Lebih 50 pemandu kereta sewa privet sertai siri ceramah kesihatan di Bishan-Toa Payoh
Lebih 50 pemandu kereta sewa privet sertai siri ceramah kesihatan di Bishan-Toa Payoh
Meski sihat tanpa kencing manis, Encik Ishafizan Buang berasa penting untuk mendalami penyakit kronik ini demi langkah pencegahan.
Sebagai pemandu kereta sewa privet (PHV), beliau banyak menghabiskan masa duduk memandu, kadangkala sehingga 12 jam sehari, sekali gus meningkatkan risiko.
Lebih-lebih lagi, kencing manis sudah sebati dalam sejarah keluarga, termasuk ibu bapanya.
“Penting untuk ambil tahu tentang kencing manis. Kalau kita kena (penyakit), kita cepat penat, mata pun boleh kabur.
“Tetapi kalau kita jaga kesihatan, badan sihat, kita boleh bekerja lebih lama,” kata beliau.
Encik Ishafizan, 47 tahun, adalah antara lebih 50 pemandu PHV yang menyertai siri ceramah kesihatan sulung anjuran M Kuasa Tiga (M³) @Toa Payoh dan NHG Health pada 2 Februari.
Ceramah yang disokong syarikat Grab dan Pejabat Digital Singapura ini, diadakan di Kelab Masyarakat Toa Payoh East, berkongsi panduan pengurusan penyakit kronik, khususnya kencing manis.
Ini merangkumi cara membaca paras gula darah, serta mengenal pasti dan menangani paras gula tinggi dan rendah.
Selain itu, ceramah menyentuh faktor risiko seperti merokok, berat badan berlebihan dan gaya hidup tidak aktif, termasuk maklumat komplikasi penyakit.
Penasihat akar umbi GRO Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, turut hadir. Beliau juga penasihat kepada M³@Toa Payoh.
Encik Saktiandi berkata idea ceramah tercetus apabila beliau melihat penduduk, termasuk seorang pekerja platform, menghidap kencing manis pada usia muda dan pekerjaan mereka terjejas.
Beliau berkata ceramah itu juga diadakan tepat pada masanya, lebih-lebih lagi dengan Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi.
“Tanpa kesihatan, pekerjaan mereka akan terjejas dan kos penyakit itu mungkin sukar ditanggung. Oleh itu, sesi hari ini memberi peluang kepada mereka mendapatkan nasihat daripada jururawat dan pengamal perubatan NHG dan melakukan pengesanan awal,” kata beliau.
“Usaha melakukan pengesanan awal ini amat penting kerana ia akan dapat membantu (menangani penyakit awal) dan memastikan mereka dapat terus bekerja lebih lama untuk keluarga mereka dan bekerja secara sihat dan bijak,” tambah beliau.
Encik Saktiandi berkata pihaknya akan berbincang dengan NHG untuk sesi lain, termasuk topik menangani kolesterol tinggi, satu lagi kebimbangan pemandu PHV.
Encik Ishafizan, yang memandu Grab sejak sedekad lalu, menjaga kesihatan melalui pemakanan, mengelakkan makan berlebihan dan makanan berminyak.
“Diet amat penting sekali kerana kalau terlebih makan, nanti kita ‘food coma’ (rasa kurang bertenaga selepas mengambil makanan berat). Bila dah ‘food coma’, kita akan rasa letih dan tak boleh teruskan kerja,” ujar beliau.
Kakaknya, Cik Isdalinah, 53 tahun, juga seorang pemandu Grab, pula melakukan senaman ringan sebelum dan selepas memandu untuk menguatkan otot dan menghilangkan rasa penat.
Seorang lagi pemandu Grab, Encik Effendy Hamsah, 49 tahun, meluangkan masa berehat sebentar setiap dua atau tiga jam semasa bekerja supaya dapat menggerakkan tubuh.
Beliau turut menyarankan agar subsidi bagi pemeriksaan kesihatan penuh dapat diperluas bagi pemandu PHV untuk mengurangkan beban kos yang mahal.
Pengerusi M³@Toa Payoh, Encik Fauzan Siraj, berkata pemandu PHV memainkan peranan penting, namun jadual padat sering membuat mereka mengabaikan kesihatan sendiri.
“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memperkasa pemandu dengan pengetahuan praktikal mengenai kesihatan yang boleh disepadukan dengan mudah dalam rutin harian mereka.
“Apabila kita menjaga kesejahteraan pemandu kita, kita memperkukuhkan seluruh masyarakat yang mereka beri khidmat kepada,” beliau.

