Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai daftar anak ke prasekolah, sokongan terus dipertingkat

MSF: Antara faktor pendorong termasuk meningkat kesedaran tentang pentingnya penjagaan, pendidikan awal kanak-kanak
Jul 7, 2025 | 4:00 PM
Seramai 90 peratus kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun, dan 93 peratus kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun menghadiri prasekolah pada 2024.
Seramai 90 peratus kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun, dan 93 peratus kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun menghadiri prasekolah pada 2024. - Foto fail

Lebih banyak keluarga yang mempunyai anak kecil telah mendaftarkan anak mereka ke prasekolah dalam tempoh sedekad lalu.

Demikian antara perangkaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam Laporan Trend Keluarga 2025 yang dikongsi Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada Majlis Penghargaan Pesta Keluarga Nasional 2025 (NFF) di Hotel One Farrer pada 7 Julai.

Kadar pendaftaran kohort (CER) bagi kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun meningkat dengan ketara daripada 76 peratus pada 2014 kepada 90 peratus pada 2024.

Bagi kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun, kadar itu turut meningkat, meskipun secara sederhana, daripada 91 peratus kepada 93 peratus dalam tempoh yang sama.

Meskipun kebanyakan kanak-kanak menghadiri prasekolah pada 2024, terdapat 10 peratus kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dan 7 peratus kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun masih tidak didaftarkan ke prasekolah.

Sepanjang tempoh 10 tahun lalu, bilangan tempat penjagaan kanak-kanak sepenuh hari meningkat seganda daripada sekitar 104,066 ruang jagaan pada 2014 kepada lebih 200,847 ruang jagaan pada 2024.

Peningkatan itu didorong oleh tambahan bilangan pendaftaran yang meningkat daripada 80,422 pendaftaran pada 2014 kepada 154,173 pendaftaran pada 2024.

Tempat penjagaan bayi sepenuh hari turut naik hampir tiga kali ganda – daripada 5,628 ruang jagaan pada 2014 kepada 16,207 ruang jagaan pada 2024.

Peluasan tersebut dilakukan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, dengan pendaftaran dalam penjagaan bayi sepenuh hari – naik daripada 3,506 pendaftaran kepada 11,265 pendaftaran dalam tempoh yang sama.

Dalam laporan itu, MSF berkata peningkatan kadar pendaftaran itu berpunca daripada beberapa faktor.

Ia termasuk lebih banyak keluarga dwipendapatan, kesedaran yang lebih tinggi tentang kepentingan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak serta peningkatan keupayaan prasekolah di seluruh negara.

Ia turut didorong langkah kebolehcapaian yang diperkenal pemerintah.

Subsidi bagi kanak-kanak berwarganegara Singapura telah dipertingkat, manakala had yuran bagi prasekolah di bawah Skim Pengendali Utama (AOP) dan Pengendali Rakan Kongsi (POP) telah dikurangkan secara berperingkat.

Lantaran, yuran bulanan median bagi penjagaan kanak-kanak merosot daripada $800 pada 2020 kepada $720 pada 2024.

Yuran penjagaan bayi turut berkurang, daripada $1,275 kepada $1,235 dalam tempoh yang sama.

Bagi keluarga berpendapatan median, perbelanjaan sendiri kekal stabil – secara purata 3.5 peratus daripada pendapatan isi rumah untuk penjagaan kanak-kanak dan 6 peratus untuk penjagaan bayi di pusat AOP.

Had yuran penjagaan kanak-kanak sepenuh hari di pusat AOP dan POP telah dikurangkan $40 pada Januari 2025 dan akan diturunkan lagi sebanyak $30 pada 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg