Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Separuh muka baru Lembaga Pengiktirafan Asatizah daripada pelbagai kepakaran

Diharap dapat bangun suasana lebih terangkum, relevan bagi masyarakat Muslim S’pura
Nov 19, 2025 | 8:56 PM
Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Pasuni Maulan, Ustaz Nor Razak Bakar, pengerusi ARB baru
Pengerusi semasa Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Pasuni Maulan (kiri), bakal mengundurkan diri untuk memberi laluan kepada Ustaz Nor Razak Bakar selaku Pengerusi ARB baru, bagi penggal 2026 hingga 2028. - Foto BH oleh KHALID BABA

Anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) bagi penggal baru merangkumi asatizah daripada pelbagai latar belakang, sekali gus memastikan segmen lebih luas masyarakat Islam di sini mendapat perwakilan, kata Pengerusi baru ARB, Ustaz Nor Razak Bakar.

Ditubuhkan pada 2005, ARB, antara lain, bertanggungjawab mengawasi dan mengawal selia pembangunan profesional dan tingkah laku asatizah di Singapura.

Ustaz Nor Razak berkata anggota ARB seramai 12 individu, dengan hampir separuh merupakan muka baru, membawa kepakaran berbeza, seperti dalam bidang perkhidmatan sosial, undang-undang syariah dan kaunseling.

Berkongsi selepas majlis pelantikan dan menjunjung budi anggota ARB, anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), di Hotel Furama City Centre pada 19 November, Ustaz Nor Razak, berkata:

“Anggota ARB yang dilantik terdiri daripada latar belakang yang pelbagai.

“Antaranya, Presiden Mahkamah Syariah Singapura, anggota Jawatankuasa Fatwa, wakil masyarakat India Muslim dan ramai lagi.

“Ini memberikan lebih banyak peluang kepada ARB dalam mencapai keputusan yang (bersifat) lebih terangkum dan relevan bagi lapisan masyarakat yang pelbagai di Singapura.”

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hadir selaku tetamu terhormat dalam majlis itu.

Ustaz Nor Razak menambah anggota ARB bagi penggal baru akan membawa “kepakaran, keahlian dan pengetahuan mendalam” bagi membantu lembaga itu melakukan yang terbaik untuk asatizah dan masyarakat secara umumnya.

Beliau bakal mengambil alih peranan itu daripada Ustaz Pasuni Maulan, yang akan mengundurkan diri setelah menabur bakti bersama ARB sejak 2007 dan menggalas peranan sebagai Pengerusi ARB pada Januari 2023.

Terdapat lima anggota baru ARB iaitu Ustaz Fazalee Jaafar, Ustaz Mohammed Nazim Rahuma Dulla, Ustaz Muhammad Azri Azman, Ustazah Nur Khadijah Ramli dan Ustazah Zuwainah Kamalutheen.

Ustaz Azri berkata selaku Presiden Muhammadiyah, beliau giat berkecimpung dalam bidang perkhidmatan sosial menerusi penglibatan dengan Rumah Kebajikan Muhammadiyah.

Beliau menyifatkan keanggotaannya dalam ARB satu tanggungjawab berat berbanding peranan lain yang digalasnya kerana ia melibatkan pengawalseliaan pembangunan asatizah.

Ini di samping memastikan mereka dapat memberikan sumbangan terbaik kepada masyarakat, tambahnya.

“Pengalaman yang saya lalui menerusi penglibatan mengetuai Muhammadiyah dan… sumbangan dalam ruang perkhidmatan sosial dapat saya terapkan kepada asatizah.

“Ini kerana selain bidang keagamaan, para asatizah mempunyai potensi, nilai dan prinsip yang telah diperkukuh, sama ada daripada madrasah atau institusi (yang mereka belajar).

“Ia boleh dilihat dari segi pembangunan keupayaan seiring dengan ilmu yang sudah ada, jadi mereka boleh menyumbang secara khususnya kepada sektor perkhidmatan sosial,” ujarnya.

Beliau memberi contoh aspek kaunseling yang boleh diterapkan kepada asatizah agar panduan keagamaan dapat disesuaikan dan dikaitkan dengan konteks masa kini.

Begitu juga apa yang diketengahkan seorang lagi anggota baru ARB, Ustazah Khadijah, yang menyifatkan peranannya seakan pembimbing buat asatizah lebih muda.

Ustazah Khadijah, yang juga Anggota Kehormat Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), berkata beliau melihat bilangan asatizah wanita, khususnya mereka yang berkecimpung dalam bidang kemasyarakatan, semakin ramai.

“Dengan adanya para asatizah wanita (dalam bidang sedemikian), kita harus bantu dalam contohnya isu kekeluargaan, pendidikan anak-anak sekiranya golongan wanita itu bekerja.

“Pastinya, mereka akan menghadapi pelbagai masalah dalam mengharungi kehidupan moden, jadi dengan adanya sokongan kepada asatizah wanita, ia dapat memperkukuhkan lagi sistem masyarakat Islam Singapura kita,” kata beliau.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri) memberikan anugerah Anugerah Khidmat Setia kepada Pengerusi semasa ARB, Ustaz Pasuni Maulan, dalam satu majlis pada 19 November. Ia disaksikan (dari kiri) Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Azree Rahim; Presiden Muis, Encik Mohamed Sa’at Abdul Rahman dan Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri) memberikan anugerah Anugerah Khidmat Setia kepada Pengerusi semasa ARB, Ustaz Pasuni Maulan, dalam satu majlis pada 19 November. Ia disaksikan (dari kiri) Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Azree Rahim; Presiden Muis, Encik Mohamed Sa’at Abdul Rahman dan Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sementara itu, Ustaz Nor Razak turut memberi penghargaan kepada anggota lama ARB yang bakal mengundurkan diri iaitu Ustaz Dr Mohamad Hasbi Hassan, Ustaz Sallim Jasman and Ustazah Dr Sukarti Asmoin.

Secara khusus, beliau memberi penghormatan kepada Ustaz Pasuni, selaku Pengerusi ARB semasa kerana ia “satu cabaran besar” untuk mengambil alih peranan itu daripada Ustaz Pasuni, lebih-lebih lagi dengan gaya kepimpinan beliau, yang berteraskan sifat ihsan dan adil, kata Ustaz Nor Razak.

Keempat-empat asatizah mapan itu menerima Anugerah Khidmat Setia daripada Dr Faishal dan dilantik sebagai Panel Penasihat ARB yang baru sempena majlis tersebut.

Beliau berkata: “Saya petik daripada ucapan beliau tadi dua nilai utama dalam kepimpinan – pertama keadilan dan kedua ihsan.

“Semua nilai ini akan kami cuba terapkan dalam membuat keputusan secara kolektif, walaupun ia daripada pandangan yang pelbagai.

“Bahkan saya ingin kami (ARB) menyediakan wadah yang mudah diakses bagi asatizah meneroka sama ada daripada aspek tanggungjawab mereka berkenaan tugasan (atau peranan) sebagai asatizah.

“Ini di samping usaha mendekati golongan asatizah, sama ada mereka yang bertugas di masjid atau mengajar di madrasah mahupun di luar kedua-dua institusi ini, agar mereka dapat melihat ARB sebagai sumber sokongan mereka.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg