Cik Rosnah Din, 66 tahun, tidak menyangka bahawa keputusannya menangguhkan ibadah haji pada 2024 akan membuka ruang kepada satu peluang keemasan yang lebih bermakna pada 2025, iaitu untuk menjalin ukhuwah bersama sahabat lama.
Pada mulanya, beliau menolak undangan menunaikan haji pada 2024 kerana memerlukan lebih masa untuk melakukan persiapan rapi dari segi fizikal, mental dan rohani.
Keputusan itu rupa-rupanya membawa hikmah tersendiri.
Beliau kini dijadual berangkat ke tanah suci pada Jun 2025 bersama rakan lamanya, Dr Pairah Satariman, 68 tahun, yang juga pernah menangguhkan perjalanan sucinya sebanyak dua kali atas sebab kesihatan.
Tempoh menunaikan haji seiringan dengan sahabat lama ini sebenarnya bukan sesuatu yang dirancang dan berlaku secara kebetulan.
Cik Rosnah yang awal sebelum ini pernah mengerjakan haji buat kali pertama pada 1990, telah mendaftar untuk menunaikan haji sekali lagi pada 2013.
Sementara itu, rakannya ketika menuntut di peringkat prauniversiti di Sekolah Sang Nila Utama, Dr Pairah, pula mendaftar setahun lebih awal pada 2012, namun terpaksa menangguh dua kali pemergian ke tanah suci Makkah, atas masalah kesihatan.
“Malah, apabila kami berdua dijemput untuk menunaikan ibadah haji tahun lalu (2024), kami tidak teragak-agak lagi,” kongsi Cik Rosnah kepada Berita Harian (BH).
Bagaimanapun, antara kebimbangan utama mereka adalah cuaca panas melampau dan pelaksanaan sistem keselamatan serta teknologi baru.
Menurut laporan Pusat Kaji Cuaca Kebangsaan Arab Saudi (NMC), ibadah haji 2025 akan menjadi musim terakhir yang jatuh pada musim panas.
“Dulu saya pergi haji pada usia 30 tahun. Sekarang usia saya 66 tahun, dua kali ganda usia dahulu.
“Zaman mengerjakan haji dulu juga lain. Tiada sistem digital, lantas kita perlu beratur panjang untuk masuk masjid.
“Sekarang, proses keselamatan lebih ketat dan kami pun tidak sekuat dahulu.
“Itu sendiri satu ujian,” kata beliau, yang telah bersara daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada 2014.
Namun begitu, apabila ‘berjodoh’ mengerjakan haji bersama Dr Pairah, seorang Pegawai Projek di Unit Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan (MOE), ia memberikan kekuatan emosi yang besar buat Cik Rosnah.
“Segalanya terasa lebih mudah kerana kami saling memahami,” tambah beliau.
“Apabila seorang penat, yang seorang lagi beri semangat. Kami saling ingatkan tentang ubat, tentang makanan, dan saling bantu buat persiapan,” ujarnya.
Kedua-dua sahabat itu kini mengikuti kelas persediaan haji anjuran agensi bertauliah serta mengambil bahagian dalam program kesihatan haji, oleh Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas).
Ini termasuk kegiatan berjalan pantas sejauh lima kilometer, senaman ringan, sesi perkongsian pengalaman dengan bekas anggota jemaah haji, dan ceramah kesihatan.
Mereka juga saling menjaga kesihatan dan pemakanan.
“Dr Pairah banyak ingatkan saya tentang pengambilan ubat sebab saya ada kencing manis dan darah tinggi.
“Beliau pula ada masalah gastrik. Kami pastikan makanan sesuai untuk kedua-dua pihak,” jelas Cik Rosnah.
Hubungan yang terjalin sejak zaman sekolah itu turut membolehkan mereka berkomunikasi secara jujur dan terbuka mengenai cabaran yang dihadapi.
“Apabila saya rasa letih atau ragu, beliau tenangkan saya.
“Apabila beliau risau tentang kesihatannya pula, saya beri semangat.
“Kami tahu batasan masing-masing dan cuba untuk tidak memberatkan satu sama lain,” kata Cik Rosnah.
Walaupun peraturan baru dan cabaran fizikal menunaikan haji menjadi kebimbangan bagi kebanyakan jemaah warga emas, Cik Rosnah dan Dr Pairah melihat peluang itu sebagai detik istimewa dalam persahabatan mereka yang telah terjalin lebih 40 tahun lamanya.
“Perjalanan haji kami ini bukan sekadar ibadah, malah lambang persahabatan, di mana kami akhirnya dapat pergi menunaikan haji bersama.
“Ia merupakan satu rezeki yang kami syukuri sepenuh hati,” kata Cik Rosnah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg