Bagi Encik Saifullah Kadeer, 59 tahun, dari Tampines, persiapan menunaikan ibadah haji bukan sekadar pada aspek rohani dan logistik semata-mata.
Lebih penting, katanya, adalah memastikan kesihatan diri berada dalam keadaan paling optimum sebelum menjejakkan kaki ke tanah suci.
“Ramai orang hanya fokus pada bimbingan ibadah, jadual penerbangan, dan keperluan visa.
“Tapi saya sedar bahawa kesihatan ialah asas kepada ibadah yang sempurna,” katanya ketika ditemui selepas menerima vaksin meningokokus di sebuah klinik kesihatan berhampiran kediamannya.
Segalanya bermula apabila beliau menghadiri sesi taklimat kesihatan jemaah haji yang dianjurkan oleh sebuah ejen penjualan (GSA) pakej haji.
Dalam sesi itu, seorang doktor telah memberikan penerangan mendalam tentang risiko penyakit berjangkit ketika musim haji.
Jemaah haji dari Singapura yang akan menunaikan ibadah haji ke Makkah wajib menerima suntikan vaksin meningokokus, influenza dan Covid-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi.
Suntikan vaksin meningokokus melindungi daripada penyakit seperti meningitis, septisemia dan radang paru-paru.
Meningitis ialah jangkitan bakteria yang boleh menyebabkan keradangan pada lapisan otak dan saraf tunjang. Ia boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti kehilangan pendengaran, sawan, dan kecacatan kekal.
“Saya tak sangka penyakit meningitis boleh merebak begitu cepat dalam kalangan jemaah, malah doktor memberitahu boleh membawa maut dalam masa 24 jam,” ujar Encik Saifullah.
Penyakit meningokokus disebabkan oleh bakteria, Neisseria meningitidis, dan tersebar melalui titisan pernafasan sesuatu yang sangat sukar dielakkan dalam keadaan jemaah yang berhimpit-himpit, terutama semasa menunaikan ibadah haji.
“Doktor memberitahu saya bahawa vaksin ini bukan hanya lindungi saya, tetapi juga lindungi jemaah lain kerana ia menghalang saya daripada menjadi pembawa senyap penyakit itu,” jelas Encik Saifullah.
Vaksin meningitis tergolong dalam kumpulan vaksin konjugat, iaitu gabungan protein dengan komponen bakteria yang telah dilemahkan.
Ia terbukti berkesan dalam merangsang imuniti yang kukuh dan tahan lama, bahkan kepada kanak-kanak serta warga emas.
“Selepas disuntik, saya hanya rasa lenguh sikit di lengan. Tak ada demam pun,” kata Encik Saifullah.
Vaksin itu telah diuji secara klinikal di pelbagai negara dan diluluskan oleh badan kesihatan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sejak program vaksinasi meningitis diperkenal secara meluas, banyak negara mencatat penurunan ketara dalam kes meningitis.
“Doktor beritahu penting untuk tahu bahawa jangkitan ini tak semestinya bermula dengan gejala jelas.
“Kadang-kadang, gejala awal menyerupai demam biasa. Bila dah terlambat, peluang untuk rawatan berkesan jadi sangat rendah,” ujar Encik Saifullah.
Encik Saifullah turut berkongsi bahawa beliau memilih untuk mengambil vaksin lebih awal, iaitu sebulan sebelum tarikh berangkat ke tanah suci.
Ini bagi memastikan antibodi yang dihasilkan dapat memberi perlindungan optimum.
“Doktor sarankan sekurang-kurangnya 10 hari sebelum berangkat, tapi saya buat lebih awal untuk berjaga-jaga.
“Saya tidak mahu mengambil risiko ditolak masuk atau tertangguh semasa di pintu masuk Saudi kerana gagal mematuhi syarat vaksinasi.
“Oleh itu, saya mendapatkan suntikan sebulan lebih awal,” ujar beliau.
Selain untuk melindungi diri sendiri, beliau percaya vaksinasi merupakan tanggungjawab sosial.
Dalam kalangan jutaan jemaah yang datang dari pelbagai negara, imunisasi membantu mencegah penularan wabak secara besar-besaran.
“Bayangkan kalau saya bawa kuman itu dan jangkitkan pada jemaah lain yang lebih lemah daya tahan mereka. Saya tak mahu jadi penyebab orang lain jatuh sakit,” tegas beliau.
Setelah melalui sesi vaksinasi dan mendapatkan penjelasan doktor, Encik Saifullah kini berasa lebih tenang dan bersedia untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
“Sebagaimana kita sediakan rohani untuk ibadah, tubuh kita juga perlu dilindungi.
“Vaksin meningitis ini bukan sekadar syarat perjalanan, tapi ikhtiar untuk kekal sihat sepanjang berada di tanah suci,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg