Lebih 100 pelajar berusia antara empat dengan 17 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah berpeluang mengikuti kegiatan pembelajaran amali dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) serta kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada acara tahunan ‘Kembali Ke Sekolah’ (BTS) M Kuasa Tiga Plus, M³+@Pasir Ris–Changi, yang kini memasuki tahun kelima dengan pendekatan dipertingkat.

Ini di samping menerima keperluan sekolah termasuk set alat tulis, botol air, sarung komputer riba dan baucar untuk mempersiapkan mereka bagi tahun akademik 2027.

Acara tersebut diadakan di Masjid Al-Istighfar pada 28 November.

Inisiatif tersebut diusahakan bersama rakan masyarakat termasuk Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Persatuan Rakyat (PA), Kelab Mendaki, Yayasan Mendaki, Families for Life dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Antara tarikan baharu kali ini adalah penyertaan sulung Oribotix, sebuah inisiatif masyarakat yang bertujuan memudahkan akses pembelajaran robotik secara amali.

Ini di samping penampilan Kelab Mendaki untuk memperkenalkan program bimbingan rakan sebaya yang menghubungkan pembimbing berusia antara 17 dengan 25 tahun, dengan pelajar sekolah menengah.

Ketika ditemui Berita Minggu (BM) semasa acara itu, Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) bagi GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha, berkata inisiatif baharu itu diperkenalkan bagi memperluas akses kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah kepada peluang pembelajaran dan pembangunan diri seperti robotik, pengekodan dan program pementoran.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Program Oribotix merupakan lanjutan daripada usaha kami sebagai sebuah pertubuhan untuk memastikan anak-anak didedahkan kepada teknologi dan pendidikan terkini.

“Ini membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih baik serta sekurang-kurangnya mempunyai pemahaman lebih luas tentang peluang yang tersedia di luar sana,” ujar beliau, yang juga Anggota Parlimen bagi GRC Pasir Ris-Changi.

“Sebab itulah kami membawa Oribotix ke acara ini, supaya kanak-kanak sekurang-kurangnya dapat mengenali dan membiasakan diri dengan teknologi, sekali gus membina keyakinan bahawa bidang ini bukan sesuatu yang jauh daripada jangkauan mereka dan bahawa terdapat sokongan untuk membantu mereka,” tambah Encik Sharael.

Mengulas lebih lanjut tentang penglibatan Kelab Mendaki, Pengerusi M³+@Pasir Ris–Changi, Encik Mohd Azuan Tan, berkata program bimbingan rakan sebaya itu akan memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan sokongan kepada pelajar sekolah menengah sepanjang tahun.

“Bagi pelajar yang lebih dewasa, khususnya di peringkat sekolah menengah, kami merasakan salah satu cara utama untuk terus menyokong mereka adalah melalui program bimbingan yang berterusan.

“Kami berharap melalui hubungan dengan mentor seperti ini, para pelajar dapat didedahkan kepada pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya yang telah dilalui oleh mentormereka.

“Ini juga dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai impian dan cita-cita mereka,” jelas beliau.

Program bimbingan itu akan berlangsung selama enam bulan dan dijadualkan bermula pada April 2027, dengan sesi diadakan setiap dua minggu pada Sabtu.

Dalam pada itu, ibu bapa yang ditemui BM berkongsi bahawa mereka menghargai peluang yang diberikan kepada anak-anak untuk mencuba kegiatan baharu.

Encik Muhammad Aidill Rahmat (kiri), mencuba kraf tangan bersama anak lelakinya, Muhammad Azka Akid Muhammad Aidill, (dua dari kiri) semasa program ‘Kembali ke Sekolah’ (BTS) yang diadakan di Masjid Al-Istighfar pada 28 November.
Encik Muhammad Aidill Rahmat (kiri), mencuba kraf tangan bersama anak lelakinya, Muhammad Azka Akid Muhammad Aidill, (dua dari kiri) semasa program ‘Kembali ke Sekolah’ (BTS) yang diadakan di Masjid Al-Istighfar pada 28 November. - Foto BH oleh KHALID BABA

Bagi Encik Muhammad Aidill Rahmat, 43 tahun, beliau gembira melihat anak-anaknya berinteraksi dengan yakin dan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan, termasuk membina robot.

Menukil pengalaman membina robot di reruai Oribotix bersama anak lelakinya, Muhammad Azka Akid Muhammad Aidill, 13 tahun, beliau berharap pendedahan itu dapat membantu anaknya dalam pelajaran serta memberinya peluang meneroka minat baharu.

“Kita lihat dahulu sama ada dia akan berminat dalam bidang ini pada masa hadapan.

“Saya belum pasti apa minatnya, tetapi apa sahaja yang ingin dilakukannya, saya pasti akan menyokongnya 100 peratus, walaupun bidang itu bukan robotik,” jelas beliau, yang hadir bersama isteri dan lima orang anaknya.

Cik Sarah Zulaikha Md Zakaria (kiri) bersama suaminya, Encik Mohamad Imran Jene, turun padang bersama ketiga-tiga anak mereka mencuba satu aktiviti di reruai Lembaga Penggalakkan Kesihatan (HPB), yang merupakan sebahagian daripada program ‘Kembali Ke Sekolah’ (BTS), yang diadakan di Masjid Al-Istighfar pada 28 November. Ketiga-tiga anak mereka adalah Iris Zahiyah Mohamad Imran, 16 tahun (tengah); Irsyad Zuhair Mohamad Imran, 7 tahun (empat dari kiri); dan Iryn Zuhairah Mohamad Imran, 14 tahun (dua dari kanan).
Cik Sarah Zulaikha Md Zakaria (kiri) bersama suaminya, Encik Mohamad Imran Jene, turun padang bersama ketiga-tiga anak mereka mencuba satu aktiviti di reruai Lembaga Penggalakkan Kesihatan (HPB), yang merupakan sebahagian daripada program ‘Kembali Ke Sekolah’ (BTS), yang diadakan di Masjid Al-Istighfar pada 28 November. Ketiga-tiga anak mereka adalah Iris Zahiyah Mohamad Imran, 16 tahun (tengah); Irsyad Zuhair Mohamad Imran, 7 tahun (empat dari kiri); dan Iryn Zuhairah Mohamad Imran, 14 tahun (dua dari kanan). - Foto BH oleh KHALID BABA

Sehubungan itu, Cik Sarah Zulaikha Md Zakaria, 43 tahun, berkata keluarganya mungkin tidak berpeluang menyertai kegiatan seperti robotik dan Stem sekiranya kos penyertaan terlalu tinggi.

“Selagi kegiatan itu dalam kemampuan kami, kami akan cuba menyertainya.

“Tetapi jika kosnya terlalu tinggi, kami mungkin tidak dapat melibatkan diri.

“Jadi, peluang seperti ini membuka ruang untuk anak-anak kami mencuba sesuatu yang baharu.

“Anak-anak saya mendapati kegiatan itu menarik, terutama sekali apabila mereka dapat menyelaraskan pergerakan mata, tangan dan tubuh dengan gerakan robot.

“Ia juga memberi mereka peluang untuk melakukan aktiviti secara amali,” katanya, ibu kepada tiga orang anak berusia antara 7 dengan 16 tahun.