Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tegakkan budaya Cina, dua identiti, satu keluarga

Jan 28, 2025 | 12:45 PM
Cik Sharmin Loh bersama suami, Encik Hakim ‘Afifi Ahmad, dan anak perempuan mereka bakal merai Tahun Baru Cina sebagai penganut Islam.
Cik Sharmin Loh bersama suami, Encik Hakim ‘Afifi Ahmad, dan anak perempuan mereka bakal merai Tahun Baru Cina sebagai penganut Islam. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Empat tahun selepas memeluk agama Islam, Cik Sharmin Loh, 28 tahun, tidak lagi dibayangi ketakutan akan terasing daripada keluarga tradisional Cina yang membesarkannya.

Sebaliknya, beliau kini berasa hubungan dengan keluarganya semakin erat dan kukuh.

Cik Loh, yang memeluk Islam ketika berusia 24 tahun, mengakui bahawa cabaran terbesar yang dihadapi pada awal perjalanannya adalah cara menyeimbangkan antara agama baru dengan tradisi keluarganya yang kuat berakar dalam budaya Cina.

Namun, beliau percaya bahawa cinta dan pemahaman dalam keluarga lebih kuat daripada perbezaan budaya.

“Pada mulanya, saya risau. Saya risau hubungan kekeluargaan akan terjejas.

“Walaupun begitu, saya sangat beruntung kerana keluarga masih menerima keputusan saya dengan hati terbuka.

“Bukan hanya itu, mereka juga menyokong dan belajar cara hidup seseorang Muslim,” kata Cik Loh, yang bertugas sebagai pengurus pemasaran di sebuah syarikat menjual jam tangan.

Antara perubahan itu termasuk memastikan terdapatnya jamuan halal semasa acara makan bersama keluarga.

Cik Sharmin Loh (tiga dari kanan), bersama keluarganya, termasuk mak ciknya, Cik Susan Lim Siew Cheng (tiga dari kiri), menikmati hidangan kuih tradisional Cina.
Cik Sharmin Loh (tiga dari kanan), bersama keluarganya, termasuk mak ciknya, Cik Susan Lim Siew Cheng (tiga dari kiri), menikmati hidangan kuih tradisional Cina. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sebagai contoh, jenama makanan seperti HaHa Hotpot dan Deanna’s Kitchen memberi peluang kepada individu seperti Cik Loh untuk terus menikmati hidangan asal daripada budaya Cina yang halal.

Dengan itu, acara bersama keluarga kini lebih bermakna disebabkan kasih sayang yang dirasai daripada setiap anggota keluarga yang berusaha menyesuaikan diri dengan perubahan gaya hidup Cik Loh.

Bersama suaminya, Encik Hakim ‘Afifi Ahmad, 30 tahun, sambutan Tahun Baru Cina kali ini juga merupakan julung kalinya Cik Loh mengenakan pakaian ceongsam tradisional semasa perayaan keluarga sebagai cara menghormati warisan budayanya.

Peranan beliau sebagai seorang ibu kepada seorang anak perempuan berusia dua tahun menjadi sebab utama Cik Loh ingin kekalkan budaya Cina.

Walau kini mengamalkan Islam, Cik Loh tidak mahu melupakan akar budaya Cina yang telah lama menjadi sebahagian daripada jati dirinya, katanya.

Menurut mak cik Cik Loh, Cik Susan Lim Siew Cheng, yang membesarkan beliau sejak kecil, keputusan Cik Loh untuk mengenakan ceongsam pada Tahun Baru Cina bukan hanya mencerminkan rasa hormat terhadap keluarga, tetapi juga simbol perpaduan dan penghargaan kepada kedua-dua budaya yang dibawanya.

“Kami amat bangga dengan beliau. Apa yang penting bagi kami adalah kebahagiaan dan keharmonian dalam keluarga. Apa yang Sharmin pilih untuk pakai tidak pernah menjadi masalah bagi kami,” kata Cik Lim.

Cik Loh mengakui bahawa perjalanan ini bukan mudah, tetapi ia memberikan satu pengajaran yang mendalam mengenai bagaimana kasih sayang keluarga dapat mengatasi segala perbezaan.

Walaupun memeluk agama Islam adalah keputusan yang besar, ia tidak bermakna beliau perlu meninggalkan tradisi dan budaya asalnya.

“Di sini saya belajar bahawa cinta dan penghormatan boleh membawa kita bersama, walaupun ada perbezaan.

“Saya bersyukur kerana keluarga saya terus menerima dan menyokong saya, dan itu adalah sumber kekuatan yang paling penting dalam hidup saya,” kata Cik Loh, sambil tersenyum.

Dengan setiap langkah yang diambil, Cik Loh menunjukkan bahawa harmoni tidak semestinya bermaksud keseragaman.

Ia adalah tentang menerima perbezaan dan mencipta ruang untuk bersama-sama membina sebuah keluarga yang saling menyokong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg