Lembaga Pengiktirafan Asatizah bukan untuk sekat, tapi perkukuh kecekapan selari keadaan semasa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lembaga Pengiktirafan Asatizah bukan untuk sekat, tapi perkukuh kecekapan selari keadaan semasa

Pengerusi baru ARB, Ustaz Nor Razak Bakar, lahirkan azam perteguh kepercayaan masyarakat sambil terus gigih tingkatkan tahap profesionalisme asatizah setempat
Dec 8, 2025 | 6:00 PM

Lembaga Pengiktirafan Asatizah bukan untuk sekat, tapi perkukuh kecekapan selari keadaan semasa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapura, Lembaga Pengiktirafan Asatizah, ARB, Ustaz Nor Razak Bakar
Pengerusi ARB yang baru, Ustaz Nor Razak Bakar. Beliau juga Pendaftar di ROMM. - Foto BH oleh KHALID BABA

Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap golongan asatizah, sambil memastikan setiap guru agama di Singapura dilengkapkan dengan kemahiran dan ilmu yang relevan dengan cabaran masa kini.

Pengerusi baru ARB, Ustaz Nor Razak Bakar, berkata fokus utama lembaga itu hari ini bukan sekadar memberi pengiktirafan, tetapi membina satu ekosistem pembelajaran yang berterusan dan tersusun, seiring perubahan landskap sosial, teknologi dan keagamaan.

“ARB ialah rakan kongsi kepada asatizah, bukan badan yang sekadar menetapkan peraturan. Kami ingin membantu mereka meningkatkan kedudukan di mata masyarakat melalui ilmu dan kemahiran yang sesuai dengan konteks hari ini,” kata beliau, yang juga Pendaftar di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).

Ustaz Nor Razak yang mengambil alih kepimpinan ARB dari asatizah mapan, Ustaz Pasuni Maulan, berkongsi demikian dalam podcast BHerbual Berita Harian – sebuah podcast berita dan ehwal semasa Berita Harian (BH).

ARB, antara lain, bertanggungjawab mengawal selia pembangunan profesional dan tingkah laku asatizah di Singapura serta mentadbir urus Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Lembaga itu dilantik untuk tempoh perkhidmatan selama tempoh tiga tahun.

Dalam perbincangan hampir satu jam setengah dalam podcast tersebut, kedua-dua tokoh agama itu menekankan bahawa asatizah masa kini berdepan tuntutan yang jauh lebih kompleks berbanding dahulu – daripada isu kecerdasan buatan (AI), bioetika, kesihatan mental hinggalah ke budaya digital.

Menurut Ustaz Pasuni, 80 tahun, ARB diperkenalkan pada 2005 – pada mulanya sebagai skim sukarela – bagi melindungi masyarakat dengan memastikan pendidikan agama disampaikan oleh mereka yang bertauliah.

Beliau merujuk keprihatinan para asatizah ketika itu berkenaan ajaran sesat dan individu yang ‘menunggang’ agama untuk kepentingan peribadi termasuk antaranya guru agama yang memperkenalkan konsep ‘nikah batin’ sebagai antara pemangkin ARS.

Justeru, ARB dan ARS wujud bagi memastikan asatizah sentiasa berada di landasan yang kukuh dari segi disiplin, adab, penguasaan ilmu dan memiliki pengetahuan yang relevan dengan konteks semasa.

Pada masa yang sama, perubahan dunia yang pesat dan konteks kehidupan berbilang agama di Singapura juga menuntut para pendidik agama menyesuaikan diri agar mampu membimbing masyarakat dengan yakin dan tepat.

“Keadaan berubah. Asatizah mesti bersedia menangani soalan yang jauh berbeza daripada masa lalu. Jika mereka tidak memahami isu seperti AI dan manipulasi video, mereka boleh mudah terpengaruh atau gagal menjelaskan kekeliruan masyarakat,” ujar beliau.

Mengulas mengenai tumpuan ARB dalam penggal barunya, Ustaz Nor Razak, 59 tahun, berkata pihaknya mempertingkatkan model pembelajaran fleksibel, termasuk kursus kendiri (self-paced learning) yang membolehkan asatizah melengkapkan latihan mengikut masa mereka sendiri.

“Kita perkenalkan pendekatan ini sebagai respons kepada maklum balas asatizah. Kami faham, ramai daripada mereka sibuk dan mungkin sukar mengikuti kursus.

“Jadi tujuannya ialah untuk mereka boleh belajar dari rumah, pada bila-bila masa. Ini sebahagian usaha memastikan semua asatizah memenuhi keperluan 30 jam CPE (Pendidikan Profesional Berterusan) dalam setiap penggal,” jelasnya.

Beliau menambah sedang kursus-kursus terus dijalankan bagi memperkukuh kemahiran teras asatizah seperti taklimat dari Pejabat Mufti berkaitan fatwa terkini, ARB selain itu menyediakan lebih 120 kursus dalam penggal sebelum ini, merangkumi topik seperti kepimpinan, teknologi, isu keluarga dan penggunaan media sosial.

Semua disediakan berdasarkan maklum balas serta keperluan asatizah.

Di samping kemahiran, ARB, menurut Ustaz Pasuni, tegas dalam soal integriti.

Beliau menekankan bahawa penilaian asatizah bukan sekadar pada sijil, tetapi juga watak dan akhlak.

“Akhlak dulu baru ilmu, bukan ilmu baru akhlak. Kalau seseorang itu melanggar kod etika, kita tidak boleh benarkan dia mengajar.

“Tetapi kita juga beri ruang untuk memperbaiki diri melalui program integrasi semula,” katanya.

Ustaz Nor Razak berharap masyarakat memahami bahawa ARB bukanlah badan yang ‘menyekat’, tetapi sebuah institusi yang menjaga martabat kerjaya asatizah dan memastikan masyarakat menerima bimbingan agama yang sahih dan sesuai.

“Kami ingin bergerak ke hadapan bersama para asatizah – bukan untuk menyusahkan, tetapi memperkukuhkan mereka dari segi pembangunan peribadi, ilmu, kecekapan dan kemahiran bagi membimbing masyarakat Islam di Singapura dalam kehidupan beragama mereka.

“Jadi saya berharap agar para asatizah dapat bersama-sama dengan ARB untuk kita menyediakan asatizah dengan ilmu dan kemahiran dalam membantu masyarakat mengamalkan Islam dalam konteks yang sedia ada,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg