Jumlah pekerja platform di Singapura telah meningkat sedikit kepada 71,600 pada 2025 berbanding 67,200 pada 2024 namun perangkaan tersebut telah kembali kepada sekitar paras sebelum pandemik Covid-19 pada 2019.
Pada 2019, terdapat sekitar 69,500 pekerja platform di Singapura.
Menurut Laporan Awal Tenaga Pekerja 2025 yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 28 November, kenaikan sedikit jumlah pekerja platform pada 2025 itu didorong oleh jumlah pemandu kereta sewa privet yang meningkat daripada 31,800 pada 2024 kepada 36,000 pada 2025.
Ini “mencerminkan permintaan lebih kukuh bagi khidmat kereta sewa privet, manakala jumlah pemandu teksi dan pekerja penghantaran kekal stabil”.
Terdapat sekitar 20,900 pemandu teksi dan 14,700 pekerja penghantaran pada 2025.
Laporan menunjukkan bahawa sebahagian besar, atau 92.5 peratus, pekerja platform pilih untuk melakukan aturan kerja yang mereka lakukan sekarang – naik daripada 89.8 peratus pada 2024.
Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, dan juga golongan berpendidikan bukan pengajian tinggi terus membentuk golongan terbesar pekerja platform, meskipun jumlah mereka telah merosot pada 2025.
Kadar individu berusia 60 tahun dan ke atas yang melakukan kerja platform turun kepada 35.6 peratus pada 2025 daripada 39 peratus pada 2024.
Sementara itu, mereka yang berpendidikan sekolah menengah membentuk sekitar 28.1 peratus daripada pekerja platform pada 2025, juga turun daripada 34.2 peratus pada 2024.
“Dengan tawaran fleksibiliti dalam waktu dan lokasi kerja, serta aksesibiliti disebabkan halangan kemasukan yang lebih rendah, kerja platform mungkin terus menarik pekerja lanjut usia sedang mereka beralih ke persaraan atau mencari sumber pendapatan alternatif dalam peringkat kerjaya yang lebih lewat,” menurut laporan.
Mulai 1 Januari 2025, undang-undang yang memastikan pekerja platform mendapat perlindungan dan perwakilan sewajarnya telah berkuat kuasa.
Ini termasuk memastikan pekerja platform mempunyai simpanan yang mencukupi bagi perumahan dan persaraan melalui caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan mendapat pampasan kewangan sekiranya mengalami kecederaan semasa bekerja.
Ini selain menyediakan skop entiti, termasuk syarikat dan pekerja yang diliputi di bawah undang-undang, dan rangka kerja undang-undang bagi perwakilan, di mana Persatuan Pekerja Platform (PWA) boleh dibentuk untuk mewakili golongan pekerja itu dalam rundingan bersama syarikat platform.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg