Susulan laporan daripada orang awam, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah mengenal pasti lokasi ‘panas’ di mana terdapat individu menghisap vape di Khatib, Yishun dan Punggol.
Pihak berkuasa turut mengenakan denda kepada lima individu kerana menghisap vape.
Mereka ditangkap semasa operasi penguatkuasaan bersama dari 8 hingga 10 Oktober berumur antara 15 hingga 37 tahun.
Operasi itu dijalankan oleh HSA dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Antara mereka merupakan seorang gadis berusia 15 tahun yang ditangkap di Punggol, lapor The Straits Times (ST).
Dalam kenyataan pada 13 Oktober, HSA berkata: “Susulan maklum balas daripada orang awam yang diterima melalui wadah laporan, kami telah mengenal pasti lokasi ‘panas’ vape dan menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan tersebut.”
Sebanyak enam peranti vape dan komponennya dirampas, termasuk satu vape yang disyaki mengandungi etomidate atau Kpod.
HSA berkata tersebut Kpod itu telah dihantar untuk ujian.
Secara berasingan, seorang individu di bawah umur 21 tahun ditangkap kerana merokok.
Pada September, empat individu berusia antara 24 hingga 43 tahun ditangkap kerana menghisap vape semasa serbuan selama empat hari.
Sebanyak 27 peranti vape dan komponennya dirampas di Tampines dan Kawasan Pusat Bandar (CBD).
Serbuan itu susulan daripada penguatkuasaan denda lebih berat yang dikenakan oleh pemerintah terhadap kesalahan menghisap vape sejak 1 September.
Pesalah vape kini berdepan dengan denda lebih tinggi iaitu $500 bagi mereka yang berumur bawah 18 tahun dan $700 untuk dewasa, berbanding $300 dan $500 sebelum ini.
Mereka yang ditangkap menggunakan Kpod akan dihantar untuk pemulihan wajib.
Pengguna Kpod yang ditangkap kali kedua akan menjalani pengawasan wajib selama enam bulan termasuk ujian dadah dan pemulihan.
Mereka yang ditangkap kali ketiga atau lebih akan ditahan di Pusat Pemulihan Dadah (DRC) untuk rawatan.
Mereka juga perlu menjalani ujian dadah dan pengawasan selama setahun.
Mereka yang berumur bawah 16 tahun akan dikenakan pengawasan wajib dan ujian dadah selama setahun.
Orang ramai boleh melaporkan kesalahan menghisap vape kepada Cawangan Pengawalan Tembakau di 6684-2036 atau 6684-2037 dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, atau dalam talian di www.go.gov.sg/reportvape.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg