Bahagian Tanjong Katong Road South yang ditutup bagi kerja pembaikan selepas berlaku kejadian lubang benam pada petang 26 Julai akan dibuka semula secara berperingkat mulai tengah hari 2 Ogos.
Menerusi satu hantaran di Facebook pada 1 Ogos, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan jalan raya itu akan dibuka secara bertahap.
Bahagian jalan dari Ekpreswe East Coast Parkway (ECP) ke Mountbatten Road pula akan dibuka pada 2 Ogos, 12 tengah hari, manakala laluan bertentangan dari Mountbatten Road ke Ekpreswe ECP akan dibuka pada 4 Ogos, 5 pagi.
LTA menambah bahawa perkhidmatan bas 36 dan 48 yang sebelum ini dilencongkan akan kembali ke laluan asal iaitu ke arah timur menuju ke Lapangan Terbang Changi dan Bedok mulai 2 Ogos, 12 tengah hari.
Begitu juga dengan laluan bas ke arah barat, LTA berkata perkhidmatan bas tersebut akan kembali mengambil laluan asal menuju ke bandar melalui Ekpreswe ECP.
Perkhidmatan bas tersebut juga akan kembali berkhidmat di semua perhentian bas yang terjejas di sepanjang Tanjong Katong Road South, Mountbatten Road, Amber Road dan Marine Parade Road mulai waktu operasi pada 4 Ogos.
LTA turut memaklumkan bahawa kerja pembaikan jalan raya masih dijalankan, dan pemandu mungkin terus melihat kerja pembaikan di kawasan berkenaan.
Ia termasuk pembaikan ke atas utiliti bawah tanah atau pemasangan utiliti baru untuk menggantikan yang rosak selepas jalan dibuka semula.
Menurut LTA, pihak berkuasa telah menjalankan beberapa ujian menyeluruh sepanjang minggu lalu selepas menimbus semula lubang benam tersebut, dan tiada sebarang anomali atau lubang yang dikesan di kawasan itu.
Justeru, LTA dan agensi air negara PUB telah menyelesaikan kerja pembaikan serta menamatkan penilaian keselamatan bagi bahagian jalan yang terjejas dan laluan berdekatan.
Pemeriksaan itu, yang dijalankan dengan rundingan bersama Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), mengesahkan jalan tersebut selamat untuk digunakan, tambah LTA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg