Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, memohon maaf di atas kejadian lubang benam yang berlaku di Tanjong Katong Road South, yang beliau sifatkan sebagai satu insiden yang serius dan tidak sepatutnya berlaku.
“Sebagai wakil Kementerian Kemampanan dan Sekitaran serta PUB, saya ingin merakamkan permohonan maaf setulusnya kepada pemandu yang cedera atas kecederaan yang dialami serta pengalaman traumatik yang terpaksa dilalui,” kata beliau kepada media pada petang 29 Julai.
Lubang benam itu berlaku berhampiran tapak pembinaan agensi air negara, PUB, yang sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan paip pembetungan.
Cik Fu, yang kementeriannya menyelia PUB, turut memohon maaf kepada orang awam dan penduduk di kawasan sekitar atas kebimbangan dan keresahan yang tercetus akibat kejadian itu, serta kepada para pemandu dan penumpang yang terjejas susulan penutupan dan lencongan jalan.
Beliau mengarahkan kementeriannya menubuhkan satu panel penyiasatan dalaman bagi menyiasat punca kejadian lubang benam itu, dengan meneliti semua bukti yang ada sebelum melaporkan hasil siasatan, lapor The Straits Times (ST)
Proses tersebut dijangka mengambil masa beberapa bulan.
Beliau menambah bahawa panel tersebut akan terdiri daripada individu yang sangat berpengalaman dengan pelbagai kepakaran.
Panel itu juga akan mengemukakan cadangan bagi mencegah kejadian serupa daripada berulang, kata Cik Fu lagi.
Keutamaan kini ialah membuka semula laluan di Tanjong Katong Road South yang masih ditutup, sambil memastikan keselamatan orang awam, tambah beliau.
Walaupun banyak ujian telah dijalankan bagi menilai kestabilan tanah, Cik Fu menjelaskan bahawa para pengguna jalan akan terus mengalami gangguan “mungkin untuk beberapa hari lagi” berikutan penutupan sebahagian jalan antara Mountbatten Road dan Ekspreswe East Coast Parkway (ECP).
Cik Fu berkata: “Kami sedang menjalankan penilaian keselamatan yang sangat teliti dan menyeluruh, dan selagi kami belum berpuas hati dengannya, jalan tersebut tidak akan dibuka.
“Ia hanya akan dibuka semula apabila kami benar-benar pasti bahawa ia selamat untuk digunakan.”
Pihak berkuasa sedang berusaha memulihkan jalan yang runtuh pada petang 26 Julai itu, yang telah mengakibatkan sebuah kereta bersama pemandunya terjatuh ke dalam lubang.
Pemandu berkenaan berjaya diselamatkan dengan bantuan pekerja di tapak pembinaan dan dihantar ke hospital dalam keadaan sedar.
Sebelum ini dilaporkan bahawa mangsa mengalami kesakitan otot.
Pada 29 Julai, Cik Fu berkata beliau difahamkan bahawa pemandu itu masih dalam proses pemulihan di hospital.
Pada 27 Julai, kereta yang rosak teruk itu berjaya diangkat keluar dari lubang menggunakan kren.
Lubang benam tersebut telah diisi semula pada awal 28 Julai menggunakan tanah stabil dalam bentuk cecair, iaitu campuran tanah, simen dan air.
Kerja-kerja untuk menguji kestabilan tanah kini sedang dijalankan – termasuk menggunakan radar penembus tanah untuk memastikan lubang tersebut telah diisi sepenuhnya, menebuk batang logam panjang ke dalam tanah bagi menguji kepadatan bahan, serta mengimbas kawasan menggunakan gelombang bunyi.
PUB sebelum ini menyatakan bahawa satu struktur konkrit dalam sebuah lubang menegak atau gelung ‘caisson’, yang dibina di tapak kerjanya, mengalami kegagalan sekitar 5.50 petang pada 26 Julai.
Caisson ring ialah silinder konkrit kalis air yang ditanam ke dalam tanah bagi membentuk asas kukuh kepada struktur lain.
Namun begitu, punca kegagalan struktur tersebut masih belum diketahui.
Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) pada 28 Julai berkata bahawa mereka juga akan menjalankan siasatan bebas terhadap kejadian itu yang dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk diselesaikan.
PUB akan memberikan kerjasama penuh kepada BCA dalam siasatannya, menurut Cik Fu.
Beliau berkata bahawa kehadiran dua pasukan yang menyiasat insiden tersebut akan membantu pihak berkuasa mengenal pasti punca kejadian dengan lebih menyeluruh dan sistematik.
Apabila ditanya mengenai maklum balas sesetengah penduduk berhubung bunyi bising semasa kerja-kerja pemulihan dijalankan, Cik Fu menjelaskan bahawa jika kerja dihentikan pada waktu malam, proses pembaikan mungkin tidak dapat diselesaikan secepat yang diharapkan.
“Saya berharap penduduk juga faham bahawa kami mahu menyelesaikannya dengan segera, untuk menstabilkan keadaan dan memastikan keselamatan awam terjamin sepenuhnya,” tambah beliau.
Cik Fu kemudiannya melawat lokasi kejadian lubang benam itu dan mengucapkan terima kasih kepada dua pekerja, Encik Pitchai Udaiyappan Subbiah dan Encik Ganesan Veerasekar, yang membantu menyelamatkan pemandu itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg