Dana Kebolehcapaian, yang memberi subsidi kos pembinaan bagi ciri kebolehcapaian dan reka bentuk sejagat, termasuk bilik menyusu dan lif mesra kerusi roda.
Dilancarkan pada 2007, dana berjumlah $40 juta itu membiayai sehingga 80 peratus kos pembinaan bagi ciri asas kebolehcapaian, dan sehingga 60 peratus bagi ciri reka bentuk sejagat, tertakluk pada had $300,000 bagi setiap pembangunan.
Sehingga Mac lalu, seramai 160 pemilik bangunan swasta telah menggunakan dana tersebut untuk menaik taraf bangunan mereka.
Sekitar $20 juta daripada dana itu masih tersedia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg