Makan malam mualaf satukan tradisi Tahun Baru Cina, Ramadan
Makan malam mualaf satukan tradisi Tahun Baru Cina, Ramadan
Penting dalam bantu anak fahami identiti sebagai seorang Cina yang dibesarkan dengan nilai Islam
Perayaan Tahun Baru Cina tahun ini membawa makna yang lebih istimewa buat mualaf Cina, Cik Selene Tung, 33 tahun, apabila beliau menyambutnya bersama anak sulung yang baru-baru ini mula menunjukkan minat untuk berpuasa biarpun si kecil baru berusia empat tahun.
Syafi Ilhan Muhammad Syazwan dijangka melalui pengalaman Ramadan buat kali pertama selepas mengikuti kelas agama sejak 2025.
Bagi Cik Tung, detik tersebut bukan sahaja menjadi kenangan baru bagi beliau sebagai seorang Muslim, malah mengubah cara beliau melihat peranannya sebagai seorang ibu.
“Saya rasa bangga, tetapi pada masa yang sama sedar masih banyak yang perlu saya pelajari untuk membimbingnya dengan betul,” kata ibu kepada dua orang anak itu. Anak keduanya, Syarif Izyan Muhammad Syazwan, berusia 11 bulan.
Cik Selene berkata beliau telah memperkenalkan amalan Ramadan secara berperingkat, termasuk membiasakan anaknya menahan diri daripada makan pada waktu tertentu.
Menurutnya, detik seperti ini sememangnya menyentuh hati dan penting dalam membantu anaknya memahami identiti sebagai seorang anak Cina yang dibesarkan dengan nilai-nilai Islam.
Perkara ini juga dapat dilihat dengan bimbingan kedua-dua pihak keluarga yang banyak membantu Cik Selene dalam membesarkan anak-anak, terutama dalam memperkenalkan nilai agama dan budaya secara seimbang.
Menurut beliau, keluarga mentuanya sering menjadi rujukan apabila beliau serta suami, Encik Muhammad Syazwan Mohd Azman, mempunyai persoalan berkaitan amalan Ramadan atau rutin harian sebagai ibu bapa.
“Interaksi saya bersama mereka membuat saya sedar bahawa masih banyak yang perlu saya pelajari untuk membimbingnya dengan betul,” katanya.
Pada masa yang sama, ibunya juga memainkan peranan penting dalam membantu menjaga cucu-cucu.
Cik Tung berkata sokongan daripada kedua-dua pihak keluarga ini telah memberi beliau kekuatan untuk terus membesarkan anak-anak dengan nilai yang seimbang.
“Sebagai ibu, saya mahu dia membesar dengan memahami warisan budaya dan pegangan agamanya, supaya dia yakin dengan identiti sendiri,” ujar Cik Tung, yang memeluk Islam pada 2021.
Dengan pertembungan Ramadan dan perayaan Tahun Baru Cina kali ini, pegangan tersebut juga dapat dilihat melalui acara makan malam bersama kedua-dua pihak keluarga, yang menurutnya memberi peluang baru untuk mualaf itu menggabungkan kedua-dua tradisi dalam satu ruang yang sama.
Langkah itu berbeza daripada tradisi sebelum ini, di mana keluarganya lazimnya berkumpul di rumah anggota keluarga lain setiap tahun.
“Selepas pemergian nenek saya, pertemuan tahunan keluarga semakin berkurangan. Jadi ini cara saya meneruskan semangat kebersamaan dan mengekalkan hubungan silaturahim, walaupun dalam bentuk yang berbeza,” kata Cik Selene.
Bagi Cik Selene, pertemuan makan malam keluarga tahun ini bukan sekadar satu tradisi perayaan, tetapi ruang untuk anak-anaknya melihat sendiri bagaimana budaya dan agama boleh wujud seiring.
Tambahnya, beliau berharap detik-detik kecil seperti ini dapat menjadi kenangan yang membentuk cara anak-anaknya memahami identiti mereka pada masa depan.
“Saya hanya mahu anak-anak saya melihat bahawa walaupun keluarga datang daripada latar yang berbeza, kami masih boleh duduk semeja, berkongsi hidangan dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Harapan terbesar saya bagi mereka adalah supaya mereka membesar dengan rasa yakin terhadap latar belakang mereka, sambil menghargai kedua-dua warisan,” kata beliau.

