Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 1,300 ditahan atas kesalahan vape, 67 jalani program pemulihan

MOH, HSA: 102 yang ditahan miliki rokok elektronik mengandungi etomidate
Oct 16, 2025 | 8:33 PM
vape, ditahan, program pemulihan
Seramai 1,339 individu ditahan atas kesalahan berkaitan rokok elektronik atau vape dari 1 September hingga 12 Oktober. - Foto fail

Pihak berkuasa telah menahan 1,339 individu atas kesalahan berkaitan rokok elektronik atau vape, dari 1 September hingga 12 Oktober.

Dalam kenyataan bersama pada 16 Oktober, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyatakan daripada jumlah yang diberkas, 102 individu disahkan memiliki rokok elektronik yang mengandungi etomidate, iaitu bahan terkawal di bawah Akta Racun.

Daripada jumlah itu, 67 individu telah ditempatkan dalam program pemulihan di Institut Kesihatan Mental (IMH), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan beberapa agensi khidmat sosial.

Daripada 67 orang, dua daripadanya gagal menghadiri sesi pertama pemulihan dan mereka sedang disiasat, kata MOH dan HSA.

Individu yang gagal menghadiri sesi pemulihan akan dikenakan tindakan undang-undang.

Pesalah yang didapati memiliki vape boleh dikenakan denda sehingga $2,000, manakala mereka yang memiliki peranti yang mengandungi etomidate boleh didenda sehingga $10,000 dan dipenjara sehingga dua tahun.

Seramai lima individu telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Dadah Berbahaya kerana disyaki mengedar pod rokok elektronik yang mengandungi etomidate, manakala seorang wanita pula didakwa secara berasingan atas kesalahan membekal dan memiliki produk tersebut.

Di lapangan terbang, pusat pemeriksaan darat dan terminal pelayaran, sebanyak lapan kes penyeludupan dikesan dalam tempoh enam minggu itu, dengan lebih 26,000 rokok elektronik dan komponen berkaitan dirampas.

Di samping itu, dua lelaki warga Malaysia yang ditahan pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) ditahan reman kerana disyaki mengimport produk tersebut.

Seorang lelaki warga Singapura juga sedang disiasat selepas didapati menyeludup lebih 9,200 pod rokok elektronik yang disembunyikan dalam kontena kargo di Stesen Imbasan Pasir Panjang pada 17 September, serta memiliki 85 rokok elektronik dan komponennya.

Warga asing berusia 21 tahun merupakan individu pertama disahkan positif menggunakan rokok elektronik yang mengandungi etomidate di Singapura, manakala seorang lagi berusia 28 tahun telah diharamkan daripada memasuki negara ini selama dua tahun.

Semasa perlumbaan Formula 1 (F1) Singapura yang berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober, pegawai HSA dan polis menahan 32 warga asing dan lima rakyat Singapura berusia antara 23 dengan 61 tahun kerana memiliki rokok elektronik.

Semua mereka dikenakan denda di tempat kejadian, kata MOH dan HSA.

Jumlah 37 individu yang ditahan itu merupakan penurunan sebanyak lima kali ganda berbanding pada edisi F1 2024.

Ini dikatakan “berkemungkinan berpunca daripada peningkatan kesedaran terhadap langkah-langkah antivape yang dipertingkatkan sejak 1 September”.

Dalam tempoh enam minggu itu, borang laporan dalam talian dan talian hotline HSA menerima sebanyak 1,968 laporan berkaitan kegiatan rokok elektronik, dan pihak berkuasa itu telah menurunkan lebih 340 senarai jualan, laman web serta kumpulan Telegram yang berkaitan dengan rokok elektronik.

Sejak 1 September, Singapura telah melaksanakan peraturan yang lebih ketat terhadap penggunaan rokok elektronik, dengan penalti lebih tinggi dikenakan serta pemulihan wajib bagi pengguna berulang.

Mereka yang gagal menamatkan program pemulihan akan dikenakan tindakan undang-undang.

Individu yang ditangkap menggunakan rokok elektronik buat kali ketiga atau lebih juga akan didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda sehingga $2,000.

Sementara itu, pengguna rokok elektronik yang mengandungi etomidate diwajibkan menjalani program pemulihan sehingga enam bulan. Pesalah kali kedua akan ditahan dan dikenakan ujian air kencing serta pemulihan, di samping pengawasan wajib selama enam bulan.

Bagi pesalah kali ketiga yang berumur 16 tahun ke atas, mereka akan menjalani rejim pemulihan selama 12 bulan, termasuk penahanan di Pusat Pemulihan Dadah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg